3.5.08

Parlimen Bukan Sekadar Tempat Berhujah




Hari ini saya ada banyak masa di hadapan komputer. Sebab pertama, mak telah keluar dari hospital petang semalam. Kini berada di rumah saya. Jiwa pun makin tenteram. Kedua, tentulah kerana saya bercuti. Dahulu, Sabtu merupakan hari kerja dua kali sebulan. Kini tidak lagi. Ketiga, saya ada 'mood' untuk mengemaskini blog saya ini. Keempat, siang tadi tiada sebarang program. Cuma sekarang sepatutnya saya hadir ke markas parti untuk satu program liqa' fikri. Tetapi keadaan mak tidak mengizinkan. Harap sahabat saya faham...

Saya tidak pernah menulis tentang parlimen selepas ianya 'dibuka' beberapa hari lepas. Berita tentang kekecohan juga tidak semua sempat saya baca dan video klipnya pula, belum ditonton. Apa yang saya tahu, ada tindakan kurang wajar daripada anggota parlimen, dan media perdana menyebut anggota pembangkang.

Saya sangat setuju bahawa parlimen adalah tempat untuk meletakkan maruah wakil dan rakyat di tempat yang teratas dan terpuji. Janganlah dirosakkan dengan sikap kebudak-budakan. Mungkin ada yang seronok dapat mematah hujah lawan atau meruntuhkan hujah lawan dengan pangkahan dan celahan 'tajam', tetapi akhirnya semua akan melihat kepada sejauh mana bijaknya wakil-wakil ini mengambil kesempatan kuasa parlimen untuk memperjuangkan idealisme masing2.

Sejauh mana PKR mampu pergunakan parlimen untuk keadilan rakyat? Bukan hanya berhujah hebat, itu tidak memerlukan parlimen. Apa guna jika hanya menang berdebat, tetapi tiada perubahan untuk rakyat yang terhasil melalui parlimen.

Juga PAS, sejauh mana parlimen yang diizinkan memasukinya mampu menjadi tempat menyampaikan dakwah dan sekaligus menjadi perlindungan kepada usaha perlaksanaan intipati siasah syar'iyyah yang mapan. Bukan kerja kecil, wahai pemimpin PAS semua.

Kami hantar anda ke sana, bukan sekadar untuk memangkah hujahan Khairy. Itu tak perlu bergolok-gadai berkorban dalam pilihan raya lalu. Paling kurang kami mahu semua anggota parlimen mendengar intipati politik Islam daripada pihak PAS. Biarlah orang lain bercakap hal longkang, kebajikan dan keadilan sejagat menurut piawaian dunia, namun PAS perlu sentiasa merujuk kepada perlembagaannya. Jangan lupa seruan kita, walaupun dalam ungkapan yang pelbagai.

Selamat maju jaya, seeru 'ala barakatillah.

No comments: