11.12.07

Berpolitik Kerana Apa?

Sepanjang minggu lepas, banyak yang ingin saya coretkan di ruang ini. Tetapi serba tidak menjadi, kerana masa-masa malam saya sukar untuk digunakan bagi memenuhi blog ini.

Antara yang menarik ialah pelbagai insiden yang berlaku di Malaysia berkaitan dengan isu semasa dan politik. Saya telah terdedah dengan cerita-cerita politik sejak kecil lagi. Ini kerana bapa saya adalah peminat setia berita jam 8, maka saya juga terikut meminatinya, yang penuh dengan cerita politik dan isu semasa. Ketika di sekolah menengah, lebih galak mengikuti perkembangan politik tanah air, khususnya selepas pilihanraya tahun 1990, 21 Oktober.


Berdasarkan kepada pemerhatian rambang saya, sudah sangat sedikit anak-anak sekolah rendah sekarang ini yang meminati berita jam 8, atau berita dunia, mahupun berita sukan dunia. Semuanya kerana bahana hiburan yang menggila.


Bukan dulu tiada hiburan, tetapi tidak sehebat sekarang. Ibarat tsunami hiburan lakunya. Dulu, saya juga peminat Micheal Jackson, tetapi tidaklah pula sampai mengikutinya setiap malam. Ada lah dua tiga kali setahun agaknya, tv menayangkan konsertnya.


Masih juga saya ingat, ketika sekolah rendah lagi, saya jarang ketinggalan mengikuti rancangan sukan televisyen "Gillete World Sport Special".


Maka, tidak peliklah jika saya masih meminati politik sehingga ke hari ini. Terdidik sejak kecil lagi ke arah mengambil berat hal ehwal politik. Politik bukanlah suatu yang asing. Bukanlah kotor.










Politik adalah begitu dekat dengan kehidupan harian kita. Politik suatu ilmu berkaitan pentadbiran dan kepimpinan. Orang politik perlu dipilih untuk memimpin kita. Kuasa politik sangat penting bagi mencorak perjalanan sebuah masyarakat dan sistem kenegaraan. Jahil politik menyebabkan sesuatu bangsa mudah ditipu orang asing, malah orang tidak asing juga. Benci politik, menyebabkan kita mudah melupakan penderitaan mangsa-mangsa politik kejam, termasuk diri sendiri yang menjadi mangsa politik wang dan rasuah. Tanpa politik, kita tidak bermasyarakat dengan betul.

Saya menyertai politik bukan kerana mengejar pangkat atau menggilai jawatan. Bukan kerana membenci lawan politik saya. Bukan juga kerana mahu dipanggil ahli politik hebat. Bukan juga kerana mahu mendekati pemimpin yang kaya raya hasil bijak berpolitik.


Saya menyertai politik kerana saya tahu kuasa politik itu cukup hebat. Jika saya mahukan negara ini menjadi negara komunis, maka saya perlu melakukannya melalui kuasa politik. Jika saya mahukan negara ini menjadi negara diskriminasi ala Apartheid, saya juga perlu berjinak dengan politik, bukannya sukan atau bisnes. Begitulah juga jika mahu hancurkan dunia, semuanya dengan kuasa politik.











Maka, saya sebagai seorang muslim, yang cuba mendalami ( secara tidak dalam ) ilmu-ilmu agama yang sangat luas dan tidak terdalami itu, sebagai seorang bapa yang mahu anaknya hidup dalam situasi terbaik, sebagai pekerja kepada sebuah syarikat swasta, jika mendekati politik, adalah kerana mahukan yang terbaik untuk diri saya, keluarga saya, agama saya, pekerjaan saya dan negara saya.


Bukan saya yang akan memimpin, tetapi saya yang akan memilih pemimpin yang boleh diharap. Hendaklah juga masyarakat menyedari siapa yang boleh diharap. Jika tidak, janganlah berharap untuk melihat yang terbaik, jika yang terpilih adalah yang terburuk. Kesannya sangat buruk. Kuasa digunakan untuk menzalimi.


Perkara kedua yang saya fikirkan sepanjang minggu lalu ialah perihal solat @ sembahyang. Satu ibadat khusus menyembah Allah mengikut cara tertentu dan masa tertentu. Tentang solat ini, biarlah saya coretkan selepas ini.

No comments: