Malam begini, belum tentu mak sedang nyenyak tidur. Semua yang mak lakukan bergantung kepada kesihatannya.
Jika sakit, mustahil mak akan tidur nyenyak dan mungkin mak sedang mencari-cari ubat sedutnya ketika ini, untuk melapangkan paru-paru bagi mudah bernafas. Kalau agak sukar, saya akan dipanggilnya untuk membantu.
Setiap malam adalah malam saya bersamanya. Tidur di sisinya. Anak dan isteri di atas, saya dan mak di bawah. Mustahil mak naik ke atas, lagi mustahil saya di atas dan mak keseorangan.
Tidak tentu masa mak akan memanggil saya. Kadang-kadang jam 2. Selalunya jam 3 atau 4. Bila terasa sesak menyerang, saya akan dikejutkan bagi membantu. Walaupun tidur saya belum mencukupi, haram untuk saya terus tidur dan membiarkan mak mencari-cari ubatnya.
Malam mak memerlukan pusingan kipas yang deras, walaupun tak sewajarnya begitu. Tetapi malam saya berbeza. Maka saya akan baring agak jauh sedikit dari mak, menyorok daripada deruan angin kipas yang boleh menyebabkan saya bangun pagi dalam keadaan selesema atau hidung tersumbat.
Kadang-kadang malam begini saya membantu mak menukar kain lampinnya, jika sakit mak agak teruk sehingga tak mampu berjalan ke bilik air. Jika mampu, saya memimpin tangannya pula ke bilik air.
Kadang-kadang, saya dipanggil untuk mengurut dadanya, menggosok perutnya yang senak atau menyapu minyak but-but dibelakangnya. Semuanya mengikut tahap kesihatannya.
Jika mak dalam keadaan ok, ok-ok orang sakit, malam begini mak sedang nyenyak tidur. Sekali sekala dia berpusing ke kanan ke kiri. Sesekali bangun seketika untuk bernafas elok, kemudian tidur semula.
Hebatnya mak, jika sihat-sihat orang sakit, saya yang muda dan sihat begini tidak mampu mengikuti istiqamah mak bangun malam mengadap Ilahi sebelum subuh, setiap pagi, seperti arwah suaminya dahulu. Kadang-kadang saya nasihatkan mak, jangan mandi, ambil wudhu' sahaja kerana takut kesejukan pagi menyebabkan paru-parunya lebih lemah. Nampaknya, mak tak berapa nak ikut.
Inilah bekalan hebat abah suatu ketika dahulu. Mak juga sama.
Abah bukanlah orang luar biasa. Juga mak. Ilmu agamapun setakat apa yang dipelajari di kampung Teluk Sena, Parit. Guru mak dan abah dijemput dari Lambor Kiri, Lambor Kanan, Kampung Baru dan sekitarnya. Ada beberapa guru yang menjadi ikutan mereka.
Antaranya Tuan Haji Sufian, Tuan Haji Zainal, Tuan Haji Alias dan beberapa lagi nama yang saya tidak ingat. Mereka belajar agama agak lewat. Sudah berusia. Menaiki vespa berdua menuju ke surau tanah wakaf atau surau "deyo". Semasa di dalam DID, mereka mengaji di surau kuarters.
Banyak yang mereka pelajari. Dan banyak yang mereka amalkan.
Mak dan abah tidak ada musuh di kampung. Mereka tidak berdendam. Nampak seperti sanak saudara mereka amat menyenangi mereka.
Sejak sekian lama, kami menyaksikan mak dan abah memang komited dengan solat malam. Alhamdulillah, hasil didikan guru-guru mereka.
Dan itulah hebatnya mak. Tidak pernah bangun selepas azan subuh, kecuali beberapa kali dalam setahun kerana sakit teruk atau ketika di wad.
Malam mak indah dengan ibadah, hatinya lembut dengan Allah, walaupun mak suka dengan cara yang tegas mendidik anak-anaknya.
Kadang-kadang saya terfikir, banyak yang saya belum lakukan untuk malam-malam mak. Kini malam mak setiap masa, keseorangan di sana. Moga Allah 'menemankannya' dengan amalannya di malam hari hidupnya.
Selalu saya fikir, mungkin saya yakin begitu, bahawa saya jauh lagi untuk menyempurnakan hutang-hutang saya pada mak, bagi membalas jasa siang malamnya terhadap saya. Mungkin saya pernah tidak tidur untuk menjaga mak di malamnya, tetapi mak, setiap malam tidak cukup tidur untuk saya, semasa kecil saya. DAN, bukan saya seorang, sebaliknya untuk 12 orang anaknya.
Ya Allah, apakah hebatnya hambaMu bernama mak ini? Alangkah hebatnya!!!
Ya Allah, apakah aku masih berdosa dengan mak aku? Aduh...semuanya berlaku seperti sekelip mata.
No comments:
Post a Comment