4.5.08

Selamat Datang Khalid Ibrahim : Selangor Bukan Guthrie

Oleh Ibnukhuzaimah.

( Tulisan penuh Ibnukhuzaimah di sini dengan tajuk asal, Badi Kerusi MB Selangor )

Selamat datang Khalid Ibrahim. MB Selangor yang ke 14. Dari latar belakang ekonomi yang mantap, pengalaman dan pentadbir yang hebat, dan ahli ekonomis yang disegani ramai. Untuk menggambarkan nya kita ambil petikan Surat terbuka kepada Tan Sri Khalid, tersiar sebelum ini:

“satu satunya anak Melayu yang ‘single-handedly’ melakukan dawnraid’ di London hingga membawa sekaligus Konglomerat Guthrie pulang ke Malaysia sekaligus membuat Perdana Menteri Britain Margharet Thatcher termangu-mangu sehingga menggubal undang-undang supaya tidak berlaku lagi seumpamanya. You are the first and the last!

Khalid Ibrahim tidak datang dari kerangka politik yang hebat. Ketika didalam UMNO, Khalid tidak berpeluang langsung mengasah bakatnya. Ushanya dalam UMNO terhalang ketika Abu Hassan memimpin UMNO Kuala Selangor.

Apakah Khalid juga akan mendapat badi kerusi tingkat 21? Masanya masih panjang. Bagaimanapun umum boleh membuat tanggapan ini tidak akan berlaku kerana Khalid tidak datang dari kerangka politik naungan yang rosak seperti BN dan UMNO.

Pertama sekali, Khalid bukanlah calon MB yang miskin kedana seperti Khir Toyo dan Muhammad Taib bekas Cikgu berkereta Toyota Ke 30.

Sukar untuk dilupakan ketika Almarhum Baginda Sultan Selangor, bekas bapa mertua Mohamad Taib berkata, lebih kurang begini, “kalau macam ini, Beta kena pindah Pulau Ketam, tanah di Selangor dah habis Mat Taib gasak”.

Dia (Khalid) sudah meliana (jutawan) lama sebelum memimpin Selangor. Bermakna Khalid tidak akan rakus untuk mencari sesuatu bagi mengisi kantong dan tembolok peribadi.

Apa kelemahan Khalid tidak diketahui sangat. Hanya masa yang akan memberi jawapan.

Bagaimanapun sedikit sebanyak sudah mula dipersoalkan. Kegemaran Khalid membandingkan pengalamannya sebagai CEO Guthrie ketika berucap dimana-mana sudah mula mendapat perhatian.

Banyak pendapat mahukan Khalid berhenti menjadikan pengalamannya sebagai CEO Guthrie sebagai kayu ukur kemampuannya sebagai pemimpin negeri. Ia hanya sesuai ditekankan dipentas ekonomi dan GLC Selangor nyata tidak begitu kemas dan mantap diurus.

Memimpin sebuah negeri yang hebat seperti Selangor tidak sama dengan memimpin sebuah badan korporat yang dianggotai oleh 40 ribu pekerja kata mereka.

Jika Khalid gagal melaksanakan janji dan manifesto kerajaan sebelum pilihanraya lalu, pasti rakyat akan mengaum marah. Rakyat sudah menjalankan tugas untuk berubah dan meletakkan ejen perubahan mereka yang tertinggi di tingkat 21.

Antara janji yang patut segera dilaksana ialah penurunan kadar air, manakala yang sedang dinanti sekarang ialah hadiah khas RM1000 kepada anak Selangor yang berjaya ke Universiti.

Hingga kini Selangor belum membuat pengumuman manakala Kedah sudah mengumumkan manakala Terengganu juga sudah berbuat demikian.

Setakat rencana ini ditulis, UNISEL sudah mula menerima pendaftaran siswa baru manakala surat tawaran ke Universiti lain akan keluar dalam masa terdekat.

Akhirul kalam, kita berdoa dan berharap Tan Sri Dato’ Khalid Ibrahim tidak akan terkena badi kerusi panas tingkat 21 .

Bola sudah di kaki, lawan sedang kepenatan, gawang terbuka luas, apa lagi? Bermain bola jangan terlalu defensive kerana majority tokoh bolasepak berpendapat, “the best defence is to attack”
"

No comments: