13.6.09

MUZAKARAH; ANTARA HUKUM DAN PERASAAN

Oleh: Termizi Mohd Din


Antara risalah propaganda yang kami temui semasa muktamar berlangsung. Pengedar risalah tersebut berjaya ditangkap.

Antara risalah propaganda yang kami temui semasa muktamar berlangsung. Pengedar risalah tersebut berjaya ditangkap.


Walaupun agak keletihan setelah mengikuti Muktamar PAS kali ke 55 yang berlangsung hampir 3 hari termasuk bertugas sebagai Unit Amal, namun hati merasa puas dan makin bersemangat. Ucapan sekalung tahniah kepada seluruh kepimpinan yang telah terpilih bagi menganggotai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi 2009-2011. Walaupun pelbagai kontroversi dan suasana yang negatif telah digembar-gemburkan oleh media, namun perjalanan Muktamar masih dapat ditangguhkan dalam keadaan damai serta harmoni.

Sepanjang berlangsungnya muktamar, agak sukar untuk saya mendengar perbahasan yang benar-benar berkualiti dan serasi dengan agenda Islam Memimpin Perubahan sebagaimana yang digagaskan oleh YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya. Hanya segelintir sahaja yang mampu untuk menarik perhatian perwakilan dan pemerhati dengan idea-idea yang bernas untuk memasarkan Islam kepada masyarakat.

Sebab itulah, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menegur perwakilan yang membuat perbahasan agar menyentuh soal bagaimana untuk menambahbaikkan PAS agar dapat mempromosikan Islam dan menyampaikan mesejnya kepada masyarakat secara lebih berkesan dalam ruang lingkup suasana politik semasa. Tuan Guru menegur ucapan yang disampaikan oleh perwakilan yang banyak bertumpu kepada memperkenalkan dan berkempen tentang PAS kepada pimpinan serta ahli PAS. Ia adalah perkara yang sepatutnya tidak berlaku dalam muktamar PAS yang agak terhad masanya. Justeru perlu menggunakan peluang dengan sebaik mungkin.

Bertemu dan berbincang tiada salahnya

Bertemu dan berbincang tiada salahnya


RUNDINGAN DENGAN UMNO

Antara isu yang hangat diperkatakan sepanjang Muktamar ini adalah idea kerajaan perpaduan dan rundingan dengan UMNO yang dilontarkan oleh Tuan Guru Presiden. Selepas bermuktamar, masih lagi ia diperbincangkan sedangkan Tuan Guru Presiden telah memberikan penjelasan semasa ucapan penggulungan.

“Ustaz, apa pandangan tentang idea kerajaan perpaduan tu?” Saya juga ditanya tentang isu ini. Entahlah, mungkin si penyoal hendak mengenalpasti status saya, sama ada pro-muqabalah atau pro-pakatan rakyat (terpaksa menggunakan istilah ini waaupun saya tidak menggemarinya).

Saya menyoalnya kembali. “Sebelum saya menjawab, ingin saya bertanya adakah Islam membenarkan atau tidak? Kalau Islam membenarkan, kenapa saya ingin mengharamkannya?”


ANTARA HUKUM DAN PERASAAN

Memang tidak dinafikan, ramai yang merasa perit apabila mengenangkan pengalaman PAS bersama dengan UMNO pada tahun 1971 dan 1972. PAS akhirnya ditendang keluar oleh UMNO pada tahun 1977 dengan cara yang tidak beradab sekali. Perasaan benci kepada UMNO semakin membuak-buak lagi apabila sejarah mencatatkan kekejaman UMNO yang pernah menzalimi ulamak-ulamak, aktivis dan pejuang PAS selama ini.

Namun, janganlah pengalaman-pengalaman ini menjadikan kita meletakkan UMNO lebih teruk daripada kafir harbi sehingga tertutup semua ruang dakwah terhadap mereka. Janganlah kita mengkategorikan mereka di satu tempat yang kita tidak perlu jejaki lagi. Lupakah kita tentang sifat yang perlu ada kepada seorang daie untuk menyampaikan dakwah kepada mad’u?

Saya tertarik dengan kata-kata Ustaz Nasharuddin Tantawi, Ketua Pemuda PAS dalam ucapan penutupnya agar sifat benci kita kepada UMNO tidak menutup ruang untuk kita menyampaikan mesej Islam kepada mereka. “Jangan membina tembok pemisah untuk dakwah kita sampai kepada mereka. Kita adalah daie”. Katanya dengan penuh bersemangat disambut dengan laungan takbir daripada perwakilan.

Perasaan terhadap UMNO tidak boleh diletakkan di hadapan. Letakkanlah al-Quran dan as-Sunnah sebagai kemudi untuk memandu kita dalam membuat penghakiman.

Rasulullah SAW mempunyai pengalaman yang jauh lebih buruk dengan kafir Quraisy Mekah berbanding pengalaman PAS bersama UMNO. Namun, sewaktu membuka kota Mekah, Baginda SAW memaafkan dan membebaskan mereka tanpa sebarang hukuman. Sabda Baginda SAW;

لا تثريب عليكم اليوم , يغفر الله لكم

”Tiada pembalasan ke atas kamu semua pada hari ini, Allah akan mengampunkan kamu” (Al-Amwal , Abu ‘Ubaiyd, 143 dengan sanad hasan tetapi Mursal) Nabi diriwayatkan juga berkata ketika itu

نصبر ولا نعاقب

” Kami sabar dan tidak akan membalas ” (Riwayat Ahmad, 5/135 ; At-Trmidizi, 4/361 ; Sohih menurut al-Hakim dan disepakati az-Zahabi)

Akhirnya, dengan uslub dakwah Baginda, akhirnya menyebabkan kafir Quraisy Mekah memeluk Islam secara beramai-ramai.


SIKAP DOUBLE STANDARD

Saya agak hairan dengan sikap sesetengah pihak yang menuduh Tuan Guru Presiden dengan pelbagai bahasa yang tidak enak sewaktu beliau mengemukakan gagasan rundingan dengan UMNO. Kritikan itu seolah-olah menggambarkan Tuan Guru Presiden tidak memahami cita-cita serta matlamat PAS yang telah diperjuangkannya selama ini. Seolah-olah Tuan Guru Presiden baru menyertai PAS pada minggu lepas!

Namun, sekiranya perkara yang hampir sama digagaskan oleh pihak lain, mereka hanya mendiamkan diri. Bahkan menyokongnya.

Sebagai contoh, perbincangan YB Husam Musa dengan Chua Soi Lek tentang isu DUN Perak. Ia bukan sahaja tidak dipertikaikan bahkan disokong dengan sepenuh hati pula. Apakah perbincangan itu bukan muzakarah?

PAS Kelantan juga telah membenarkan YB Dato’ Ibrahim Ali untuk bertanding di Parlimen Pasir Mas dengan menggunakan tiket PAS. Siapa yang tidak kenal dengan Ibrahim Ali dan kerosakan yang telah dibinanya untuk menentang PAS sebelum ini? Dan kita telah sama-sama lihat kegagalan idea ini sekarang. Ibrahim Ali bukan sahaja mengkhianati amanah PAS, bahkan secara terus-terang mengkritik PAS dan Pakatan Rakyat. Mengapa tiada pihak yang mempersoalkan kegagalan ini?


Pengalaman Gerakan Islam

Gerakan menegakkan agama Ilahi ini sudah bermula sejak pengutusan Rasul yang pertama, Adam a.s. Kita adalah merupakan mata rantai kepada perjuangan ini. Kita bukan yang memulakan dan bukan juga yang menamatkan.

Nabi Musa a.s pernah diutuskan untuk bersemuka dan bermuzakarah dengan Firaun, manusia yang dilaknat Allah SWT. Apakah Nabi Musa a.s tidak memahami maksud perjuangan agama Allah yang dicita-citakan? Persoalan sama ada Firaun akan menerima dakwah atau sudah terhijab untuk menerima hidayah atau Firaun akan menerimanya dengan agenda terselindung bukanlah menjadi urusan Baginda a.s. Ia ditentukan oleh Allah SWT dan Dialah yang akan menjaga perjuangan yang suci itu.

Firman Allah SWT;

هَلۡ أَتَٮٰكَ حَدِيثُ مُوسَىٰٓ (١٥) إِذۡ نَادَٮٰهُ رَبُّهُ ۥ بِٱلۡوَادِ ٱلۡمُقَدَّسِ طُوًى (١٦) ٱذۡهَبۡ إِلَىٰ فِرۡعَوۡنَ إِنَّهُ ۥ طَغَىٰ (١٧

Maksudnya: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa? (15) Ketika dia diseru oleh Tuhannya di “Wadi Tuwa” yang suci; (16) (Lalu diperintahkan kepadanya): Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya); (17)”

(Surah An-Naziat : 15-17)

Gerakan Islam di Palestin HAMAS, apabila memenangi pilihanraya Palestin menawarkan kepada parti lawannya FATAH untuk membentuk kerajaan. Apakah pemimpin HAMAS telah melupai kekejaman FATAH terhadap pengikutnya yang lebih teruk dari kekejaman UMNO terhadap PAS? Apakah pemimpin HAMAS telah membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap kerjasama FATAH dan Zionis Israel selama ini untuk mengkhianati HAMAS? Atau mungkin pemimpin HAMAS tidak tahu untuk mengambil berat sensitiviti pengikut-pengikutnya yang telah banyak berkorban selama ini? Jawapannya tidak.

Fahamilah idea Presiden.

Fahamilah idea Presiden.


WALA’ DAN TAAT

Dato’ Dr. Harun Din dalam ucapan penangguhan telah mengingatkan perwakilan tentang musuh-musuh kepada perjuangan PAS. Musuh-musuh ini senantiasa wujud sama ada di luar atau dalam Jemaah sendiri.

Oleh kerana itu, beliau berpesan kepada ahli PAS supaya akur dan wala’ kepada Presiden sebagai amir atau ketua kepada Jemaah yang kita dokongi ini. Baginda SAW pernah berwasiat;

أُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَ جَلَّ وَ السَّمْعِ وَ الطَّاعَةِ وَ إِنْ تََأَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلافًا كَثِيْرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَ سُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ اْلمَهْدِيِّيْنَ عَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَ إِيَّاكُمْ وَ مُحْدَثََاتِ اْلأُمُوْرِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ .

( رواه أبو داود و الترمذي و قال : حديث حسن صحيح )

“Aku berwasiat kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah Azza Wajalla , dengar dan taat sekalipun yang mengarah kamu hanyalah seorang hamba , maka sesungguhnya sesiapa yang masih hidup dikalangan kamu , ia akan berhadapan dengan konflik yang begitu hebat , dikala itu wajib ke atas kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khulafa’ Ar Rasyidin yang mendapat petunjuk. Genggamlah ia dengan geraham dengan seerat – eratnya dan waspadalah kamu terhadap perkara – perkara yang diada-adakan maka sesungguhnya semua perkara yang diada-adakan ( yang tidak terdapat dalam syariat ) adalah sesat .”

Jangan sempitkan ruang dakwah

Jangan sempitkan ruang dakwah


Jangan kita meletakkan perasaan di hadapan, sehingga mengenepikan al-Quran dan Sunnah, rasional serta akhlak sebagai ahli gerakan Islam. Seumpama seorang wanita yang mengharamkan poligami kerana perasaannya walaupun dibenarkan oleh al-Quran dan Sunnah. Kita semua tahu dan sedar hukumnya. Wallahu a’lam.


FASTAQIM KAMA UMIRTA..

11 comments:

Anonymous said...

Agaknyanya TGNA ni tak secerdik anta !

Anonymous said...

agaknya anom 16:43 bertaklid buta je!

Anonymous said...

jika berbincang itu berlaku terang-terangan. mungkin penolakan muzakarah tak berlaku.

tapi buat sulit-sulit. muzakarah yang baik sudah jadi ragu-ragu.

takkan itupun tak faham2 kot??

zaydlekhair said...

Akhi Omar,

Rasulullah saw ketika menemani Safiah di kegelapan malam, apabila terserempak dgn 2 sahabat ansar dengan segera memperjelaskan situasi bahawa baginda adalah bersama safiah, demi mengelakkan prasangka dan fitnah (Hadith Muslim). Tetapi ada pertemuan di "kegelapan" (muqabalah) tidak diperjelaskan sebelum fitnah keluar melalui lidah umno. Begitu juga idea UG "yg kabur" bagai dlm kegelapan tidak diperjelaskan sesama "mutahalifin" (pkr dan dap) tidak juga sesama sahabat gerakan (termasuk juga majlis syura)sedangkan ia sgt2 boleh menimbulkan fitnah dan prasangka.

Tajuk paling tepat ialah "MUZAKARAH; ANTARA HUKUM, PERASAAN DAN KEBIJAKSANAAN SIYASI (kebijaksanaan atas nusus, waqie, muwazanah, aulawiyyat dan tatbiqi)

Ingatlah kata2 Rasulullah kpd Abu Dzar, "Anta dho'if, innaha la amanatun wa innaha yaumal qiyaamati khizyun..." lemahnya Abu Dzar pastilah bukannya ketidakfahaman terhadap nusus, tidak pula keberaniannya yg hebat menegakkan pandangan (dia insan pertama melaungkan syahadah kpd Quraisy), tetapi adalah kekurangan kebijaksanaan dlm menangani waqie dan tatbiq.

Anonymous said...

Salam. Disini kita boleh nampak sikap mudah melatah dikalangan penyokong2 PAS itu sendiri.

Artikel tersebut ini adalah cedokan bulat2 dari penulisan saudara Termizi Mohd Din yang juga boleh didapati daripada Web Pemuda PAS Gombak.

Ada pandangan yang menyatakan perbezaan antara TGHA dan TGNA adalah Ijtihad mereka. Mereka sebagai Tuan guru kita yang berilmu tinggi, adalah tidak wajar untuk kita memperlekehkan mana2 diantara mereka..

Elbaritii said...

Aduh, ceteknya pemikiran. Ukuran terima atau tolak hanya pada gelap dan terang? Sudah tidak percaya usaha gelap pimpinan? Mesti dan wajib terang?


Aduh, selepas ini, semua kerja-kerja politik mesti dihebahkan kepada media.

Qias dengan kisah Nabi tu tak betul untuk isu sebegini.

Kita fikirlah secara rasional. Presiden jumpa Dr Lah Syukur terangkah sembunyi? Anwar jumpa Puad Zarkashi terang ke sembunyi? Usaha Anwar nak lobi ahli2 Umno masuk PR terang ke sembunyi?

zaydlekhair said...

Makna terang tidak semestinya pengwar-waran kepada semua, cukup makluman atau penjelasan kepada individu2 yg berkenaan (level pimpinan atau barangkali level syura pihak mutahalifin) memandangkan pada level sensitiviti tajuk UG itu sendiri (ia sepatutnya diukur lebih awal). Nabi pon dlm kes bertemu Safiah pon cukup dgn menjelaskan kpd dua yg terserempak itu. Walaupun, TGNA menolak secara harfiah UG, tetapi itu tidak bermakna UG itu secara kefahamannya (walau tidak diperjelas) adalah tertolak. Pandangan ana, kesilapan vital UG ini ialah ia dilontarkan sebelum dimaklumkan kepada level pimpinan tertinggi semua yg ber"tahaluf". Justeru, ia dgn mudah menjadi fitnah.

Pelabelan atau generalisation "ceteknya fikiran" daripada bekas penghuni Madinatunnubuwwah adalah kata2 yg kurang wajar dlm situasi ini.

Elbaritii said...

Dalam isu muzakarah...pimpinan pada level tertentu telah terlibat, sejak awal kemenangan lagi. Tiada isu. Isunya sebab pimpinan tertentu tegar benci kepada Umno dan tidak pandai mengkritik secara dalaman.

Dalam isu UG, Tuan Guru mula melontarnya secara terbuka pada ucapan sulong kemenangan di Stadium Malawati lagi. Kemudian ianya telah dilontarkan agak lebih terperinci selepas itu dalam Harakah dan juga kepada pimpinan pusat walaupun tiada kata putus.

Pokoknya, Presiden sudah tidak dihormati haknya untuk memberi pandangan politik. Ianya dicantas segera oleh pimpinan tertentu.

Ceteknya, atas dasar apa kita menolak muzakarah dengan Umno secara senyap? Bincang dengan U,mno mesti terang?

Atas dasar apa menolak UG? Sedangkan idea itu belum lagi dibincang lumat oleh AJK Pusat di dalam mesyuarat.

Bagi saya, tiada salah pimpinan teratas menjalankan kerjanya, dengan apa kaedah sekalipun, dan pimpinan pusat yang lain janganlah cepat melatah.

Tidak semudah abc PAS akan meletakkan lehernya di pisau politik Umno. Parti kita sudah lengkap dengan prosedur tertentu untuk mati, kecuali ada pihak yang mahu parti kita berpecah dengan cepat.

Salah memberi idea atau salah membantah secara terbuka?

Elbaritii said...

Oh ya, idea Tuan Guru Presiden mungkin salah pada masanya. Itu saya boleh terima. Apa yang saya tidak terima, seperti kata Dr Harun Din dalam ucapan penggulungannya, tiada seorang presiden parti di Malaysia ini yang ideanya telah ditolak mentah-mentah oleh pimpinan dan ahli, kecuali PAS.

Dengan penolakan terbuka inilah menimbulkan keraguan kepada rakan tahaluf yang lain.

Kita juga tahu, tahaluf dengan DAP bukan sebelum menang, tetapi selepas menang dan saya sangat percaya, ia bukan berasaskan kepada perincian detil seperti apa yang diajarkan oleh rasulullah saw.

Kita sudah agak tolerate dengan perjuangan "Islam" kita sebaliknya DAP masih berkeras, hatta usul kita nak haramkan SIS pun dibantah keras. Saya sentuh pada hak kita, bukan pada rasional atau tidaknya usul itu.

Kita nak haramkan arak secara terbuka di Shah Alam, dibantah keras oleh DAP.

Maka, salahkah pimpinan Pusat mencari sesuatu yang mungkin lebih baik untuk agama Islam, tanpa bertanya kepada DAP?

Suatu hari nanti, kita akan dapat bandingkan antara hala tuju PR dan idealisme UG.

Elbaritii said...

Saya menolak istidlal Hadis itu kerana, ia berkaitan larangan Allah secara jelas kepada khalwat antara lelaki dan wanita. Maka Nabi segera maklumkan dia bukanlah wanita yang haram untukku khalwati.

Lagipun, Nabi maklumkan apabila TELAH terserempak, jika tidak, mungkinkah sampai ke sudah kita tidak tahu pada masa itu mereka berduaan...saw.

Saya tidak nampak hadis ini sesuai dijadikan hujah di sini.

Ia mungkin menjadi hujah kepada pihak yang bermuzakarah, sudah orang nampak, barulah jelaskan di dalam mesyuarat pusat.

Wallahu a'lam.

DAKWAH YEOP said...

Syukran kpd Ust elbariti, ana sgt setuju dgn pandangan anda dan artikel yg tersiar,kpd Ust zaydelkhair ana harap anda memaafkan istilah (ceteknya pemikiran) ianya sudah dijelaskan oleh ust elbariti bhw dlm isu ini dan masalah ini. Tdk bermakna anda cetek pemikiran sepanjang hidup..

ana bersetuju bukan kerana kapasiti ana sebagai bekas madaniyyun tetapi kpd penghujahan yg dibawa. ketepatan dalam menyesuaikan dalil pada tempatnya.

kita tdk di ajar utk membuta tuli wala' tanpa pertimbangan syarak. tiada insan yg maksum kecuali Nabi. tdk salah president melontarkan pandangannya sekalipun ana juyga bersangka masanya belum sesuai. tetapi mengapakah kedapatan suara2 keras yang menghentam? cabaran dan ucapan TGNA terhadap ust Nasha amat memeritkan dan tdk sepatutnya terbit dari beliau sebagai seorang yg lebih ilmu dan pengalaman.

semoga Allah mengampuni TGNA dan memberikan taufik dan hidayahnya kepda semua pemimpin islam di msia khasnya dan menghilangkan kebuntuan dan menjauhkan kita dari perpecahan. amin..syukran al-fadhil ust elbariti.