5.6.09

USTAZ NASHARUDIN MASIH PALING SESUAI



1. Ketika menulis artikel "Perjawatan Dalam PAS - Pandangan Saya", saya mengambil pendirian Imam Abu Hanifah yang menolak kaedah mafhum mukhalafah. Jika saya mengatakan Ustaz Nasharudin wajar menarik diri, saya langsung tidak bermaksud bahawa beliau tidak wajar bertanding mempertahankan kedudukannya. Perkara itu perlu dibaca wajar menarik diri dan wajar bertanding. Tidak salah jika saya tegaskan, kedua-duanya adalah wajar.

2. Sebelum itu, saya ingin jelaskan bahawa saya tidak berganjak daripada pendirian asal, buat masa sekarang ini, Presiden dan Timbalan mestilah mereka yang beraliran agama. Di mana-mana tulisan saya, tidak pernah saya menarik pendirian itu.

3. Maka, pendirian itu kekal. Namun, itu tidak bermakna saya mesti menyokong Ustaz Nasharudin selama-lamanya. Jika ada calon ulama lain, maka ia perbincangan lain.

4. Berbalik kepada perkara no 1 di atas. Cukup mudah untuk memahami bahawa pendirian saya tidak berubah dan saya menyokong Ustaz Nasharudin pada pemilihan kali ini. Pertama, ia dijelaskan secara longgar pada ayat pertama saya. Kedua apabila saya menggunakan kalimah wajar bagi Ustaz Nasharudin menarik diri dan ketiga, saya masih kekal dengan pendirian ulama sebagai Timbalan.

5. Saya menyebut Jawatan Ketua Penerangan adalah atas dua perkara. Pertama sebagai mencadangkan jawatan terbaik bagi beliau selepas kalah jika kalah atau jika menarik diri, kerana ianya wajar menarik diri. Kedua, jika Ustaz Nasharudin menang sekalipun sebagai Timbalan, saya mahu jawatan itu dipegang oleh seorang berfahaman agama (dakwah) yang mantap. Itu maksud utama saya.

6. Maksud sebenar artikel ini adalah untuk memberi pandangan kepada jawatan-jawatan lain, kerana itulah yang lebih penting difikirkan oleh Presiden dan Ahli Jawatankuasa yang menang nanti. Sila baca.

7. Akhirnya, untuk kali ini, bagi saya, Ustaz Nasharudin masih menjadi calon paling sesuai untuk jawatan Timbalan Presiden. Sebabnya adalah kerana kesilapan jika ianya silap, yang kononnya dilakukan oleh beliau, tidak memberi apa-apa impak negatif, atau belum berlaku kepada parti kerana beliau belum pernah diberi kuasa veto untuk membawa leher PAS disembelih Umno.

8. Juga, kerana kesilapan yang didakwa itu, jika begitu, adalah terlalu kecil berbanding jasa besarnya meletakkan imej PAS cukup tinggi di persada politik negara, ketika beliau mula-mula memegang jawatan itu. Saya sangat yakin, semua perwakilan masih ingat. Malah kemenangan kini juga sedikit sebanyak adalah hasil penonjolan beliau sebelum ini.

9. Terakhir, lemah kuatnya beliau, beliau adalah pemimpin paling cocok untuk digandingkan dengan Tuan Guru Presiden berbanding dua calon yang lain. Di sini, bukan ulama atau profesional atau aktivis isunya. Isunya ialah, siapa yang paling ngam dengan Presiden?

10. Kalau nanti Tuan Guru Presiden menyebut soal kerajaan perpaduan, apakah Husam akan memanggil sidang media untuk menyokong? Jika nanti Timbalan Presiden perlu menggantikan Presiden ke pertemuan di negara-negara Arab terutamanya, apakah Mohd Sabu mampu membantu dengan baik? Apakah kedua-dua mereka lebih layak daripada Ustaz Nasharudin untuk membantu Presiden dalam program pentarbiahan parti? Jika ditanya kenapa mesti Timbalan, maka jawapan saya, kerana tarbiah masih agenda utama parti. Itu beberapa contoh kecil sahaja demi melihat ketiga-tiga calon ini daripada sudut isu-isu yang muncul. masih banyak lagi kriteria yang perlu diperhatikan. Ya, saya masih tetap.

Selamat bermuktamar...

No comments: