Seronok. Memang menyeronokkan apabila berita-berita hiburan Umno menjadi hidangan harian kita. Bukan setakat surat melayang, bahkan kerusi, meja, pensil dan genggam jari. Datang dari mereka, sampai ke wajah mereka. Kita, tersengih pun dah memadai.
Hiburan begini bermusim. Tidak sepanjang tahun. Bukan juga setiap tahun. Ada musimnya. Sekarang adalah musimnya.
Tapi, cukuplah jadikan semua berita itu sebagai hiburan ringan. Tidak lebih daripada itu. Jangan sampai kita pula seronok mengulas itu, mengomen ini, menaikkan itu, menaikkan ini, secara berlebihan. Sikit-sikit ok. Lebih-lebih pelik.
Apa tidaknya, Nabi telah menunjuk arah, "Antara tanda-tanda Islam seseorang itu sempurna, meninggalkan peduli apa yang tiada kaitannya."
Umno, kita boleh peduli dengan pemikiran PARTI ITU, hala tujunya, kebaikannya dan keburukannya, pada tahap memberi kesan kepada agama dan perjuangan kita. Juga memberi kesan kepada baik buruk manusia lain. Jika mana-mana yang melibatkan mereka, tidak melibatkan kita, apa perlu kita peduli?
Siapa lawan siapa, perlukah kita kaji jika semuanya sama, ke arah perkauman tegar dan sekularisme kotor? Isteri siapa bertudung, isteri siapa kaki boros, memberi kesankah kepada muslimat kita untuk kita riuh rendahkan? Siapa banyak pencalonan, siapa tidak layak, menghabiskan ruang dakwah kita, wajarkah berlaku begitu? Membuang masa meneka siapa menang siapa kalah, apakah perlu disinggung mendalam seperti menjadi agenda kerja kita pula?
Aduh, biarkanlah mereka. Naiknya Najib, turunnya Pak Lah, menangnya Muhyidin, kalahnya Ibnu Rustam, Umno tetap dengan perjuangan mereka.
Mari kita bincang masalah kita, hal kita anak-beranak dan tarbiah kita yang berliku jalannya.
No comments:
Post a Comment