7.6.09

INTISARI UCAPAN PENANGGUHAN PRESIDEN - SUATU GAGASAN DAKWAH ISLAMIAH YANG SYUMUL


1. Islam adalah agama yang sempurna, penuh dengan nikmat yang mencukupi dan itulah yang diredhai Allah.

2. PAS ibarat sebuah bahtera. Tidak akan selamat sesiapa yang meninggalkan bahtera ini. Dan PAS sesekali tidak akan menumpang bahtera Umno atau BN.

3. Perjuangan PAS berlandaskan Islam, memiliki matlamat yang jelas. Jika terdapat kelompok yang mengambil selain Islam, maka kiblat perjuangan mereka hanyalah kekayaan ekonomi.

4. Perjuangan PAS berpaksikan kepada konsep mendahulukan Wahyu dan Hikmah. Setiap pergerakan seharusnya merujuk kepada Al-Quran dan Al-Sunnah terlebih dahulu.

5. Sebagai bahtera penyelamat, PAS dan ahlinya wajib menyelamatkan mereka yang berada di luar parti, khususnya umat Islam. Mereka adalah golongan yang jahil atau kadang-kadang bersemangat kuat dalam beragama, tetapi salah dalam memahami konsep sebenar agama.

6. PAS juga melakukan pendekatan mengajak seluruh manusia kepada Islam.

7. Musuh terdiri daripada dua jenis. Pertama musuh sebenar dan kedua musuh yang direka dan dicipta. Musuh jenis kedua ini terdiri daripada Umno. Mereka menentang PAS kerana jahil, diberi fakta yang salah atau demi kepentingan tertentu. Mereka mesti didekati untuk diberikan kefahaman Islam. Musuh jenis pertama adalah musuh yang sengaja memusuhi PAS kerana menyedari kebenaran yang dibawa PAS.

8. Khazanah ilmu Islam mengajar marhalah-marhalah dakwah dan taghyir kepada pelbagai jenis golongan masyarakat. Antaranya tahaluf, muzakarah, mujadalah dan perang. Dalam kepelbagaian marhalah ini, paling diutamakan ialah marhalah dalam kategori perdamaian, lebih-lebih lagi dalam sistem demokrasi. Ini bertepatan matlamat untuk menyelamatkan manusia.

9. Merujuk ayat 33 hingga 36 daripada Surah Fussilat. Antara pengajarannya, Allah menegaskan bahawa hanya orang yang bersabar dan memperolehi kebahagian di dunia dan akhirat sahaja mampu melakukan kebaikan kepada usaha jahat pihak musuh. Sila rujuk Tafsir Ibnu Kathir untuk ayat ini di sini . ( Ayat-ayat ini seolah-olah menjadi asas kepada usaha muzakarah bersama Umno - Elbaritii )

10. Juga merujuk kepada ayat 125 Surah Al-Nahl. Mereka yang berjiwa besar sahaja yang mampu berdakwah dengan baik dan bersabar.

11. 4 sifat utama pejuang Islam, iaitu taqwa, taat, wala' dan ukhuwwah. Sirah membuktikan para sahabat mentaati Rasulullah yang merupakan pemimpin mereka dalam perkara yang mereka faham dan tidak.

12. Strategi adalah perkara yang penting ketika menghadapi musuh. Tidak semuanya mesti didedahkan kepada ahli. Apa yang penting, percaya kepada pimpinan yang beriman dan bertaqwa.

13. Sasaran perjuangan PAS adalah ummah ijabah dan ummah dakwah.

14. Tuan Guru memulakan ucapannya dengan membaca sebahagian ayat 3 Surah Al-Maidah.

No comments: