14.5.07

Ke arah menghayati perjuangan Rasulullah

Alhamdulillah, syukur kepada Allah swt kerana masalah streamyx yang dihadapi lebih seminggu pulih siang tadi. Barulah bersemangat untuk menulis semula.

Ketika ini saya sentiasa memikirkan beberapa perkara yang agak penting dalam hidup saya buat masa ini. Pertama persiapan menyambut tetamu yang tidak pernah hadir ke rumah saya sebelum ini. Kedua mengenangkan masa depan pucuk pimpinan parti saya. Ketiga memilih cabang ilmu untuk pengajian lanjutan. Terakhir menulis sebuah buku yang bermanfaat.

Antara keempat-empat perkara ini, yang kedua itu sentiasa menjadi pilihan yang mendominasi ruang fikir saya. Sejak daripada kecil, saya suka membaca berita tentang pemimpin PAS. Dua bentuk bahan bacaan yang menjadi pilihan utama saya ialah biodata pemimpin dan wawancara dengan pemimpin. Malah, wawancara dengan pemimpin kumpulan lain juga sekali-sekala menarik minat saya membaca. Apatah lagi bahan tentang ulama yang mewaqafkan hidup mereka untuk sebuah perjuangan yang sering menyusahkan diri.

Namun, itulah antara cara paling cepat dan ringkas untuk mempelajari pengalaman orang lain, seterusnya merasainya.

Daripada situlah saya banyak mempelajari kaedah-kaedah untuk menjadi seorang guru, pendakwah, politikus, pembawa risalah islah dan pembimbing yang cemerlang. Pastinya, saya bukan lagi sesiapa pun. Saya masih jauh daripada mereka yang sentiasa menjadi 'mangsa' bacaan saya, tetapi saya sudah menyimpan resepinya. Diharapkan resepi itu akan digunakan juga sepenuhnya, suatu hari nanti. Bukan sedikit-sedikit sahaja.

Berbalik kepada perkara kedua tadi.

Saya sentiasa mencorakkan sendiri barisan pimpinan pilihan. Tetapi semua itu tidak pernah dicorakkan oleh seorang individu, atau dua tiga orang. Ianya terletak di bawah kuasa perwakilan. Begitulah sepatutnya. Maka pilihan saya hanya berada di benak hati. Tidak di atas pentas sebenar.

Inilah realiti bagi sebuah parti seperti PAS. Jika majoriti mahu tokoh ini, maka naiklah dia, jika tidak maka 'hilang' lah dia daripada persada. Maka semuanya akan mengikut. Fikiran, pemikiran, sikap, pengaruh, dan hala tuju.

Maksud saya, jika seorang tokoh gugur, maka gugurlah juga apa yang ada pada dirinya. Jika seseorang itu mampu kekal, maka selama itulah pemikirannya diterjahkan ke dalam fikiran ahli. Sikapnya disaksikan. Pengaruhnya semakin menebal dan hala tujunya menjadi ikutan.

Lantaran, siapakah yang seharusnya dipilih oleh ahli-ahli PAS untuk memimpin mereka? Jika saya ditanya oleh sesiapa sahaja, maka jawapan saya ialah, sesiapa yang mampu membawa saya kepada mengenal perjuangan Islam dan penghayatannya. Jika bercakap tentang kemenangan pilihanraya dan kekuatan parti, semua pemimpin tiada bezanya.

Tetapi bila mahu memimpin kepada Islam, bukan semua mampu. Jika saya tidak mampu memimpin ke arah itu, maka saya mahu saya dipimpin ke arah itu. Itu sahaja jawapan saya.

Jika semuanya ke arah itu, maka saya akan lihat siapa yang benar-benar faham menuju ke arah itu dan mampu beristiqamah. Ke arah menghayati perjuangan Rasulullah.

No comments: