1. Saya memang tidak tahu apakah kisah latar di sebalik ajakan Presiden PAS supaya diwujudkan kerajaan perpaduan. Jika dilihat kepada ucapan sulong Presiden di Stadium Malawati, selepas menang, memang Tuan Guru ada mengajak parti-parti komponen BN bersama Pakatan Rakyat. Namun, ketika itu, ianya tidak disambut oleh sesiapa pun.
2. Tidak lama selepas itu, muncul cerita berkaitan muqabalah*. Maka isu itu menjadi hangat di muktamar PAS yang lalu. Beberapa tokoh PAS dijadikan bahan herdikan, sindiran dan makian pihak blogger pelampau yang entah apa-apa akhlaknya, dan siapakah penjaga mereka.
3. Selepas menang, sudah tiada engagement agaknya. Haram terus jika ada mana-mana pemimpin PAS ingin berbaik, mendekati dan berbincang dengan pemimpin Umno. Fitnah akan segera merebak. Saya sendiri keliru, bahawa penentangan yang wujud itu terhadap usaha pertemuan semata-mata atau mereka menentang keras kerana yakin ianya akan disusuli dengan gabungan bersama Umno.
4. Pemimpin yang dikaitkan dengan muqabalah telah kerap kali menafikan akan bergabung dengan parti "cinabeng" Umno. Itu tidak berbangkit. Namun di mana-mana, masih kedengaran, walaupun selepas penafian itu, kononnya masih ada usaha untuk bergabung dengan Umno. Maknanya, penafian tidak memberi apa-apa manfaat.
5. Baru-baru ini, muncul pula isu kerajaan perpaduan. Presiden melontar idea, pembantu presiden daripada kalangan naib2 presiden tidak menyambut dan membantu. Ia sejuk seketika. Kemudian media mula perasan ianya mampu menggugat keharmonian PR. Maka ia dijadikan isu. Berbalah pula pihak2 tertentu di blog-blog dan media. Presiden menjadi mangsa kutukan oleh blogger yang tiada ruh hizbi Islami. Yang mengaku ahli PAS, agaknya baru setahun jagung memasuki rumah PAS. Tiada adab, tiada akhlak dan tiada faedah. Presiden dikatakan sudah sampai masa untuk menjaga cucu.
6. Kini, isu Perak sekali lagi mengundang perdebatan berkaitan konsep muqabalah. Saya percaya ianya berlaku, tetapi tidak secara terbuka atau zahir. Sebaliknya secara senyap tetapi agresif. Bukan muqabalah untuk berkongsi kuasa, sebaliknya untuk penyelesaian yang tidak jelas komponennnya.
7. Ketika Najib dan Anwar masih "bermuqabalah" di media-media, di samping campur tangan seorang dua pimpinan PR dan BN, Naib Presiden PAS, Husam Musa telah bermuqabalah dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Husam bertemu dengan KuLi untuk memintanya menasihati Najib bagi bersetuju membubarkan DUN. Sebenarnya Ku Li sudahpun menasihati Najib sebelum Husam bertemunya, tetapi Najib tetap tidak memberi reaksi positif. Bagi saya, Husam sewajarnya terus bertemu Najib dan Raja Nazrin untuk mendapatkan persetujuan mereka berdua. Kalau terpaksa merayu, merayulah demi rakyat Perak. Anwar tetap di belakang Husam dalam hal ini.
8. Tiba-tiba Mursyidul Am dalam Sinar Harian hari ini (17 Mei ) menolak usaha berbincang dengan BN untuk isu Perak. Tuan Guru berkata, beliau tidak yakin kaedah perbincangan antara kedua-dua pihak yang bertentangan itu dapat menyelesaikan krisis berkenaan. "Jalan paling baik ialah bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak", katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Persekitaran Bestari Negeri Kelantan di Kota Bharu.
9. Saya melihat Tuan Guru Mursyidul Am tetap dengan pendiriannya. BN tidak boleh dipercayai. Husam pula menolak muqabalah sekiranya bermatlamatkan penggabungan dengan Umno atau BN dan boleh sahaja bermuqabalah untuk berbincang demi kebaikan rakyat. Sama ada ianya berbeza dengan usaha Ustaz Nasharuddin sebelum ini atau sama, terserah kepada penilaian para pembaca. Paling bijak bagi saya yang lemah ini ialah Presiden PAS. Melontar idea kerajaan perpaduan adalah tindakan drastik yang telah memisahkan jarak yang jauh antara dua kelompok dalam PAS, satu yang mahu muqabalah dan satu lagi tidak.
10. Maksud saya, Tuan Guru Presiden yang ditohmah sebagai pemimpin yang mahu bermuqabalah ( kononnya mahu bergabung ) dengan Umno, cuba meletakkan dirinya jauh ke hadapan dalam usaha engagement dengan Umno ( BN ), agar golongan yang enggan bermuqabalah pada awal kemenangan dahulu, sudah bersedia mahu bertemu dengan pemimpin Umno demi kebaikan rakyat. Pertemuan Husam dengan Ku Li tidak boleh dianggap Husam telah menyertai kelompok yang ditohmah sebagai kelompok muqabalah, kerana kelompok ini sudah berganjak ke arah konsep kerajaan perpaduan. Apa yang penting, Presiden mahu lojik muqabalah itu tidak dihapuskan demi dakwah Islamiah PAS.
* Muqabalah boleh juga dibaca dengan muzakarah
1 comment:
mungkin saja Presiden telah nampak dengan mata hatinya jauh lebih awal dari kepimpinan lain akan penyelesaian terbaik. Wallahua'lam
Post a Comment