21.4.07

Pasca Kematian

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat baik saya yang telah meletakkan pautan blog ini di dalam laman webnya. Tetapi bimbang juga, jika blog ini tidak 'menjadi', maka terkesan pula kepada lamannya.

Maka, saya jadikan ia sebagai peniup semangat untuk terus menulis dan menulis. Memang benar kata sahabat saya, menulis bermakna memberi. Sesuatu yang dimiliki, elok benarlah jika dikongsi bersama. Lebih-lebih lagi jika pemberian itu boleh memberi sumbangan kepada pembaca, masyarakat atau agama. Paling tidak, berkongsi sesuatu yang berfaedah, daripada membuang masa dengan bermusafir di dunia siber tanpa hala tuju. Kadang-kadang kita terbabas ke dunia yang serba asing daripada Islam.

Sehari dua ini orang ramai tertumpu kepada Ijok. Kenapa?

Apakah kerana pembangunan yang sedang pesat? Atau kerana suatu proses demokrasi sedang bermula? Juga kerana ia menjadi tumpuan media, maka rakyat pun mengikut sahaja apa yang media muntahkan?

Ijok, suatu pekan kecil yang sememangnya mundur, jika dibandingkan dengan Shah Alam, ibu negeri Selangor. Tetapi ia tidaklah jauh sangat dari Bandaraya itu. Punca mundur, wallahu a'lam.

Yang pasti, kini ia akan menerima limpahan rezeki secara mengejut, ibarat durian runtuh dari langit. Jika betul caranya, durian itu sempat dimakan dan puas menikmati keenakan rasanya. Jika silap langkah, kepala berdarah dan lebih malang jika buahnya berulat.

Begitukah Ijok?

Kita boleh melihat dengan jelas, pembangunan untuk warga kampung, terpencil, desa jauh dan pinggiran hutan hanya akan datang sekali-sekala ketika pilihanraya umum, dan lebih pesat jika wakil kepada golongan tadi menemui ajal yang dijanjikan.

Malang sungguh warga Malaysia jika hanya dapat menikmati sedikit kesenangan ketika sebuah keluarga menangisi kematian ahli mereka.

Agaknya, selesaikah masalah banjir di Shah Alam jika pilihanraya kecil Parlimen Shah Alam diadakan? Nampaknya begitulah.

Sinonimlah agaknya Malaysia dengan ungkapan "Pembangunan Pasca Kematian". Kalau begitu, seronoklah agaknya masyarakat marhaen yang kematian wakil mereka?
Inna lillah...

2 comments:

Anonymous said...

Salam...terima kasih kerana meletakkan link web saya dalam blog saudara-DuniaHerbaHPA

Elbaritii said...

Salam,

Terima kasih kerana mengunjung blog saya. Saya link kan laman tuan sebab banyak maklumat berkaitan HPA.

Teruskan memberi maklumat, dan saya boleh berkongsi sama. " Gempur Radix, Insya Allah "