13.8.10

MEMUHASABAH SATU DUA PERANAN SURAU DAN MASJID

Gambar Hiasan


Sebaik peralihan kuasa berlaku di Selangor, banyak perubahan baik berlaku di masjid-masjid dan surau. Alhamdulillah. Program makin banyak. Semangat juga meningkat.

Dalam kegembiraan dan keseronokan ini, ada beberapa perkara yang suka untuk saya bangkitkan di sini sebagai tazkirah Ramadhan untuk kita semua, khususnya pentadbir surau dan masjid. Mudah-mudahan ini menjadi perkongsian umum demi memperbaiki apa yang perlu, dan meningkatkan apa yang telah bermula. Memang bukan mudah mentadbir sesebuah organisasi seperti ini, dengan karenah yang pelbagai, ujian meningkat serta halangan-halangan lumrah.

Kepada Allah jualah kita menunduk mohon petunjuk dan kekuatan, mudah-mudahan amanah yang ada di bahu masing-masing tertunai.

1. Tahap keutuhan ukhuwwah seluruh anggota qariah yang bernaung di bawah lembayung kalimah taiyyibah “Tiada Tuhan selain Allah”. Usahakanlah demi menyempurnakan agama ini

2. Menyusun atur kuliah pengajian yang benar-benar bersistematik sehingga mampu menjadikan kaki surau dan masjid sebagai “pelajar agama” bermaklumat, selepas sepenggal pilihanraya mereka berteleku mengaji dengan pilihan bebas, penceramah berintegriti dan tiada penyembunyian ilmu dan fakta. Kurangkan kelas-kelas yang umum dan kadang-kadang terlalu umum sehingga anggota jamaah pulang ke rumah hanya menambahkan semangat beragama, bukan menambah ilmu untuk membetulkan agama diri

3. Kewujudan unit pencegahan kemungkaran dan maksiat yang mampu merealisasikan maksud kalimah pencegahan itu sendiri. Mencegah bukanlah bermakna menangkap pelaku maksiat yang bersekedudukan, menakut-nakutkan mereka dengan gerombolan mat ketayap putih yang ramai, memaksa mereka berkahwin tanpa mengira langsung perihal kemampuan, wali dan seumpamanya, memecahkan pintu rumah orang, menghantar ke balai polis dan sebagainya. Itu bukan pencegahan.

4. Perbanyakkan program keluar dari surau dan masjid bagi bertemu masyarakat dengan membawa obor dakwah. AJK surau dan masjid bukan hanya berperanan dalam surau dan masjid sahaja. Cara paling mudah ialah sediakan bahan bacaan berkala dan diletakkan di peti surat ahli qariah.

No comments: