17.5.07

Tarbiah satu proses berterusan

Air yang mengalir akan sentiasa memberi kebaikan. Jika dari gunung, ia akan menjadi air terjun. Jika di dataran, ia bertukar menjadi sungai. Di kaki gunung, dipanggil anak sungai atau hulu sungai. Sampai ke laut, ia bergerak dengan cara yang berbeza. Tetapi tetap ada pergerakan, iaitu ditepian pantai. Walaupun ia masin, tetapi ombak kecilnya tetap membawa erti tersendiri.

Setiap yang berada berdekatan dengan air yang bergerak ini akan memperoleh manfaat. Paling dirasai kebaikannya ialah ketika air ini turun dari awan sebagai hujan dan membasahi pula kawasan yang telah lama kering. Boleh digunakan untuk minuman, pertanian, penghasilan tenaga dan seumpamanya. Air di kawasan sebegini perlu ditakung, jika tidak kembali kering setelah memasuki musim kemarau.

Berbeza dengan air yang tidak bergerak. Senyap sunyi. Tidak di kocak oleh sang pengacau. Biasanya air ini berbau, kotor, berlumut dan seumpamnya. Lihat sahaja pada baldi yang berisi air tanpa bergerak, selepas beberapa hari pasti air berbau dan baldi berdaki.

Itulah yang boleh dibandingkan antara diri kita dengan proses pentarbiahan. Jika kita tidak digerakkan dengan program-program tarbiah, maka diri akan menjadi kaku, layu dan tiada kekuatannya lagi.

Tarbiah adalah satu proses. Satu pergerakan. Satu ibadah yang memerlukan pergerakan secara berterusan. Menggerakkan minda, akal, hati, mata, tangan, kaki dan badan keseluruhannya dalam melaksanakan ibadah. Melaksanakan ketauhidan kepada Allah. Melakukan apa yang dipelajari dan diketahui, supaya menjadi satu amalan berterusan, sehingga berbekas kepada iman dan amal, selepas ilmu.

Maka tarbiah itu, tiada baginya noktah penghujung, selagi wujudnya manusia. Selagi matahari masih bersinar dan selagi jiwa belum diputuskan dengan jannah, maka proses pendidikan dan penghayatan ini perlu berterusan. Ia adalah satu proses memperbaiki kelemahan yang wujud, di samping meningkatkan bermacam-macam potensi diri untuk dimajukan mengikut acuan Islam.

Jika ada yang mendakwa telah sempurna pentarbiahan yang dilaluinya, maka ia ibarat sedang berada di tengah-tengah lombong atau tasik yang jelas berbau busuk dan berlumut. Tiada yang boleh dibanggakan. Lebih teruk, jika ia diandaikan seperti berada di dalam baldi yang sangat kecil dan berbau busuk. Puncanya ialah air yang bertakung.

Kesimpulannya, di dalam PAS, tiada istilah tamat proses pentarbiahan. Sebaliknya, ia berterusan selagi wujudnya manusia, dan selagi anda sendiri masih tunduk kepada program-programnya. Ia ibarat air yang sentiasa mengalir.

Oleh itu, apa sahaja program dan aktiviti yang merupakan mekanisme terbaik untuk mentarbiah ahli dan pemimpin, mesti terus ditingkatkan. Jangan berselindung di sebalik kesibukan parti.

Saya percaya, ia boleh dilaksanakan. Mungkin kesilapan berlaku dalam proses pengagihan peranan, tetapi akhirnya bertaut semula. Kemudian jadikan matlamat tarbiah anda semua adalah syurga. Yang tidak pernah dikunjungi mana-mana pengembara.

No comments: