16.3.10

JIHAD BLOG

Ketika Malaysia belum memasuki era perang, maka jihad perang belum relevan lagi untuk dihurai secara detil kepada rakyat. Nak bercerita tentangnya pun serba salah kerana tiada siapa yang benar-benar ada pengalaman berjihad untuk berkisah, walaupun banyak ayat dalam al-Quran mengisahkan perihal jihad perang.

Oleh itu, banyaklah jenis jihad lain yang menjadi medan juang pencinta kepada agama. Jihad ekonomi, jihad pendidikan, jihad dakwah, jihad perbankan Islam, jihad politik Islam, jihad penulisan, jihad ceramah, jihad berkebajikan, jihad NGO Islam dan lain-lain.

Sejak lima tahun lalu, jihad blog muncul di tengah rakyat. Ramai yang terjun ke medan ini demi mahu melihat zalim dilanyak, adil dijulang dan hak diperteguhkan. Ini memang satu jihad yang menarik perhatian ramai peminat kepada tulis menulis.

Jihadnya bermula dengan mencari ilmu, mengkaji fakta, mengejar peristiwa sehinggalah kepada perdebatan di alam maya, menghadapi kritikan dengan masa yang terhad untuk menjawab dan kemungkinan disaman atau diugut. Tekanan daripada pihak sendiri juga mungkin berlaku.

Jika mudah, tidaklah namanya jihad. Jika dakwah tulisan diikhtiraf jihad oleh ulama, maka tentulah ada banyak kesukaran dalam medan jihad ini, termasuklah jihad blog dan laman sesawang.

Apa lagi jihadnya?

Tentu banyak. Antaranya, menahan diri daripada menulis apa sahaja sehingga memuaskan nafsu sendiri, demi menjuangkan bijak sendiri untuk kepuasan diri, tanpa mengira maslahah ummah, jamaah dan kepimpinan jamaah!

Jihadnya, menahan ego diri yang bijak dan cerdik ketika jahil dengan perancangan samar pimpinan.

Jihadnya termasuk menahan diri daripada memalukan sesama pencinta agama dan hak ketika melihat pihak lain salah memilih dan berijtihad.

Juga menyebut kebenaran kepada teman dan lawan, dengan cara yang hikmah pada kedua-dua sasaran. Hikmah pada musuh berbeza dengan hikmah pada teman sendiri yang terikat dengan cinta dan wala' pada agama dan kebenaran.

Jihadnya, sukar mengikut dan syok melulu. Banyak lagi jihadnya...

Moga jihad ini benar2 memberi kebaikan akhirat kepada pesertanya.

No comments: