6.6.09

TAHNIAH, PERBAHASAN DAN PENGAJARAN


1. Tahniah kepada Cikgu Pa dan pembantu-pembantu yang saya kira-kira berjaya menyimpan keputusan pengundian dengan baik. Tahniah kepada Ustaz Nasharudin. Satu sahaja ulasan saya atas kemenangan beliau, "tilkal khibrah allati la tansaha abadan".

2. Tahniah kepada semua yang diamanahkan oleh Allah Ta'ala melalui pengundian semalam. Bagi yang kurang undian, insya Allah, tuan puan akan dipilih oleh Allah dalam cara yang berbeza atau diberi amanah yang berlainan.

3. Banyak yang ingin saya catatkan setelah mengikuti perbahasan penuh perwakilan setiap negeri sepanjang hari ini. Tahniah kepada Ustaz Salahuddin Nasir yang saya kira telah melakukan "come back" yang tepat pada masanya dalam arus politik perdana parti. Sebagai wakil Selangor, usul sokongan dan ucapan terima kasih terhadap ucapan dasar Presiden yang beliau huraikan telah berjaya meningkatkan mood yang baik untuk suasana perbahasan.

4. Sokongan terhadap usul itu disempurnakan oleh Ustaz Nazir Zakaria dari Putrajaya. Ulasannya juga sangat menarik dan bernas, sambil melontarkan pendirian bahawa jawatan nombor satu dan dua dalam parti adalah milik semua kategori pemimpin. Beliau juga turut mengulas peranan PAS di peringkat antarabangsa.

5. Wakil Kedah pula mengingatkan parti dan seluruh ahli dan kepemimpinannya agar tidak tergelincir dari landasan Islam yang didokong oleh PAS selama ini. Jangan sekali-kali melupakan akhlak berjemaah dan sifat takwa yang mendasari pejuang.

6. Saya gembira apabila mendengar ucapan Ustaz Yussaine Yahya yang mewakili Perlis. Puas, seronok dan syukur saya sematkan di hati tatkala peringatan demi peringatan yang beliau lontarkan kepada ahli dan pemimpin. Perkara yang sama juga telah dikemukakan oleh wakil Dewan Pemuda, Ustaz Azman Shapawi. Saya kira, isu yang mereka sentuh, seperti wala', thiqah, pengukuhan Majlis Syura dan lain-lain merupakan isi hati pejuang-pejuang PAS keseluruhannya. Juga turut menuntut supaya diperkukuhkan Jawatankuasa Disiplin parti bagi mengekang penularan akhlak buruk dalam parti.

7. Itu antara yang sempat saya ingat daripada perbahasan-perbahasan yang menarik sepanjang hari ini. Badan yang penat dan letih, membataskan fikir saya. Kesilapan saya, hadir ke muktamar tanpa pen dan kertas. Insya Allah, saya akan memberikan pandangan-pandangan demi mengukuhkan kedudukan Majlis Syura PAS.

8. Esok, saya akan hayati jawapan-jawapan pimpinan dan pastikan apakah mesej akhir yang disampaikan oleh mereka. Jika kita mendengar ucapan pimpinan besar parti dalam majlis terbuka sebegini, jangan membaca hanya satu lapis sahaja. Contohnya seperti ini.

"Apa yang ingin saya tegaskan ialah PAS dipimpin secara kolektif oleh kalangan ulama dan profesional. "Di mana ulama itu tidak bersikap diktator dan profesional yang (tidak) bersifat tamak. Kita bersatu antara satu sama lain."

Apa yang anda faham daripada kenyataan Presiden?

Wallahu a'lam.

No comments: