8.2.10

Sialkah Wala'

Wala' selalu menjadi mangsa orang yang gagal mengenalinya.

Sejak dua tiga tahun yang lalu, ramai yang gatal jari menulis pasal wala' dengan cuba memperlekehkannya atas maksud dan tujuan tertentu. Tetapi gatalnya mereka ini, selalunya sekadar menggunakan satu dua ayat sahaja untuk menghuraikan batang tubuh wala' dan salahkan orang yang berwala' atau menyeru buat wala'.

Semuanya kerana wala' itu dilihat menjadi halangan mereka untuk mencapai sesuatu maksud. Biasanya apabila ia berkaitan kepemimpinan seseorang yang bersalahan daripada kehendak diri.

Kelompok yang kononnya anti kepada wala' membabi buta ini, gagal memahami wala' sebenar dan apakah peranan wala'. Jika mereka mahu mencabutnya daripada senarai akhlak-akhlak berjamaah, maka sudah jelas lagi bersuluh, mereka tidak mahu lagi untuk mempastikan rangkaian dan perhubungan antara pemimpin dan pengikut berjalan lancar. Ada matlamat lain yang dikejar di sebalik itu.

Ini kerana wala' adalah cukup cantik dan indah bagi mempastikan perhubungan itu sentiasa lancar. Wala' bukan penghalang kepada berbeza pandangan, bahkan ia ubat dan pelincir kepada perbezaan pandangan antara ahli dan pimpinan, agar semuanya terurus dengan baik.

Wala' selari dengan taat, dan perlu dikaitkan dengan kaedah Islam, pemimpin sebagai pihak atasan berkewajipan membuat keputusan demi maslahah agama dan maslahah umum yang menuruti kehendak nas.

Mereka yang gagal memahami kaedah ini, lantas jahil memahami nas yang terbentang sejak sekian zaman, mulalah tersepit bila wala' dihamparkan di hadapan mata mereka. Langsung terus mengkritik batang tubuh wala'.

Islam tidak pernah sama sekali membenarkan pandangan orang bawahan wajib diikuti oleh orang atasan, kecuali dengan format yang dipersetujui bersama, seperti keputusan ahli jamaah pada muktamar yang diadakan.

Sebaliknya, Islam amat menekankan kepatuhan orang bawahan terhadap keputusan atasan, selagi tiada percanggahan dengan nas. Ambil apa sahaja contoh depan mata kita, mereka yang membantah keputusan tertentu, apakah keputusan itu bercanggah dengan nas, atau bercanggah dengan kehendak dan "kebijaksanaan" mereka?

Jarang mereka berhujah dengan nas kerana tiada hujah. Apabila wala' menghalang, itulah sasaran mereka, kerana mustahil mereka mengkritik nas, sebaliknya menyalahkan pemimpin yang menyebut tentang wala', seterusnya wala' terus terhina macam suatu yang sial.

Bagi anda yang bersusah payah menyanggah pemimpin hanya berdasarkan pandangan anda, apakah sebenarnya yang anda perjuangkan? Benarkah anda yakin anda seorang sahaja yang berhasrat menjaga perjuangan ini? Kenapakah Allah tidak selamatkan perjuangan ini dengan memberi jawatan pemimpin ummah dan jamaah kepada anda?

Atau anda sebenarnya memperjuangkan ego seorang bawahan yang percaya ada hak tanpa batasan mengkritik pemimpin yang anda hukum sendiri, telah melakukan salah pada agama?

Kini, apa yang semakin bersebar, penentang pemimpin tertentu adalah pejuang agama, jamaah dan kebenaran. Kami yang ramai dan diam ini siapa? Dungu-dungu yang hanya pandai mengangguk? Sudah tentu bukan!

2 comments:

Nisa' News Network said...

Adakah mereka yang mempertikaikan wala' ini tahu dan pernah mengikuti tamrin wala'?
Saya yakin, LANGSUNG TIDAK!
Malah tak tahu banyak lagi benda yang ada dalam sistem tarbiyyah PAS...

Semoga kebenaran akan terserlah satu hari nanti...

Elbaritii said...

"Jika wala' dan taat sudah terungkai, akulah maharaja sampan kontotku"