30.3.08

Cerita Rindu 2

Wahai Rasulullah, aku menangisi kelalaian diriku untuk terus mendampingimu, tika kita ‘bersama’…


Setiap kali solat, aku rasa akulah yang paling banyak merayu dan berdoa kepada Allah Ta’ala, khususnya ketika aku paling hampir denganNya. Aku lakukan setelah selesai urusan memohon, dalam tempoh penantian itu.


Semua itu kerana cita-cita aku. Juga atas keazaman aku ingin menggapai semua yang dipanggil mutiara ilmu dan akhlak di bumi Rasulullah. Aku ingin menjadi penyumbang kepada umat. Ingin memberi sesuatu yang boleh dijadikan bekalan. Aku mahu menjejaki tapak-tapak perjuangan al-‘Izz ‘Abdul al-Salam, Imam al-Nawawi, ‘Abdullah al-Mubarak, Imam al-Syafi’i dan ramai lagi.


Aku sudah pasti ingin mendekati perjuangan para sahabat yang sentiasa mengerti erti taat dan patuh, bukan hanya pada pemahaman, sebaliknya pengamalan. Itulah aku ketika itu, wahai rasulku.


Sebaik keluar dari perut pesawat itu, aku terpinga-pinga. Ke mana ingin kutujui. Semua serba muram. Saling tak tumpah seperti memasuki satu kawasan larangan yang di dalamnya ada bahan bahaya yang boleh mengancam keselamatan dunia. Huh, memang menggerunkan ketika mula memasuki kawasan lapangan terbang di Jeddah.


Kemudian, lagi ‘mengsuspenkan’ apabila melihat kelibat hitam di sana-sini, di samping kelibat putih pak-pak Arab memakai jubah.


Aku tidak tahu sebenarnya ke mana haluan aku. Tiada siapa untuk dihubungi. Tiada teman untuk berbincang dan mengagak-agak. Aku terpinga-pinga dan terus saja melangkah ke arah hadapan. Hati mula seram-sejuk rasanya. Suspen, seriau, terpinga-pinga dan entah apa lagi perasaan aku.


Huh, ya Allah, di manakah aku. Bagaimana aku meneruskan perjalanan ke Madinah? Aku tidak sabar lagi untuk mendekati rasulMu dan menjauhkan diri daripada kawasan larangan ini!


Sambil debaran ini semakin kencang, pusing ke kiri dan kanan, mulut terkedu, akhirnya aku ternampak kelibat seorang pak Syeikh yang duduk di atas satu kerusi, bermeja dan tertulis berdekatan meja itu, kalimah ‘al-jami’ah al-Islamiah’. Apa lagi, aku terus meluru dan menunjukkan semua dokumen yang ada bersama aku.


Fuhhh lega. Memang betul. Aku ditunjukkan untuk mengambil tiket domestik percuma dari Jeddah ke Madinah. Ketika itu jam sekitar 12 tgh malam. Perjalanan aku bermula kira-kira 2 pagi nanti. Ada masa untuk aku bersiar-siar di sekitar lapangan terbang ini. Tapi aku memilih untuk duduk diam-diam, jangan pandai nak buat hal pula.


Dalam hati, ya Allah, hanya Allah sahaja yang tahu. Aku seperti menjerit, wahai orang kampung semua, wahai rakyat Malaysia sekalian, aku akan menjadi 'tetamu' Rasulullah saw. Ya Allah aku sangat bersyukur kepadaMu. Doa aku, tangisan aku, rayuan aku sepanjang tempoh penantian itu telah Kau kabulkan, Nabi Muahmmad seperti 'melambai-lambai aku'...

No comments: