16.8.10

SEBUAH DOA DI HADAPAN HIDANGAN


Rasulullah saw bersabda daripada ‘Amru bin al-‘Aas yang bermaksud: “Doa orang yang berpuasa ketika berbuka tidak akan ditolak oleh Allah.” Riwayat Ibnu Majah.

Telah menjadi kebiasaan kebanyakan kita yang berpuasa, tidak akan meninggalkan doa berbuka dan makan. Sama ada bersendirian atau beramai-ramai. Doa selepas pula, kerap tertinggal. Manusia begitulah.

Hadis di atas pula memberi satu galakan yang sangat kuat untuk meneruskan amalan berdoa tersebut, malah mesti ditambah pula dengan apa sahaja doa yang ingin dipinta oleh hamba Allah yang berpuasa. Hadis ini tidak menghadkan kepada doa makan atau doa berbuka. Oleh itu, rebutlah kesempatan yang ada, sama ada di atas sofa, tikar solat, dalam kenderaan mahupun di hadapan hidangan makanan.

Angkat tangan dan mintalah apa sahaja daripada Allah ta’ala dengan adab-adab doa yang terpelihara. Mohon dunia dan mohon akhirat dalam kesempurnaan. Mohon kegembiraan dan kebahagiaan diri dan insan-insan tersayang. Mohon rahmat dan keberkatan berpanjangan. Mohon ilmu yang benar dan amalan yang berterusan. Mohon bertambah rezeki dan berkurang mala petaka. Segala-galanya boleh dipohon ketika ini.

Lagi, harapkan belas ihsan Tuhan. Pinta kasih sayangNya. Mohon dijauhkan daripada ujian yang sukar dilalui. Minta keampunan dan keredhaan Ilahi.

Dan sudah tentu, di hadapan makanan itu, pasti kita akan mengingati mereka yang susah, mahu mengikuti mereka yang senang, mohon segalanya diberkati Allah, demi kebahagiaan insan-insan tersayang, tanpa tidak melupakan insan yang telah pergi selamanya. Mungkin itulah antara hikmahnya berdoa di tika ini. Mudah menginsafi segalanya.

Itulah indahnya Islam. Ketika menikmati kelazatan melahap dengan adab, diberi pula kemudahan untuk meraih nikmat-nikmat lain. Cuma sentiasa ber‘connected’ dengan Maha Pencipta. Antaranya, melalui sebuah doa di hadapan makanan.

No comments: