Ketika menulis ini, saya sedang mendengar program wawancara Ustazah Fatma El-Zahra dengan bekas pelakon Ziela Jalil. Saya terdiam dan terhiba, mendengar bagaimana Ziela Jalil menyebut Allah amat menyayanginya sejak dulu lagi.
Lebih kagum saya apabila Ziela sudah mampu mengungkap zikir-zikir sunni dengan begitu baik, berserta penampilan menutup auratnya di Astro Oasis. Episod dengan Ziela ini telah diulang beberapa kali.
Apa yang menarik perhatian saya ialah, apabila beliau menyatakan, ketika hidupnya dahulu yang masih diselimuti keghairahan hiburan, hatinya sudah terdetik mahukan rahmat dan kasih sayang Allah. Tetapi tidak terungkap dek mulut. Kenapa?
Inilah yang perlu kita fahami, jangan kerana penampilan luaran seseorang yang bersanggahan dengan syariat, kita terus menghukum dia dengan memisahkannya daripada dakwah atau nasihat kita. Lebih parah kalau kita suka menghukum hati mereka dengan penampilan zahir.
Saya percaya, ramai adik-adik remaja di luar sana yang lemah, kosong dan perlukan bimbingan walaupun zahir mereka menyampah untuk kita dekati malah melihatnya. Kita, mungkin zaman remaja kita tidak begitu mencabar berbanding zaman mereka kini.
Saya cuba kaitkan juga dengan lontaran idea Saifulislam, ketika kita serabut dengan pelbagai masalah politik dan negara, masih ada pihak yang tersenyum melakukan kerja-kerja dakyah terhadap remaja kita atas nama kasih Jesus.
Maka, mereka yang sebenarnya mudah untuk didekati, mudah dipujuk, telah terbiar dek kesibukan para pendakwah menghabiskan masa dengan kecelaruan politik dan negara.
Salah siapa jika semuanya mahu berjuang di batasan politik, sehingga tiada masa mendekati muslimin dan muslimat yang sedang tenat jiwanya, malah sedang didekati oleh pihak yang cuba merampas dan meragut cahaya Islami mereka.
Saya insaf, bahawa kerja politik bukan segalanya untuk ummah ini. Bukan bermakna saya kecewa atau putus asa dengan politik, tetapi runsing bahawa tanggapan sesetengah orang terhadap politik itu seperti tersasar.
No comments:
Post a Comment