Antara pandangan paling menarik daripada Muktamar ialah saranan Timbalan Presiden PAS terhadap Majlis Syura supaya melakukan audit terhadap kepimpinan pusat, sebagai sebahagian daripada pemerkasaan dirinya.
Saya sokong seratus peratus.
Jika diteliti dalam-dalam, dilurutkan segala masalah hingga ke pangkal, tidaklah terlalu mendasar masalah melibatkan pertembungan ulama dengan profesional. Malah tak patutpun bertembung. Selalu diungkapkan oleh Presiden, kepimpinan PAS adalah berdasarkan kepada konsep sinergi dan kolektif.
Bagi saya sendiri, ia bukan masalah itu. Akar krisis sebenarnya adalah pertembungan antara dua kelompok dalam satu parti. Krisis adab dan hormat. Mendahului keputusan ketua. Tidak menghormati mesyuarat. Kebocoran rahsia. Kempen penjatuhan. Mohon sahabat-sahabat yang terlalu prejudis terhadap tindak dan corak fikir ulama dan Dewan Ulama, agar jangan mudah melepaskan rasa hati. Melampias bagai tahu semua. Tapi, saya tidak mahu memanjangkan ini...
Kembali kepada cadangan abang Mat. Terbaik. Teruskan bersuara.
Majlis Syura seharusnya pemegang dasar. Bukan berada di kawasan mahupun negeri. Tidak juga di pusat. Tinggikan mereka sebagai pemayung kepada keseluruhan entiti parti. Maka tertanamlah rasa hormat, percaya, sayang, husnu zan dan seumpamanya.
Berikan mereka kuasa yang jelas. Kuasa pemutus dasar. Kuasa koreksi barisan eksekutif. Meminta laporan bila-bila masa. Mampu menyingkir pengkhianat parti. Tidak bias.
Saya seorang pegawai bank. Berada dalam jabatan syariah. Menjadi sekretariat kepada Penasihat Syariah Bank. Melihat dan dapat membezakan kedudukan Pengurusan bank dan Majlis Penasihat Syariah. Dasar dipegang kemas penasihat. Mengambil tahu dan memutuskan. Termasuk soal sekecil pengedaran risalah produk. Mengawal ayat kempen dalam sms. Wajah siapa dipaparkan dan bertudung atau tidak.
Melihat dengan detil sistem "finance". Mengawal perjalanan bank. Memerintahkan agar kesilapan dalam keuntungan dipulangkan kepada yang berhak. Surat tunjuk sebab diberikan kepada CEO jika melanggari mana-mana "ruling".
Sesungguhnya, kuasa dan pengawasan Syariah di Bank saya bekerja sangat berbeza dengan bank-bank lain. Ia adalah contoh terbaik bagaimana PAS dapat memisahkan antara Pengawal parti dan Pengurusnya.
Kita perlu berdiskusi. Pakar-pakar perlu berbincang.
Ulama tidak semestinya berada di mana-mana. Dan pemimpin sebuah parti seharusnya tokoh yang layak jadi pemimpin, bukan yang alim tetapi hanya memiliki gaya seorang pengikut.
Mulakanlah.
No comments:
Post a Comment