28.11.07

Jangan Kita Lupa Masa Keluarga


Petang tadi saya dan rakan-rakan dijemput oleh 'boss' kami untuk bersemuka membincangkan isu yang melibatkan urusan pekerjaan. Agak hangat juga perbincangan berlangsung. Masing-masing memberikan pendapat selepas semua selesai memperkenalkan diri.


Kami daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman kerjaya, juga berbeza-beza majikan sebelum ini, dikumpulkan di satu cawangan bank yang terletak di tengah kesibukan kota Kuala Lumpur. Dalam perbincangan tadi, sudah pasti pengalaman masing-masing diguna ketika berhujah.


Pokok perbincangan kami adalah berkisar jadual kerja, nilaian kerja di hujung minggu ketika orang lain berehat bersama keluarga dan cabaran yang dihadapi di tempat kerja.


Antara tiga perkara di atas, saya tertarik memperkatakan di sini tentang nilaian kerja pada hujung minggu ketika orang lain seronok bersama keluarga.


Cawangan bank kami tidak boleh lari daripada beroperasi pada hari Sabtu. Ia adalah tuntutan bisnes dan kehendak pengurusan pusat membeli-belah Pavilion. Jika tidak beroperasi pada hari tersebut, akan menyebabkan kesukaran para pengunjung untuk melakukan transaksi wang. Kami akur perkara ini.


Tetapi, apakah nilai pengorbanan kami diraikan oleh majikan? Beratkah mereka mengambil tahu persoalan 'life' kami atau sekadar melihat sebelah mata? Persoalan ini yang telah dibisik-bisikkan sesama kami terjawab petang tadi. Terima kasih kepada mereka yang mengambil berat. Itulah sewajarnya. Takkan mereka tidak tahu kepentingan keluarga.


Hujung minggu adalah hari paling penting bagi setiap yang bekerja. Itulah masa untuk 'berkeluarga'. Oleh kerana pengorbanan perlu dilakukan oleh kami, dengan meninggalkan keluarga tanpa sebarang aktiviti tertentu, majikan juga seharusnya mengorbankan apa yang mereka miliki untuk memberi nilaian tepat terhadap sebuah kehidupan.


Alhamdulillah, kata sepakat telah dicapai. Masa dan kerja kami dinilai dengan apa yang diperuntukkan oleh undang-undang. Kami berpuas hati dengan bayaran yang dicadangkan. Perbincangan selesai. Tidak perlu ada lagi yang berhujah.


Tetapi bagaimana dengan 'life' yang dikorbankan? Bagaimana dengan masa keluarga yang diragut oleh kepentingan perniagaan ini? Terbayarkah hutang kami terhadap keluarga dengan sejumlah wang yang diraih?


Percayalah, masa bersama keluarga dan masyarakat yang tidak dipenuhi itu, tiada tandingan nilainya. Masa itu ibarat emas. Manakala masa bersama keluarga itu pula, ibarat nyawa. Baik anda seorang ulama, seorang pemimpin politik, seorang penoreh getah, seorang pengembara, jangan sekali-kali mengabaikan masa bersama keluarga. Jika keluarga terabai, tunggulah kesannya nanti.


Oleh itu, saya tetap membisikkan pada benak kalbu saya, wang bukan pengganti kepada perhubungan saya dengan anak dan isteri. Jika ada masa mereka yang terkurang, carilah ruang dan peluang untuk diganti semula. Jika kerjaya menuntut masa itu diragut, bayarlah semula dengan masa lain.


Jika kerja-kerja sosial saya terpaksa terisi, rakan-rakan terpaksa dirai, program-program luar hujung minggu diperuntukkan, maka saya juga mesti mencari peluang dan ruang untuk bersama keluarga di waktu lain.


Jika saya diperlukan di surau atau markaz, maka saya akan memenuhinya, namun saya perlu juga memenuhi tuntutan berkeluarga. Begitulah secara mudahnya. Semua pihak yang memerlukan perhatian kita, jangan diabaikan, sama ada kita di rumah mahupun di luar rumah.


Jika semua ini berjaya dilaksanakan dengan sempurna, maka nilai hubungan kekeluargaan itu telah diletakkan di tahap yang sewajarnya. Rugilah bagi sesiapa yang menilai kekeluargaan itu dengan wang, seperti rugilah sebuah persahabatan itu dikorbankan dengan sejumlah wang yang dikejar.


No comments: