Utusan pula melaporkan Samy Vellu berkata dalam menaikkan kadar tol, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada masalah yang bakal dihadapi oleh rakyat.
Begitulah bagai yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 24 November lalu. Ia merupakan kenyataan yang sudah tiada apa-apa makna jika diungkapkan oleh menteri kerajaan BN. Sudah berpuluh kali mereka mengungkap ayat dan gaya yang sama, tetapi kebanyakannya tidak mengambil kira kesusahan rakyat.
Harga minyak dinaikkan, tetapi pandangan rakyat tetap diambil kira dan rakyat tidak akan dibebani. Maksudnya mungkin tidak dibebani mengorek sendiri telaga minyak untuk menggerakkan kereta dan motor.
Tol dinaikkan dan rakyat perlu faham bahawa pengorbanan diperlukan untuk pembangunan dan kemajuan negara. Keselesaan ada harganya, tetapi kepentingan rakyat akan tetap dijaga dan diutamakan.
Apakah rakyat mudah sangat ditipu berkali-kali dalam hal sebegini. Atau kita tahu kita ditipu, tetapi biarlah, asalkan jalan elok dan negara aman. Kalau tukar kerajaan nanti, huru-hara akan berlaku. Pulak dah!
Dalam keadaan kita marah-marah ini, masih ramai lagi sebenarnya yang cuba mempertahankan apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan, walaupun tidak wajar sama sekali.
Pagi tadi saya meluat mendengar kata-kata pengacara Selamat Pagi Malaysia, “ bukan sahaja jalan raya perlu bertol, kita naik pelamin juga kena tol!”
Ohhh, mudah sungguh berhujah untuk mengampu kerajaan, atau mengampu penerbit, atau juga dipaksa melakukan ampuan itu.
Saya sendiri bingung kalau kenaikan tol ini tetap dikatakan mengambil kira kepentingan rakyat. Apa yang saya tahu, semua ini hasil daripada kerja bodoh pencipta konsep ‘nak jalan baik, kena bayar’. Apakah ini yang disebutkan suatu kehebatan hasil kerja kuat pemimpin dunia ketiga BN?
Terus, tidak terfikirkah mereka rakyat akan semakin sukar ketika bersetuju terhadap kandungan kontrak yang membenarkan kenaikan tol dilakukan pada kadar tempoh tertentu. Tidak boleh diunjurkan kah harga minyak akan naik pada masa akan datang? Jika tidak dinaikkan kerajaan terpaksa bayar, apakah ini juga mereka tidak pernah renungkan.
Mengelak daripada kerajaan susah, biarlah rakyat berkorban. Inilah agaknya di dalam benak fikiran mereka. Seolah-olah duit kerajaan itu adalah duit BN. Takut sangat duit kerajaan digunakan untuk rakyat. Ya, kerana dengan bayaran pampasan terus kepada syarikat konsesi, sukar pemimpin-pemimpin ini mencilok.
Jika BN mampu mengumumkan berbilion ringgit untuk pembangunan di selatan, utara dan timur Semenanjung Malaysia, apakah terlalu mahal jumlah 380 juta untuk rakyat? Ke mana pula perginya berbilion ringgit untung Petronas?
Rakyat sudah tiada pilihan lagi. Bagi penyokong tegar Bn, mereka tetap akan bersabar dan redha terhadap pengorbanan ini demi pembangunan. Bagi penyokong pembangkang, kezaliman dan kebodohan ini tidak perlu didiamkan, maka mereka bangkit membantah secara aman dan beradab.
Manakala yang berpendapatan tinggi, kebanyakan mereka lebih senang memilih jalan senang, biarkan sahaja, asalkan pendapatan mereka bertambah setiap tahun dan bonus tetap diterima. Bagi mereka ini bukan masalah aku!!!
Ketika rakyat susah, syarikat konsesi ini langsung tidak menunjukkan peduli mereka. Malah makin galak menyerang minda pengguna dengan pembaikan jalan raya kononnya. Di sekitar Puchong sahaja, beberapa jalan raya yang masih lagi elok, telahpun diturap lagi untuk menunjukkan kami perihatin kepada pengguna. Jalan kami elokkan, duit kami kaut lebih tinggi.
Jika rakyat tidak bersatu dan berkongsi kesusahan, selagi itulah kerajaan bebas menjadi seperti kera, yang kalau dimarahi oleh manusia ramai, ia tetap menjadi seekor kera dengan perangai kekeraannya. Perangai kera macam mana? Macam kerajaanlah! Binatang tetap binatang.
No comments:
Post a Comment