6.8.09

HATI SELEPAS NISFU SYA'BAN

1. Lebih sebulan blog ini tidak berubah. Kekal dengan artikel lama dan wajah serupa. Malam ini saya gagahkan diri untuk meloretkan satu dua rasa.

2. Malam tadi ramai yang gembira menamatkan buku mereka dengan husnul khatimah dan membuka lembaran baru dengan husnul bidayah. Itu bagi yang beriman dengannya. Bagi yang tidak menerimanya, kekallah malam tadi seperti malam ini dan malam seterusnya.

3. Bagi saya, semuanya serupa. Bezanya hanya pada hati.

4. Apakah hati kita pada malam ini lebih baik berbanding semalam? Seterusnya apakah hati malam ini mampu menjadi raja pemerintah untuk mengejar kebaikan-kebaikan yang melimpah ruah? Atau malam ini tidak beza dengan malam-malam sebelumnya, hati tetap diselimuti kapan keimanan?

5. Bagi hati-hati yang kotor, jadikan malam ini masa untuk suatu pengajaran kerana malam esok belum tentu sempat dirasai. Biarlah telah melepasi separuh Sya'ban, belum lagi malam Ramadhan dan jauh lagi malam Syawal, namun hati-hati ini mesti diubati segera.

6. Ilahi ya Rabbi, hati-hati ini sedang lena dibuai mimpi indah. Mimpi sekeping hati yang tertipu dengan fatamorgana jalanan. Bangkitkan kesedaran pada hati-hati ini. Sucikan ia daripada terus dikotori. Ya Ilahi, siapa lagi untuk hati-hati ini berpaut? Pada mimpi? Pada fatamorgana? Pada nafsu-nafsi?

7. Ilahi, malam ini malam Ilahi. Kau menentukan malam ini untuk hati ini akur dan tunduk. Pada kebesaranMu, ya Rabbi...Dan Kau sedarkanlah pada hati-hati itu, bahawa hati ini memerlukan bantuan penunjuk arah!

"Tuhanku, aku tidak layak untuk menghuni FirdausMu, tetapi aku tidak kuat menanggung api nerakaMu, oleh itu kurniakanlah keampunan kepadaku ampunkanlah dosaku, sesungguhnya Kaulah Maha pengampun dosa-dosa besar..."

No comments: