5.5.08

Kembali kepada Islam, Bukan Melayu.

MMMM, Majlis Muafakat Melayu Malaysia telah dibentuk semalam, bagi mengambil berat kepentingan orang Melayu. Bangsa lain jangan bimbang kerana ia tidak bersifat perkauman. Itulah mesej awal mereka.

Saya tertanya-tanya juga, selama 50 tahun Melayu dibela oleh Umno, apakah Melayu belum muafakat? Ini isyarat bahawa Umno gagal? Mereka yang menjuarainya tidak percaya lagi kepada Umno? Tetapi saya percaya majoriti mereka yang bersidang adalah ahli atau penyokong Umno. Paling tidak peraih kepentingan daripada Umno. Sedikit sangat yang selain itu.

Jika begitu, mungkinkah majlis ini untuk menarik semula sokongan Melayu kepada Umno yang telah gagal? Oh, mungkin bagi mereka, jika Umno menang, Melayu tiada isu ketidak muafakatan, tetapi isu timbul jika Umno tewas teruk? Yang menang selain Umno tiadakah Melayu? Yang memerintah selain pembangkang di Persekutuan, tiadakah Cina atau India?

Nampaknya, Majlis ini juga sedang berpolitik...atau dipolitikkan. Saya percaya juga, ada antara mereka yang tulus bertindak untuk Melayu. Tetapi mereka jangan lupa, jika muafakat itu tiada sokongan politik Melayu maka ia tidak akan menjadi. Jika Umno yang selamanya sebelum ini kukuh memerintah, memang pentingkan muafakat Melayu, atas nama bangsa, sudah lama hal itu dilakukannya. Tiadalah timbul masalah di Kelantan, kerana masalah yang dilakukan adalah menganiayai orang Melayu Kelantan. Hakikatnya bagaimana?

Bagi kita, Islam penyelamat bangsa Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, di samping rakyat keseluruhannya.

Rasulullah saw ketika membuka kota Mekah dalam peristiwa yang penuh bersejarah, menegaskan satu prinsip agung agama; “Islamlah kamu, nescaya kamu selamat”. Jika baginda mahu mengikat Abu Sufian dan teman-temannya dengan semangat kebangsaan, nescaya disebutkan kalimah bangsa Arab dalam nasihatnya, dilaungkan semangat bangsa itu, supaya para pembesar Arab selamat dalam peristiwa tersebut.

Boleh sahaja diungkap misalnya; “Kita bangsa Arab, harus bersatu di Mekah ini”, “Kami dan kamu semua adalah Arab, kenapa mesti bertelingkah”, “Hidup Arab, Hidup Arab”. Oh tidak sekali-kali ia pernah berlaku.

Bukanlah Nabi saw menafikan langsung identiti Arab itu, dan bukan juga tidak bangga dengan bangsanya, tetapi kepentingan bangsa tidak bererti dan tidak dijamin jika agama bangsa itu tidak dipelihara dan dijadikan asas. Rasulullah pernah menyebut, khalifah dari Quraish, yang bererti pengaruh kaum Quraish menjadi kekuatan untuk memerintah Arab ketika itu, tetapi bukan itu slogannya, bukan itu matlamatnya dan bukan itu dasarnya.
Semuanya berbalik kepada Islam agamanya.

No comments: