5.4.08

Penduduk Di Perak Terima Geran Tanah Selepas 60 Tahun Menanti

Alhamdulillah, nampaknya apa yang saya fikirkan sebelum ini, termasuk dalam perancangan awal kerajaan negeri Perak. Moga Allah terus memudahkan semua pihak di Perak Darul Ridzuan.

***********

IPOH, 4 April (Hrkh) - Selepas mengumumkan pemansuhan bayaran denda bagi kesalahan meletak kereta, dan kompaun bagi kesalahan penjaja pada 17 April lalu kini kerajaan Negeri Perak yang baru memberikan 'hadiah' lagi kepada rakyat khususnya kepada penduduk di kampung tersusun dan kampung baru dengan memberikan geran hak kekal kepada mereka.


Menteri Besar Perak, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin semasa mengumumkan perkara tersebut dalam sidang medianya di Pejabat Menteri Besar menegaskan keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Rakyat sebagai tanda terima kasih kepada rakyat yang telah memberikan sokongan kepada ketiga-ketiga parti, DAP, PAS, dan KeADILan sehingga berjaya menewaskan BN dalam pilihan raya umum ke-12 yang baru lalu.


Pemberian geran hak kekal ini juga menandakan keprihatinan Kerajaan Pakatan Rakyat terhadap masalah yang dihadapi rakyat di negeri ini, kerana itu sebagai Kerajaan Pakatan Rakyat semestinya keutamaan akan diberikan kepada rakyat terutama menyelesaikan apa juga masalah yang selama ini membelenggu dan membebankan mereka.


"Selama lebih 50 tahun berada di bawah pemerintahan BN, penduduk kampung tersusun dan kampung baru yang tidak mempunyai geran hak kekal, mereka hampir kecewa dan putus asa untuk mendapatkan geran hak milik, Kerajaan Pakatan Rakyat melihat masalah ini perlu diselesaikan segera kerana itu kerajaan yang baru ini membuat keputusan memberikan geran hak milik kekal kepada mereka,"jelasnya


"Terimalah berita gembira ini dari Kerajaan Pakatan Rakyat sebagai satu 'hadiah' di atas kesabaran mereka menunggu begitu lama untuk mendapatkan geran hak milik kekal," ujarnya.


Sementara itu Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar dan Kerajaan Pakatan Rakyat yang begitu prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat terutama penduduk di kampung tersusun dan kampung baru.


"Penduduk di kampung baru telah mendiami kawasan itu sejak tahun 1948 lagi semasa negara menghadapi serangan dan anasir komunis, mereka cuma memperolehi tanah kediaman bertaraf tol , mereka telah memohon begitu lama untuk mendapatkan geran hak milik tetapi Kerajaan BN tidak memberikannya.


"Kini sudah 60 tahun mereka menanti geran hak milik kekal, keputusan yang tepat yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Rakyat pastinya melegakan dan menggembirakan mereka kerana penantian selama 60 tahun kini telah berakhir,"ujar beliau. - mks.


No comments: