9.5.07

Patah tumbuh hilang berganti, tiada lagi.

Huh, beberapa hari tidak dapat menulis kerana masalah yang mengganggu khidmat internet di rumah saya. Tidak pasti apakah puncanya. Sudah cuba diatasi, tetapi masih belum berjaya.

Sejak beberapa hari yang lalu, saya cuba untuk menulis satu artikel berkaitan kepimpinan, tetapi masih belum berjaya. Sejak beberapa minggu yang lalu, saya dan rakan-rakan sibuk dengan proses pemilihan kepimpinan parti. Banyak istilah dikeluarkan oleh teman-teman bagi mengaitkan situasi yang melanda pertubuhan kami. Krisis pemimpin - antaranya.

Teringat satu ungkapan masyhur bangsa Melayu, "patah tumbuh hilang berganti". Ia bermakna, setiap yang hilang dan pergi akan ada penggantinya. Begitulah juga kepimpinan sesebuah pertubuhan. Akan ada pemimpin yang menggalas tugas yang ditinggalkan, jika pertubuhan itu masih lagi hidup dan ahlinya masih lagi bernafas. Tetapi, apakah peribahasa itu membawa sekali bersamanya maksud 'pemimpin berkualiti'?


Pemimpin yang dilahirkan

Saya fikir tidak. Pemimpin yang berkualiti perlu dilahirkan, bukan dinantikan tumbuh-gantinya begitu sahaja. Kemahiran kepemimpinan Hang Tuah dibentuk ketika bertamrin di Gunung Ledang, mengikut ceritanya. Akhirnya mampu menjadi pemimpin dunia kepahlawanan dan persilatan Melayu silam.

Samalah juga halnya dengan kemahiran memimpin seorang ketua sebuah pertubuhan. Kemahiran yang mungkin ada sedikit pada dirinya sebagai asas, perlu digilap dan disuburkan.

Bagi mereka yang termasuk dalam kategori ini, jika tiada siapa yang membimbing dan membentuk, seharusnya mendidik diri sendiri dengan pelbagai kemahiran dan menyogok pula dengan segala macam pengalaman sendiri dan orang lain. Ia bukan bertujuan untuk mengejar jawatan, sebaliknya menyiapkan diri ketika saat diperlukan untuk memimpin dan mentadbir.

Pemimpin yang sedang bertugas pula, jangan sama sekali melupakan tanggungjawab menyediakan barisan pelapis yang dibentuk dan diasuh sebagai penggalas di kemudian hari. Segala seni kepemimpinan hendaklah didedahkan kepada mereka, sehingga boleh meneruskan sunnah yang telah dilalui orang pembimbing mereka.


Mahir dan jujur

Berdasarkan kepada apa yang diajar oleh Allah swt, bakal pemimpin masa depan mesti memiliki dua ciri utama ini. Mahir dalam kerja-kerja memimpin dan mentadbir serta bersikap jujur dalam serba serbi.

Bayangkan ketika situasi keputusan yang akan anda ambil menentukan masa depan kepada beribu manusia. Jika salah membuat pilihan, sudah pasti penderitaan akan dirasai oleh semua yang terbabit. Begitulah sebaliknya, keputusan paling tepat, paling cepat dan paling berisiko rendah adalah kehendak daripada beribu orang, yang memerlukan kata putus anda. Semua ini ada kaitan dengan mahir dan jujur.

Tidak cukup sekadar berserah kepada Ilahi, maka selesai semua masalah kepemimpinan. Jika masalah bebanan pada bahu yang menggalas, ya, mungkin terasa lebih ringan dengan berserah dan pasrah, tetapi tanggunjawab tidak tertunai hanya dengan berserah. Keputusan mesti diambil. Tindakan mesti dilakukan. Perancangan mesti tepat dengan objektif. Garis panduan mesti jelas dan difahami.

Ringkasnya, mana-mana pertubuhan pasti akan bermasalah jika hal-hal berkaitan persiapan pemimpin masa depan dan penyediaan pelapis diabaikan hanya beralasan; " patah tumbuh hilang berganti."

Ia telah berlaku dalam parti yang saya sertai diperingkat negeri Selangor ini.

2 comments:

Anonymous said...

Ust Omar,

teruskan menulis .. artikel2 sungguh menarik ... kupas lagi ulasan mengapa gerakan Islam perlukan kepakaran ulamak dalam mempertahankan jemaah daripada unsur2 yg tak diingini dr menyerap masuk dlm jemaah ..

Elbaritii said...

Terima kasih kerana memberi cadangan. Dah seminggu ana bermasalah dengan streamyx nih, baru hari ni dapat guna.

Siap nak pi Kg Kenangan.