10.6.11

PAS Perlu Aktif Membicarakan Kewangan Islam

Belum ada lagi suara kuat daripada pihak PAS berkaitan perkembangan dan isu-isu kewangan Islam. Suara-suara lama mesti diperbaharui. Ditingkatkan lagi. Dikemas kini.

Perbicaraan berkaitan ekonomi Islam, biasanya banyak menyentuh kepentingan negara secara khusus dan rakyat secara umum. Manakala kewangan Islam menjadi kepentingan harian dan terus kepada seluruh rakyat, termasuk ahli dan pimpinan PAS.

Alhamdulillah, kerajaan Malaysia banyak memainkan peranan dalam pengembangan kewangan Islam melalui Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti. Jasa di sini, untuk melihat syariat menguasai sistem kewangan sangat besar. PAS perlu akui.

Tetapi bukanlah bermakna PAS tiada ruang untuk memberi pandangan dan tekanan.

Di celah-celah keaktifan institusi kewangan dalam negara menggerakkan sistem kewangan Islam, masih banyak ruang dan peluang yang boleh digunakan oleh PAS. Bukan bertujuan untuk menumpang tui, atau mencari publisiti. Sebaliknya melakukan pengislahan, tekanan politik dan cadangan alternatif demi perjuangan syariat Islam.

PAS perlu melantik atau menentukan figur peringkat pusat yang memberi pemfokusan dalam isu ini. Dalam industri ini, banyak pensyariatan terbantut kerana ia terhalang oleh kehendak politik yang lemah oleh kerajaan BN.

Selain itu, PAS juga perlu melihat kepada ahlinya dan menjaga kemaslahatan rakyat. Tegas melindungi ahli dan pimpinan parti daripada terjerumus ke kancah hina riba, menegur peguam-peguam dalam parti yang masih mengumpul duit daripada sistem haram konvensyenal, maka PAS mesti mula bercakap secara lebih detil dalam kewangan Islam.

Ketika ulama dan tokoh dunia bercakap tentang sistem kewangan Islam, ulama dan pakar ekonomi PAS masih menyebut isu disekitar rasuah, projek, kelemahan tadbir urus secara umum dan shopping Rosmah Mansur.

Fokuskanlah kepada kewangan Islam. Zaman kini, tiada ahli yang tidak meminjam duit daripada bank kecuali sangat nadir. Dan berapa peratuskah ahli gerakan Islam PAS yang belum ada kesedaran yang masih bergelumang dengan "perang riba menentang Allah dan Rasul"?

Di mana wang kumpulan kerajaan negeri Selangor dan Kedah? Bank apakah yang digunakan oleh pegawai kerajaan negeri? Apakah semua pelaburan di Selangor telah dinilai berdasarkan pematuhan Syariah?

Banyak kerja dan suara diperlukan.

No comments: