Masih lagi ingin menulis berkaitan kepimpinan. Kerana ketika ini saya begitu terganggu dengan bebanan tanggung jawab yang teramat berat dan meletihkan. Siapa tidak tahu, meminta-minta jawatan atau pangkat, adalah satu tegahan agama. Ia tidak berlaku kepada saya, alhamdulillah. Juga sahabat-sahabat yang bersama. Tetapi, apa yang menimpa kami adalah sebaliknya.
Bencana jawatan
Bencana yang besar bagi diri kami ialah apabila dihentak dengan pelbagai jawatan yang berat-berat belaka. Saya sebagai contoh, memimpin cawangan, kemudian memantau Pasti, diikuti dengan membantu ketua pemuda, seterusnya urusan ulama. Tidak cukup itu, dihempap pula dengan jawatan di peringkat kawasan dengan menjalankan kerja yang tidak pernah terfikir untuk saya lakukan. Menguruskan hal ehwal teknologi maklumat. Tidak lupa juga, menggerakkan hal ehwal pentarbiahan di peringkat pemuda.
Siapa saya untuk melakukan semua ini? Manusia luar biasa? Sudah pasti tidak. Apa yang saya ada untuk melakukan semua tugas dengan baik dan sempurna? Hanya kerana pandai menulis, diberi tugas teknologi maklumat. Hanya kerana dipanggil ‘ ustaz ’, terus layak menjadi ketua? Ohh.. kenapa kita masih berfikiran sedemikian? Nilailah seseorang itu berdasarkan apa yang telah dan mampu disumbangkan. Jika belum pasti, jangan melulu untuk memberi tugasan.
Pengalaman pertama
Ketika pertama kali cuba mendekatkan diri dengan amal politik, saya terus dilantik memegang satu jawatan yang cukup penting dan berat. Tiada ruang yang diberikan kepada saya untuk belajar dari A. Mereka terus meletakkan saya untuk memimpin. Bukanlah tujuan saya menulis untuk mengadu hal kepada para pembaca. Sekadar mengajak kita semua berfikir. Fikir tentang kemampuan orang lain.
Saya tidak kisah jika terus diberi tugas, sekiranya saya mampu. Jika sahabat ada yang mampu, tidak timbul isu untuk dilantik awal, walaupun baru menamatkan pengajian. Tetapi tidak bagi saya. Saya tiada pengalaman memimpin pertubuhan politik atau sosial ketika itu. Hanya pernah menguruskan persatuan pelajar yang sangat kecil.
Saya juga tidak pandai memberi ucapan kepada audien. Gugup, gementar, kurang keyakinan dan tiada pengalaman adalah gambaran bagi diri saya. Tetapi itu tidak dilihat oleh rakan-rakan yang melantik. Bagi mereka, seorang ustaz mampu melakukan segalanya, begitulah agaknya mereka berfikir.
Seorang ustaz boleh memimpin, boleh berceramah, boleh mendidik, boleh membuat kerja dan boleh dipercayai. Aduh, sukar menjadi seorang ustaz. Hanya kerana pertubuhan saya adalah pertubuhan Islam, maka sepatutnya ustazlah yang memimpin. Itu tanggapan biasa yang berlaku.
Ustaz yang mampu
Saya boleh terima bahawa orang-orang yang belajar agama ini perlu memimpin pertubuhan yang memperjuangkan agama. Sama seperti yang pernah saya tulis sebelum ini. Tetapi bukanlah dengan ‘ tangkap muat ‘ sahaja. Biarlah mereka yang benar-benar layak.
Jangan lagi, atas nama ustaz, sudah dikira layak menjadi ketua, menjadi murabbi, menjadi penceramah dan menjadi serba-serbi. Kasihanilah ustaz kecil yang baru nak mendekati Gerakan Islam. Jangan dibebankan dengan amanah yang berat. Jika tersalah cara, ustaz ini akan terus mengelak dan akhirnya melarikan diri. Kaji, perhati dan lihatlah sebelum diamanahkan.
Saya sedar, senario ini berlaku kerana kekurangan petugas. Tetapi penyelesaiannya bukan dengan membebankan seseorang dengan dua tiga jawatan. Ia menyebabkan semuanya tidak akan berjalan.
Jika tiada petugas, usahalah wujudkan petugas. Jika tiada ahli, tambahkanlah ahli. Jika tidak melakukan keduanya, jangan zalimi petugas yang sedikit ini.
Kecualilah jika ada yang mampu dan sanggup memikul pelbagai amanah sekaligus…
No comments:
Post a Comment