10.4.08

Coretan Letih, Sedih Dan Kagum

Hari ini badan saya sangat letih. Semalam doktor memberi cuti sakit setelah mengesahkan saya demam. Bukan sekadar demam, saya juga dihinggapi selesema, batuk dan gatal kerongkong.


Sedang mendengar nasihat doktor, saya bisikkan kepadanya benjolan yang ada pada badan saya. Beliau terus mengarah saya menunjukkan benjolan itu, dan...."saya beri surat refer awak ke hospital pakar", kata doktor. Huh, terkejut saya apabila saya perlu menjalani pembedahan kecil untuk membuang benjolan itu.


Hari ini badan masih lagi letih. Ini kerana saya memaksa diri untuk ke tempat kerja, walau badan masih lagi lemah. Pergi pula dengan menunggang motosikal. Pergi balik kerja, hampir dua jam masa digunakan di atas lebuh raya dan jalan raya.


Sebaik pulang hari ini, saya terus bersiap untuk ke sebuah surau di Bandar Kinrara. Kitab Taudih al-ahkam saya jadikan teks pengajian. Kami masih di peringkat awal. Tajuk yang saya bicarakan malam ini ialah muqaddimah bagi kitab ini, yang menyentuh secara ringkas tentang ilmu Usul Fiqh.


Surau ini lain daripada yang lain. Amalan rutin di sini ialah bersolat tanpa jaharkan Bismillah, tiada doa beramai-ramai selepas solat dan cuba memahami sunnah sebaik mungkin. Saya sudah biasa dengan keadaan ini, maka ia tidak asing bagi saya. Apa yang penting, solat kita semua mesti sah dan khusyu'.


Sebaik sahaja pulang saya dikejutkan dengan berita paling sedih bagi saya sejak pilihan raya lalu, Presiden PAS dimasukkan ke hospital kerana serangan awal angin ahmar yang menyebabkan strok ringan. Allahu akbar. Allahumasyfiihi.


Saya terus bergegas ke Harakahdaily dan Malaysiakini serta Tranungkite. 3 rujukan berita terkini saya. Sah Tuan Guru Presiden dihospitalkan. Ya Allah... sembuhkanlah segera beliau. Itu yang berzikir di hati saya.


Jika dulu, beliau pernah dimasukkan ke hospital di Bandar Tun Razak. Tidak silap saya selepas pilihan raya juga, kerana terlalu letih. Kini keadaan yang sama berulang. Saya percaya beliau gagal menjaga diri lantaran terlalu sibuk dan tidak sempat untuk memanjakan diri dengan kerehatan.


Kadang-kadang makanan yang dijamu oleh penganjur sesuatu program juga tidak menepati spesifikasi yang dinasihatkan doktor. Saya berdoa, moga Allah memberikannya kerehatan secukupnya serta sembuh segera untuk terus memimpin perubahan melalui PR.


Insya Allah, esok saya akan arahkan ahli-ahli cawangan bersama-sama menunaikan solat hajat dan doa munajat untuk kesihatan beliau. Kita bertemu di Pasti.


Malam tadi, saya telah menghadiri satu program peringkat UPU di DUN Seri Serdang. Taklimat oleh bekas calon PAS. Kini beliau sedang sibuk dengan usaha menyempurnakan penubuhan Pusat Khidmat Masyarakat. Namun, sejak selepas pilihan raya, beliau sudah terlalu sibuk dengan masyarakat.


Walaupun cikgu kalah, penonjolannya sebagai wakil rakyat sangat jelas sekali. Sejauh Klang beliau dipanggil masyarakat untuk mereka mengadu nasib. Paling teruja apabila mendengar beliau dan rakannya berjaya menyelamatkan seorang ibu tunggal yang diugut dan diancam oleh 3 ah long jika gagal membayar hutang masing2.


Insya Allah saya akan ceritakan kisah kesungguhan cikgu ini, nanti. Saya kagum apabila beliau menegaskan, "saya rasa bertanggung jawab terhadap 18 ribu orang yang mengundi saya dan saya akan berkhidmat untuk mereka selama tiga tahun ini", walaupun hanya kalah 45 undi. Bayangkan ada lebih 8 ratus undi rosak. Boleh anda percaya?


Hari ini saya mengharapkan esok yang lebih baik. Baik bagi kesihatan Tuan Guru Presiden, baik bagi cawangan saya danbaik bagi seluruh kawasan Puchong. Tidak lupa juga, baik buat kesihatan cikgu yang telah menginfaqkan 24 jam sehari untuk membantu rakyat di DUN Seri Serdang yang dimenangi oleh Satim Diman ini.


Ya Allah, Kau sahaja yang mampu memberi kekuatan kepada kami dan mereka. Moga semua diberkati.




3 comments:

Anonymous said...

Allahumashfi antashfi, La shifa'a illa shifa'uk.. buat anta dan tok guru Hj Hadi. SELAMAT BERJUANG....

Anonymous said...

Ust Omar,semoga disembuhkan segera dan diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan

Elbaritii said...

Assalamualaikum wrt wbt.

Entah le, badan ni selalu semput-semput. Mcm streamyx ana juga. Kesian blog ni tak dapat nak dikemaskinikan. Banyak juga idea yang muncul, tetapi kalau lambat diproses, akan hilang juga.

Terima kasih dua sahabat di atas yang mendoakan.

Yang penting presiden kita. Ana bukanlah sesiapa. Alhamdulillah presiden semakin kuat.

Harapnya semua pihak memberi peluang beliau berehat serehat-rehatnya.

Syafakallah ya syaikhana!