29.6.08

DSAI Dan Kehendak Tuhannya


Sekali lagi manusia di seluruh Malaysia yang sensitif terhadap perjalanan politik negara dikejutkan dengan berita pertuduhan liwat melibatkan tokoh politik alternatif paling sensasi tanahair masa ini, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Bermula dengan pembantu khasnya ditahan polis, kemudian beliau membuat laporan polis mendakwa diliwat oleh DSAI pada 26 Jun lepas di sebuah unit apartment di Bukit Damansara dan berakhir dengan pertemuan pimpinan utama PKR di Hotel Quality, Shah Alam. Ketika tulisan saya ini ditaip, maklumat terakhir yang saya miliki ialah DSAI berada di Kedutaan Turki atas sebab perlindungan.

Dua perkara yang menjadi penekanan pimpinan PKR. Satu, dakwaan liwat tersebut, kedua, dakwaan oleh mereka DSAI terancam nyawanya. Namun tidak pula dinyatakan secara jelas, sama ada terancam apabila ditahan oleh pihak polis, atau ancaman oleh apa yang kita boleh panggil, 'penembak tepat'? Jika sehingga itu andaian dibuat, kemudian andaian itu menjadi kenyataan, nampaknya politik Malaysia semakin tercemar.

Beginilah yang kita fahami, bahawa tiada apa yang boleh dibuat oleh DSAI selain penafian dan mencari perlindungan jika pihak polis menjalankan siasatan dalam situasi mereka boleh sahaja bebas dan boleh sahaja condong memihak kepada sang penguasa.

Apa yang Anwar boleh buat jika sang penguasa mahu menguasai pasukan penyiasat dan beliau didapati tersangkut dengan kes tersebut? Apa yang Anwar boleh buat jika sang penguasa mahu menguasai pasukan pemeriksaan kesihatan yang cuba mengesani DNA beliau di bahagian 'belakang' pelapor? Apa yang Anwar boleh buat jika sang penguasa mahu menguasai pasukan pendakwa raya yang berhujah membuktikan kesalahan beliau? Apa yang Anwar boleh buat jika sang penguasa mahu menguasai para hakim bagi mensabitkan Anwar bersalah?

Apa yang boleh Anwar lakukan ialah menyelamatkan diri sebelum dirinya dikuasai oleh mereka yang mungkin akan dikuasai oleh sang penguasa.

Untuk mengatakan Anwar tidak bersalah, saya boleh mengatakannya selagi belum terbukti beliau bersalah, dan untuk mengatakan beliau bersalah, memikirkannya pun jauh sekali. Tapi, saya percaya di luar sana beribu orang sudah mempercayainya. Bagi mereka, takkan lah itu ini itu ini akan berbohong...

Nampaknya politik negara semakin panas. Jika sebelum ini panas dengan ura-ura peralihan kuasa besar-besaran selepas pilihan raya umum, kini panas dengan pertuduhan liwat terhadap tokoh yang disebut-sebut bakal Perdana Menteri Malaysia selepas Pak Lah.

Kita amat bersimpati terhadap beliau, keluarganya, seluruh tenaga Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia secara amnya. Satu ujian maha besar yang jarang-jarang tertanggung oleh pemimpin kecilan seperti kita dan ramai lagi. Fitnah ini, jika benarlah ia suatu fitnah, maka ianya suatu penghalang besar ke arah Malaysia sebuah negara berkebajikan yang bebas dan bermaruah. Itu, telitian kasar kita, manusia.

Selain merancang, sama-samalah kita memohon kehadrat Ilahi agar fitnah seperti ini terus menemui kegagalan dan tidak berterusan memperbodohkan manusia Malaysia yang mulia. Kita harapkan Anwar terus bijak mempertahankan kebenaran.

Dalam pada itu, disebalik konspirasi yang mungkin wujud, mungkin tidak, bagaimanakah Anwar dapat mengaitkan cabaran ini dengan perjalanan juangnya sebagai hamba Allah yang sentiasa memerlukan perlindungan Tuhannya, serta mematuhi kehendakNya yang sentiasa berkuasa menguasai sesiapa sahaja, lantas melakukan apa yang disukaiNya dengan tiada terikat kepada kehendak sekalian manusia. Inilah satu persoalan sampingan yang mampu memujuk jiwanya yang sedang resah, gelisah, kini.

Apa yang Allah mahukan daripada DSAI dengan ujian ini? Apa pula yang perlu kita - penyokong kebenaran, rakyat menagih kebajikan - lakukan dalam hal ini, untuk memenuhi kehendak Allah swt bagai yang terungkap melalui lidah para anbiya'Nya?

Kemudian mari kita berfikir, apa yang boleh mengikat sebuah perjuangan, ujian dan hamba dengan kehendak Allah?


No comments: