26.11.07

SEMBANG TENTANG KEMAHIRAN

Ketika berusaha untuk membaca artikel sahabat yang juga penulis terkenal secara mendalam, datang rakan lama ke pejabat saya untuk mengajak keluar makan bersama. Saya tidak melepaskan peluang untuk mengambil makan tengahari tadi, di Restoran Tarbush.

Alhamdulillah, banyak yang dapat diperkatakan selama bersama itu. Paling menarik ialah nasihat beliau yang merupakan pengarah sebuah anak syarikat kepada syarikat terkenal di Jalan Bukit Bintang ini, kepada saya.

Katanya “ bermula dari sekarang, sehingga seterusnya, sukar untuk sesiapapun hidup dalam keadaan sempurna, kecuali dengan memiliki sesuatu kemahiran. Tanpa sedar, enta telah membina kemahiran itu di syarikat lama enta, dan sekarang landasan enta memang tepat, menceburi bidang perbankan dan mendalaminya.” Panjang hujahnya, sambil saya menganggukkan kepala.

Terus bersemangat beliau menambah, “ kalau enta nak berjaya dalam bisnes, perkara paling penting ialah mahir dalam pengurusan kewangan.”

Sekali lagi saya mengangguk.

Apa yang dikatakan oleh sahabat saya tadi memang tepat sekali. Kemahiran dalam bidang yang diceburi cukup penting. Walau apapun yang kita pilih, jika tidak mahir, tiada sebarang kejayaan yang boleh diharapkan.

Lihat sahaja pemain bola sepak negara kita. Jika semuanya serba tidak menjadi, bukan sorakan yang diterima daripada penyokong, tetabi buuu dan ejekan jawabnya.

Jika kita sedang mengantuk di dalam kelas sebuah subjek yang paling bosan dan payah, maka apa yang kita harapkan daripada pensyarahnya? Jawabnya, kemahiran pensyarah ini menghilangkan rasa bosan pelajarnya dengan skill tertentu, seperti lawak jenaka atau contoh lain, mahir membawa pelajarnya ke dunia lain, ketika badan masih berada di dalam kelas, supaya hilanglah rasa mengantuk tadi.

Saya sudah boleh dianggap sebagai pemimpin. Memimpin anak dan isteri yang kini berada di rumah. Memimpin ibu yang sudah sangat lama usianya. Memimpin usrah di cawangan. Memimpin para pendengar kuliah saya di surau-surau. Maka saya sudah sepatutnya tahu akan kelemahan dan kekurangan kemahiran yang saya ada dan perlu diperbaiki.

Antara yang penting bagi seorang pemimpin ialah sentiasa ‘turun ke bawah’ bagi mendekati fizikal, minda dan jiwa mereka yang dipimpin. Mengetahui segala-galanya, sebelum membuat keputusan untuk mereka. Jika semuanya serba kekurangan dalam pengetahuan pemimpin ini, mana mungkin keputusannya tepat dan mampu diterima pendengarnya.

Seorang pekerja menceritakan, “ macam mana boss kita nak ‘fight’ untuk kita, dia tidak cuba memahami masalah kita, maka sudah tentu dia tidak akan berusaha untuk menjaga kepentingan kita”.

Ini berlaku kerana boss tersebut gagal turun ke bawah menyelami apa yang dirasai oleh pekerjanya, tetapi masih mahu mewakili mereka dalam perbincangan yang diatur.

Saya sendiri terasa agak kurang untuk memahami dan turun ke bawah, yang merupakan satu syarat penting kepada kejayaan saya memimpin. Kesilapan ini mesti diperbaiki segera supaya saya dan kita semua MAMPU MENJADI PEMIMPIN YANG BAIK.

Itulah jua yang diajar agama. Perlu memahami sesuatu itu secara menyeluruh dan mendalam sebelum membuat keputusan hukum berkaitannya. Lantas saya terus berfikir, apakah yang mampu membawa kita kepada mampu memimpin, mampu memiliki kemahiran memimpin ini.

Saya menemuinya melalui kata-kata sahabat saya tadi. “ Omar, dengan pendedahan dunia korporat ini, enta boleh menjadi ustaz dan pemimpin jemaah yang baik, kerana minda enta akan lebih terbuka dengan pelbagai pendedahan”.

Kata-kata beliau itu memang mendorong semangat saya untuk terus melalui landasan ini dengan penuh yakin. Sedikit sebanyak memberi kekuatan kepada saya, kerana apa yang saya sedang lalui ini memang menyimpang daripada kemahiran asas saya.

Ya, pendedahan yang relevan kepada sesuatu yang dihajati atau dilakukan boleh menjadikan manusia itu kuat, berkembang, bertukar, berpengalaman dan kental. Oleh itu, marilah kita mendedahkan diri kepada apa sahaja yang mampu memberikan input positif kepada minda kita, jiwa kita dan emosi kita.

Bergaul dengan masyarakat bagi seorang pensyarah universiti adalah satu pendedahan. Menyertai seminar ekonomi bagi seorang ustaz sekolah adalah satu pendedahan. Turun ke lorong-lorong kecil mengedar risalah nasihat adalahs atu pendedahan kepada para pendakwah. Mendengar pandangan non-muslim terhadap Islam adalah satu pendedahan bagi pembuat polisi berkaitan agama dan dakwah. Mendalami bidang pengurusan dan mencubanya adalah pendedahan bagi seorang ulama tradisional. Begitulah sekira-kiranya.

Saya sangat gembira jika saya dapat dipimpin oleh seorang ulama yang mahir dalam serba-serbi dalam gerakan Islam yang saya ikuti sekarang ini.

Begitulah juga harapan orang lain terhadap saya agaknya. Harapan isteri saya yang sangat bersyukur ‘memiliki’ saya, seorang ustaz, sedangkan dia bukan.

Kesimpulannya, kemahiran memimpin sangat dituntut oleh agama dan kehidupan, walau di mana kita berada dan bertindak. Kemahiran itu termasuk mahir memahami dan menjiwai. Manakala faktor pembantunya ialah pendedahan dan pengalaman.

Semuanya mesti dicari dan diusahakan.

No comments: