5.4.09

TUN DET KEMBALI, SELEPAS PULIHKAN IMEJ MELALUI KELEMAHAN TUN LAH

Sudah dua kali Tun Det keluar masuk Umno. Dua kali itulah orang-orang besar PAS cuba berbaik-baik dengan beliau. Dua kali itulah orang-orang itu seperti dipermainkan oleh Tun Det. Dua kali lah malunya orang-orang besar. Dua kali dipatuk di tempat yang sama? Entah la.

Tun Det dengan selamba dan tanpa berperi kemanusiaan telah memasuki semula Umno di atas penghinaan terhadap Tun Lah. Tun Lah letak sahaja jawatan PM, arakian maka segeralah Tun Det masuk. Selagi Tun Lah belum masuk, Tun Det berada di luar. Kalaulah Tun Lah bermenteri perdana sehingga hujung nyawa, mungkin gamaknya Tun Det kempunan masuk Umno sampai hujung nyawa dia.

Kenapa cepat sangat Tun Det masuk Umno? Apakah Tun Det sebenarnya mahu orang tahu dia berkuasa ke atas Umno dan peralihan kuasa atau mahu Tuk Jib tahu, sedar dan beringat supaya jangan sisihkan dia?

Saya memilih yang kedua. Tun Det sebenarnya mahu menekan Tuk Jib dan mahu dia beringat bahawa kalau Tun Det disisihkan seperti apa yang dilakukan oleh Tun Lah, itu dianggap melanggar tulah Tun Det. Akibat langgar tulahlah maka Tun Lah kena belah. Itu idea saya.


TUN LAH DIKAMBING-HITAMKAN

Mungkinkah sebenarnya Tun Det mahu mengkambing-hitamkan Tun Lah sebagai Menteri Perdana yang menjadi perosak negara dan parti? Kalau itulah yang berlaku, maka memang Tun Det hebat. Kini Umno punah akibat lemahnya Tun Lah. Negara bermasalah akibat lemahnya Tun Lah. Sehingga Tun Lah yang nampak sopan itu telah kelihatan lebih zalim daripada Tuk Jib, apabila Tun Lah tangkap orang masuk penjara ISA, tiba-tiba Tuk Jib pula bebaskan.

Orang tidak lagi marah pada Tun Det akibatkan negara lemah, Umno berpecah, rakyat menjadi marah dan pembangkang makin kuat. Tun Det malah menjadi hero semula apabila memasuki semula Umno selepas era penuh lemah dan celaru Tun Lah. Huh, memang hebat Tun Det ini.

Kalau dulu, ramai orang Umno marahkan Tun Det menjadi punca reformasi, kini Tun Det dialu-alukan untuk menghidupkan semula Umno. Jelaslah, Umno tetap Umno walau siapapun pemimpinnya. Jangan kita tertipu, selagi mazhabnya Umno, memang pi mai pi mai tang tu juga tahap otak puak-puak Umno ini.

Nanti, kalau Tuk Jib gagal, apakah warga Umno mahukan Tun Det ambil alih kerajaan? Apa sahaja boleh dilakukan oleh Tun Det ke atas Tuk Jib, kerana Mahathir tahu tang mana lemahnya Tuk Jib. Kalau Tun Lah diuar-uarkan selalu tunduk pada anak menantu, kini boleh sahaja Tun Det heboh mengatakan Tuk Jib selalu tawadhu' di sisi Opah Ros.

Kita nantikan, apakah Tun Det dibelai baik oleh Tuk Jib atau sebaliknya. Ye lah, kalau Tun Lah yang lemah itupun berani lawan dan sisih Tun Det, takkan Tuk Jib tak berani? Tuk Jib lagi kuat berbanding lemahnya Tun Lah.

Oh ya, bagi orang-orang besar PAS yang tak sabar-sabar nak mengadap Tun Det suatu ketika dahulu, tengah buat apa pagi ini? Mungkin apa yang dimahukan oleh mereka sudah tercapai?

Jika matlamat mereka sekadar mahu menang pilihanraya yang lepas, nampaknya memanglah telah tercapai. Jadi, kalau dimomokkan sebagai tertipu dua kali, maka taklah mengapa sangat, asalkan Tun Det telah membantu pembangkang menang 4 negeri campur wilayah persekutuan baru-baru ini.

Tahniah kepada orang besar PAS yang berjaya "mempergunakan" Tun Det. Tapi jangan lupa, Tun Det sedang kembali selepas 5 tahun berehat sambil memperbaiki imejnya sendiri melalui kelemahan Tun Lah.


TUN DET MAHU TERUS MENJADI DIKTATOR?

Ketika Presiden PAS lontarkan idea Unity Goverment, Tun Detlah antara orang berjiwa Umno yang kuat melawan. Kenapa? Dalam masa yang sama, ramai juga orang besar PAS yang tak senang, kenapa? Macam sama aje idea Tun Lah dan beberapa pembesar PAS dalam hal ini. Kebetulan kut.

Jelaslah suatu kemungkinan bahawa penolakan Tun kerana dia mahu terus menguasai kerajaan melalui caranya sendiri, sambil enggan melihat orang-orang PAS bersama Umno mentadbir negara. Nampaknya, dia belum pernah mahu lupakan Umno. Apa yang dia cakap selama ini sekadar cakap-cakap kosong. Isi sebenarnya, mahu kembali berkuasa atau lebih tepat menjadi "Penasihat Diktator". Nampaknya, Tuk Jib tak bebas langsung.

Oh ya, apa komen pembesar PAS terhadap Opah Ros nanti? Kalau dulu menantu Tun Lah selalu dimomokkan. Bagi saya itu tak apa, sebab Budak Ry itu memang orang politik.

Tapi kalau orang besar PAS asyik nak tembak Opah Ros aje nanti, ish buat malu kompeni aje. Tak payahlah jatuhkan martabat diri dengan menembak Tuk Jib melalui Opah Ros. Dah tak ada idea politik ke sampai rambut, badan dan shopping Opah Ros pun masuk dalam ceramah?

Ok?

No comments: