14.1.11

Bual tentang demo azan

Gambar dipetik dari Malaysiakini

Nurul Izzah meminta kumpulan pembantah bersikap lebih beradab dalam mencari kebenaran isu laungan azan yang diminta agar diperlahankan, oleh kononnya seorang peguam Cina Malaysia.

Menarik kenyataan ini. Pertama, seolah-olah demo itu kurang beradab. Atau maksudnya tidak beradab jika berdekatan rumah ibadat dan beradab di jalan-jalan raya? Kedua, seruan mencari kebenaran adalah sangat patut. Ketiga, apakah hanya berkaitan azan? Atau ada perkara lain?

Saya tidak percaya sebuah demo itu dengan mudah dicop kurang adab. Tetapi saya selalu mengingatkan diri sendiri, demo yang saya akan sertai mestilah berbaloi pada agama saya. Iaitu dengan cara memastikan semua langkah2 cegah mungkar yang digariskan agama, telah dilakukan oleh sesiapa atau sesuatu pihak – parti, sebelum membantah dengan berdemo.
Tujuannya juga hendaklah benar-benar berbaloi. Bukan sekadar tanah runtuh contohnya, nak berdemo dengan kerajaan atau pihak mana-manalah. Buang tenaga sahaja.
Ya, memang tepat dengan seruan mencari kebenaran.

Kalaulah benar surat bantahan sudah dihantar kepada kerajaan, dan masjid memperlahankan suara azan lantaran arahan kerajaan, kenapakah pembantah-pembantah yang hadir tidak membantah di Putrajaya? Hak peguam tadi membuat bantahan. Itu hak dia membantah, macam hak berdemolah kurang lebih.

Bukanlah beliau yang membuat keputusan, tetapi mungkin Jakim atau Jawi. So, beralihlah bantahan kepada membakar lambang Halal Jakim atau Jawi - agaknya. Itulah lojiknya. Cara demo yang dibuat ini, seolah-olah kebencian orang Islam ini tidak disusun atur dengan betul. Siapakah pengarah lakonan ini?

Malah, ini menggambarkan kerajaan BN tak boleh diharap. Tunduk kepada bantahan surat seorang peguam sahaja, dan tidak boleh berbuat apa-apa. Ikut membuta tuli. Kemudian, tiada jalan melainkan “membenarkan” rakyat melawan seorang peguam dengan membakar patungnya. Lemah!

Saya tidak pasti isu ini hanya melibatkan azan sahaja atau ada bunyi-bunyi lain yang “mengganggu”.
Saya pernah menetap di hadapan surau dan saya dapat merasakan bacaan al-quran yang dibuka kuat melalui corong pembesar suara, benar-benar mengganggu saya. Bukan ayat itu yang mengganggu, tetapi si mamat yang tak fikir langsung soal kejiranan, anak kecil nak tidur, pekerja syif malam yang baru nak melelapkan mata di pagi Jumaat dan lain-lain, membuat tindakan yang menjauhkan manusia daripada keindahan rumah ibadat Islam dan agamanya.

Kembali kepada isu di Pandai Dalam, kembalilah kepada kebenaran yang celik, bukan kebenaran bernafsu serakah.

No comments: