23.8.10

ILMU ISLAM PENGIKAT

Semalam, saya berkesempatan membantu sekumpulan kecil pelajar-pelajar sebuah universiti untuk menyempurnakan program usrah mereka. Gembira dengan kesungguhan mereka untuk meriakan Ramadhan dengan program pembentukan diri sebegitu. Qira’ah, tadarus, usrah, berbuka, jamaah dan diakhiri dengan taraweh. Moga mereka terus diberikan kekuatan selepas berpisah.

Mereka adalah pelajar tahun akhir. Tajuk yang diminta untuk saya kupas juga adalah berkaitan diri mereka, iaitu sekitar persiapan untuk masuk ke medan dakwah/kerja agama selepas alam kampus. Isu keciciran selepas graduasi seakan-akan menjadi kebimbangan besar kepada mereka.Jika tidak, masakan ia sentiasa menjadi mainan minda mereka.

Beberapa minggu dulu, saya juga telah dipanggil oleh mereka untuk membicarakan perkara yang sama. Kini sekali lagi dipanggil dengan tajuk yang serupa. Demi tidak menjemukan mereka dengan pengulangan hujah dan idea saya, seorang sahabat diajak sekali memberi pandangannya.

Tertanya-tanya juga saya. Kenapakah mereka terlalu takut tergelincir daripada jalan dakwah setelah meninggalkan kampus nanti? Persoalan ini, masih belum terjawab hingga kini. Mungkin juga kerana mereka telah menyaksikan begitu ramai abang-abang mereka yang ‘hilang’ selepas aktif di alam kampus. Agaknya, kita boleh simpulkan, ini adalah masalah perjuangan pelajar kumpulan Islam, dari dahulu, kini dan mungkinkah selamanya? Ia sebenarnya isu biasa bagi sebuah perjuangan Islam yang global dan berzaman.

Dalam usrah itu, saya yang kerdil lagi kurang bergiat aktif ini, cuba memberikan pandangan dengan menyatakan perkara yang sangat asas. Mungkin ada yang memandang ianya remeh. Ia adalah soal hati.

“Apakah sebenarnya niat kalian aktif dalam jamaah di kampus?” Dan saya ulang banyak kali, menyertai jamaah di kampus adalah lebih bernikmat daripada hidup bersendirian sebagai seorang muslim yang terasing. “Macam-macam keseronokan yang kalian dapat, dengan aktif berjamaah. Makan bersama. Tidur serumah. Berjaulah melihat dunia. Mendengar kupasan menarik para ulama dan pimpinan. Mengejar dan dikejar pegawai universiti. Macam2 lagi. Semua itu adalah kemanisan. Dan semua itu sukar untuk kalian kecapi di luar sana, lebih-lebih lagi setelah berkeluarga.”

Selain hambatan tanggung jawab berkeluarga, bermacam-macam karenah lagi yang bakal menguji tahap keintelektualan mereka yang menanti di luar kampus. Sabar, malah ego juga bakal terusik. Ini membawa kepada tarikan untuk terus kekal dan kaku di rumah semakin kuat. Lantas itulah saya segera mengutarakan, apakah sebenarnya yang bakal memasakkan mereka dalam perjuangan atas nama Islam?

Saya tegaskan begini. Betulkan niat kalian ketika ini. Rangkullah sebanyak mungkin ilmu Islam yang sangat luas berbanding sekadar menghadamkan kaedah-kaedah dakwah dan fikrah perjuangan. Jadikan diri bersedia untuk dimanfaati orang ramai. Jangan sekadar merancang untuk menjadi pancatat minit mesyuarat, atau menjadi juru kempen pilihanraya. Pendek kata, apa yang ingin saya maksudkan ialah, jika keluar dari alam kampus sebagai dai’e, biarpun sekadar pendakwah kecil dan sekali sekala, insya Allah banyak faktor penolak dan penarik untuk terus kekal dalam gerak kerja Islam.

“Kalian bukan ahli jamaah kampung. Kalian orang bijak pandai. Boleh mencari dan mengejar ilmu. Boleh mengumpul dan membahaskan ilmu. Jadikan diri kalian ibarat ‘ustaz’ dan ‘ustazah’ yang berguna dan boleh digunakan. ‘Imam’ yang dinantikan di surau-surau. ‘Naqib’ dan ‘naqibah’ yang menggerakkan usrah-usrah cawangan. Maka kalian akan sentiasa ‘ditarik’ oleh ahli jamaah dan masyarakat. Jika sekadar berbekalkan pengalaman kepimpinan, gerak kerja hebat dikampus, faktor-faktor ini tidak banyak membekas di jiwa masyarakat untuk mereka mengikat kalian. Mungkin akhirnya kalian sendiri rasa tersisih”. Hujah saya sehingga azan maghrib berkumandang.

Saya tidak bermaksud mereka mesti mampu mengajar di surau dan masjid. Tetapi mereka mesti berperwatakan semacam orang surau dan masjid. Mungkin istilah itu kurang selesa. Tapi maksudnya begitulah. Mampu pimpin usrah di luar dan seumpamanya. Masing-masing ada ilmu asas agama yang dhoruri itu.

Itulah kupasan saya. Sebagai satu cara untuk mencari kekuatan ‘tsabat’ dalam kerja agama, di tengah pelbagai cara dan kaedah lain yang sangat banyak. Saya tidak menafikan faktor-faktor lain yang juga mampu mengikat mereka dalam perjuangan.

Sebaik meninggalkan markas sewaan mereka, saya lantas memuhasabah diri sendiri. Ibarat apa yang saya ketengahkan, alhamdulillah Allah masih mahu saya memberi sumbangan, walaupun kecil, kepada apa yang disebut kerja agama bersumberkan sekelumit ilmu yang dipinjamkan.

No comments: