19.12.07

Bersolat Kerana Bertuhan

“Sembahyang le pulak! Ingatkan pakai tudung pesen-pesen aje. Aaaliimmm…aduh melepas la aku!”

Kata seorang lelaki terhadap dirinya sendiri ( kepada penonton juga! ) apabila teman wanitanya yang baru mengubah diri dengan cuba mengamalkan ajaran Islam, berlalu ke surau.

Skrip yang sempat saya dengar dari sebuah drama melayu ini menggambarkan persepsi sebahagian besar remaja, dewasa dan orang-orang tua yang janggal dengan solat. Bagi lelaki tadi, solat adalah amalan untuk orang-orang alim, yang bukan macam dirinya yang suka enjoy, lepak dan bersiar-siar.

Jika itu ibadah orang alim, bagaimana pula ibadah orang seperti dia?

Saya suka meminjam kata-kata ramai penceramah agama apabila menyebut tentang jauhnya masyarakat kita daripada solat dan ibadah-ibadah khusus lain.

“Merasakan tidak perlu bertuhan” itulah kebanyakan remaja masa kini.

Tuhan adalah pencipta manusia dan selain manusia yang selain Allah Taala. Tuhan tidak mencipta diriNya sendiri. Dia mencipta selainnya.

Tujuan penciptaan makhluk2 ini adalah dengan tujuan tertentu. Jika api dicipta untuk memanaskan, air dicipta untuk kapal selam bergerakcontohnya, gunung dicipta untuk menjadi pasak bumi dan pemandangan indah, apakah tujuan aku, dia dan kamu dicipta?

Ya, sudah tentu manusia dijadikan bertujuan, setelah dicipta bertuhan. Untuk mengetahui tujuan penciptaan manusia, manusia perlu bertanya kepada Tuhannya, iaitu Allah Taala.

Ya, sudah tentu jawapannya di dalam al-Quran.

“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah menyembah Aku
( Allah )”.

Allah jadikan Ahmad, Ali, Bush, Arafat, Lee Wang Wah dan Sami Vellu adalah untuk semua mereka menyembah Allah.

Sembah bagaimana? Sembah mengikut ajaran agama Allah iaitu Islam. Maka beruntunglah Ahmad, Ali dan Arafat kerana mereka berada di landasan betul, iaitu beragama Islam.

Rugilah Bush, Lee Wang Wah dan Sami Vellu pada pandangan umat Islam, kerana mereka di luar landasan agama sebenar.

Apakah dengan berada di landasan sebenar sudah memadai untuk memenuhi tujuan manusia dijadikan? Jawapannya ialah, memenuhi pada dasarnya sahaja.

Tetapi tidak pada pengamalan dan penghayatan jika tidak beramal dengan agama-SOLAT.


Solat mesti dilaksanakan oleh seorang muslim.
Seorang muslim mesti tahu tujuan kejadiannya.
Dia juga perlu sentiasa ingat siapakah yang menjadikannya.
Dan Tuhan itulah yang menyuruh dia solat.

Kita sedih melihat manusia yang mencari-cari tuhan tetapi tidak berjumpa.
Sedih melihat manusia yang beragama tetapi tidak melaksanakan agama.
Sedih melihat manusia yang tidak mampu bersolat tetapi mampu berpuasa, merderma, membuat kebajikan kepada orang tua dan lain-lain.
Sedih kerana mereka tidak memperolehi apa-apa kebaikan daripada semua itu lantaran tidak bersolat.

Kita simpati melihat manusia yang cuba mencari kebahagian hidup tanpa solat.
Simpati melihat anak-anak tidak diajar solat.
Simpati melihat kematian sebelum solat diagendakan dalam hidup.

Kenapa kita memerlukan solat? Kerana kita memerlukan Tuhan. Dengan solatlah kita berhubung dengan Tuhan kita, iaitu Allah Azza wa Jalla. Marilah kita bersama-sama merindui solat.

Solatlah kita sebelum kita disiatkan…

1 comment:

Anonymous said...

Semenjak jadi Abu Ihsan ni, kosong je