3.12.07

Mengislamkan Produk Dan Pengamal


Saya ada membaca satu komen di laman web seorang sahabat, lebih kurang berbunyi “ banyak bank Islam hanya pada nama, tetapi produknya masih berkait riba dan menindas, kita mahu semuanya Islam, termasuk orang dan bangunannya sekali.”

Apa yang dinyatakan itu adalah menyentuh kehendak rata-rata orang Islam yang komitmennya tinggi terhadap agama, di Malaysia. Itu juga menggambarkan kesedaran mereka terhadap peri-pentingnya bermuamalah dengan Islam.

Seorang bekas pekerja bank konvensional pernah menyebut, “ Biarlah saya bekerja menggembala lembu sahaja. Sudah lama makan duit haram!” Ini bukan calang-calang kesedaran yang ditunjukkan oleh bekas pengurus bank ini. Untuk menolak sumber yang haram ini, ramai yang sanggup berkorban macam beliau.

Bank Islam bermula sekitar tahun 1983 di Malaysia. Perkembangannya baik walaupun agak perlahan. Ia mampu memberi contoh baik kepada industri. Ramai yang semakin percaya. Bukan Islam juga turut tertarik. Ketika saya menetap dekat Teluk Intan, adalah biasa melihat cina lelaki dan perempuan keluar masuk BIMB untuk berurusan.

Perkembangan yang ditunjukkan cukup meyakinkan. Walaupun sesetengah produknya masih boleh diperbahaskan lagi. Jika melihat kepada perkembangan semasa dan persekitaran, adalah biasa untuk melihat kelemahan yang berlaku dalam menghasilkan produknya. Namun usaha tetap dilakukan oleh pakar demi menjadikannya ‘more islamic’.

Saya kurang bersetuju jika ada yang mengatakan tiada bank yang bebas drp riba’ di Malaysia sekarang ini. Jangan cepat menafikan usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh pakar-pakar syariah di setiap bank ini. Tetapi apabila menyentuh tentang konsep penindasan , penekanan dan situasi persekitaran yang tidak islamik, memang ianya sangat boleh diperbahaskan.

Bagi saya, cabaran lebih besar kepada penggerak perbankan Islam di Malaysia ini ialah mengislamkan pemain industri ini berbanding mengislamkan produk industri.

Mengislamkan produk hanya memerlukan kepada pakar syariah, pemain industri dan penggubal polisi duduk semeja berbincang. Tiada masalah sekiranya ketiga-tiganya boleh mencapai kata-sepakat.

Berbeza dengan usaha untuk mengislamkan manusia itu sendiri. Ditegur dia melenting, dibiar dia hanyut. Jika 20 tahun diperlukan untuk betul-betul mengislamkan sepenuhnya produk perbankan kepada perbankan Islam, apakah tempoh paling sesuai untuk mengislamkan pekerja-pekerja bank Islam?

Apa yang saya maksudkan ialah menjadikan kita semua lebih mendekatkan diri kepada Allah dalam kehidupan seharian, bukan sekadar mengislamkan sumber pendapatan.

Itupun, masih ramai pekerja bank Islam ini yang terlibat dengan pelaburan haram seperti yang telah difatwakan oleh mufti Selangor terhadap ASB dan ASN.

Bagi mereka ini, apakah tujuan menyertai perbankan Islam? Persoalan yang bukan mengkrtik, tetapi mengajak untuk mengambil sebaik peluang yang diberikan oleh Allah taala sebagai laluan mengubah diri dan cara diri melihat Allah dan agama.Bukanlah sesuatu yang murah, apabila kita berada di satu organisasi Islam untuk mencari rezeki. Kita telah selamat dalam mencari pendapatan halal.

Tetapi bagaimana pemakanan kita, pemakaian kita, peribadatan kita dan pendidikan anak-anak kita. Apakah semua ini terlepas dengan hanya bekerja di sebuah bank Islam? Jawapannya tidak sama sekali.

Allah tetap akan persoalkan ke mana perginya duit halal itu. Sama sahaja nilainya dengan duit haram, jika yang halal itu digunakan untuk perkara yang haram, seperti pakaian mendedah aurat dan majlis bercampur hiburan liar.

Semua ini menunjukkan, cabaran bagi golongan syariah di bank-bank tetap mencabar. Mereka perlu pastikan semuanya berjalan lancar, walaupun tidak berkaitan tugas harian mereka, kerana ianya adalah amanah langsung daripada Allah taala, dan itulah matlamat kejadian manusia, menghambakan diri kepada Allah dalam kehidupan seharian, bukan dalam produk perbankan sahaja.

2 comments:

Anonymous said...

Macam bisa ku dengar komentar mengislamkan bank termasuk bangunanya sekali, tetapi dimana ya.

Elbaritii said...

Tahu tak pa