1.5.09

MEMILIH PEMIMPIN PAS (3) - YANG TIDAK LAYAK MENIMBALI PRESIDEN

1. Sehari dua ini saya mempunyai banyak masa untuk berblog. Isu paling menarik perhatian saya pula ialah isu pemilihan pimpinan parti. Saya meyambung lagi siri-siri 'Memilih Pemimpin PAS'.

2. Saya jelas. Mahukan seorang yang berpengetahuan tinggi dalam agama sebagai presiden dan timbalan. Ini kerana merekalah yang paling hampir dengan kerusi Perdana Menteri. Hukum aqidah dan fiqh menjadi zikir mereka. Mengenal Allah dan Rasul tidak menjadi satu masalah dan bebanan. Walau apapun tafsiran Kepimpinan Ulama dalam PAS, saya tidak terikat dengan itu ketika melontarkan pandangan ini, kerana saya boleh sahaja menilainya berdasarkan kepada maslahah agama dan petunjuk Rasulullah saw. Full stop di sini dahulu.

3. Di sini, ingin diutarakan satu lagi sifat paling utama perlu dimiliki oleh seorang timbalan, pada penelitian saya. Meminjam kata-kata Muhyiddin Yasin, 'orang nombor dua tetap orang nombor dua', adalah apa yang saya maksudkan. Iaitu, seorang timbalan sewajarnya sedar kedudukannya sebagai orang nombor dua, tidak mendahului, boleh bekerja dengan presiden dan ada "chemistry" atau "serasa" antara keduanya.

4. Adalah suatu yang amat tidak kena apabila presiden dan timbalan sentiasa dilihat tidak serasi, bertentangan idea dan sukar bekerjasama antara satu sama lain. Paling bahaya, jika timbalan dengan slumberjack nya, mendahului presiden dan membelakangi idea presiden.

5. Orang kulit putih ada sebut, boss still boss. Dalam hukum fiqh ada satu perbincangan masalah, apakah keputusan syura wajib dipatuhi ketua? Ini kerana pernah berlaku Rasulullah saw bertanya pandangan para sahabat, tetapi tidak mengambilnya sebagai tindakan. Tujuan saya menyebutnya adalah ingin menggambarkan bahawa ketua mempunyai ruang untuk bertindak sendiri dengan segera pada masa-masa tertentu dan menilai semua pandangan orang bawahannya tanpa keterikatan.

6. Jika begitulah jauhnya perbincangan para ulama fiqh dalam hal ini, maka apakah suatu yang ganjil jika seorang presiden melontarkan ideanya ( masak atau mentah) untuk masyarakat dan negaranya, sehingga ianya sukar disambut oleh pemimpin di sisinya? Menyambut idea presiden berbeza dengan menerimanya bulat-bulat. Sukar diterima, jika suatu hari nanti, Timbalan Presiden PAS secara mentah-mentah tidak menyambut idea Presiden PAS sendiri.

7. Dalam hal ini, pemimpin Umno amat bijak dan amat berhati-hati.

8. Oleh itu, saya mohon para pembaca menjadikan isu "Unity Government" sebagai bahan kajian untuk menilai siapakah yang tidak layak menjadi Timbalan Presiden PAS pada masa ini.

9. Oleh kerana sesetengah pemimpin tegar mempertahankan pandangan sendiri, bersifat prejudis terhadap idea Presiden dan mungkin memiliki agenda tertentu, maka Presiden terkontang-kanting keseorangan. Saya tidak meminta idea beliau disahkan sebagai wahyu atau dianggap sahih atau diakui paling tepat. Saya cuma mohon ideanya disambut dan dikaji. Itulah kerja utama pembantu Presiden. Malangnya, ia 'dipangkah' secara terbuka oleh pihak tertentu.

10. Kesimpulan, timbalan tidak semestinya yang kedua paling mulia dan terbaik selepas presiden, tetapi yang sesuai digandingkan berdua, tanpa menolak faktor layak dan berkemampuan sebagai pengganti.



* Setelah membaca tulisan Haris dan Hafiz dalam Siasah terbaru, saya isytiharkan Blog ini menyokong sepenuhnya idea Presiden dalam isu Unity Government.

No comments: