26.6.08

Kenaikan Minyak Kerana Jaga Kepentingan!

Kenapakah harga minyak melambung tinggi pada firasat anda? Itulah soalan yang saya kemukakan di blog ini, iaitu di sisi kanan. Pilihan yang dibuat oleh pembaca blog ini secara majoriti bersetuju tiga sebab utama ianya dinaikkan.


Menampung kos hidup Umno

Pertama bagi menampung kos hidup Umno di 5 negeri yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Kita tahu sejak sekian lama, aktivis politik Umno mesti dilayan dengan projek-projek kerajaan untuk terus hidup dalam parti dan perjuangan Melayu, kononnya.

Secara umumnya terdapat dua sumber projek atau tender, iaitu kementerian milik kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Di negeri PR, sudah tentu peluang pimpinan Umno semakin sempit dan mengecil. Sudah sukar untuk menerima anugerah projek daripada kerajaan negeri, kecuali melalui tender secara terbuka. Layakkah mereka dalam persaingan mendapatkan tender secara terbuka? Oleh itu, apakah pilihan yang mereka ada selain mendapatkan projek kementerian?

Dengan sebab itulah, kerajaan pusat perlu menyediakan jumlah wang yang besar untuk berpuluh pimpinan bahagian Umno, termasuk perhubungan negeri yang kalah. Wang ini mestilah real dan wujud, bukan hanya di dalam angka yang terdapat di dalam kertas cadangan dan pelan pembangunan kridor-koridor. Merenung kepada situasi semua ini, di manakah kerajaan pusat perlu menceduk wang segera untuk 'menghidupkan' ahli dan pimpinan Umno pertengahan?


Menampung projek besar

Tujuan kedua bagi kenaikan harga minyak itu adalah untuk mengumpul dana pembangunan yang akan melibatkan perniagaan syarikat-syarikat kroni. Di sini, dua perkara yang saya selalu renungkan. Pertama, kenapakah cara syarikat besar negara perlu bergantung dengan kerajaan untuk hidup? Bukankah dunia ini penuh dengan pelbagai jenis perniagaan.

Kedua, kenapakah kerajaan banyak bergantung dengan hasil pendapatan jualan minyak untuk membangunkan negara? Cuba fikirkan, negara pengimport minyak juga boleh bangun dan maju, malah ada yang mampu membangun melebihi Malaysia, tetapi kita yang merupakan pengeksport minyak, bukanlah terlalu kaya atau maju atau membangun. Mungkinkah ini bermakna, kerajaan Malaysia gagal menghasilkan pendapatan yang baik daripada urusniaga selain minyak?

Berbalik kepada isu kenaikan harga minyak, sudah terbukti kerajaan akan melakukan apa sahaja demi menyelamatkan syarikat kroni kerajaan dan kroni pemimpin kerajaan BN.


Tipu

Pilihan nombor empat yang saya letakkan dalam undian tersebut adalah sekadar ingin menggambarkan penipuan yang dilakukan oleh Pak Lah dan kerajaan apabila berjanji tidak akan menaikkan harga minyak selepas pilihanraya, tetapi realitinya adalah berbeza. Namun, oleh kerana media perdana di bawah telunjuk kerajaan, isu bohong dan tipu sehebat inipun tak akan memberi apa-apa bekas kepada kerajaan. Lainlah jika kita semua sedang berada di negeri antah berantah. Rasanya, dah letak jawatan dek kerana menipu rakyat secara terang-terangan.

Inilah nasib rakyat Malaysia. Kalau pemimpin dengan riang gembira boleh menipu rakyat, apakah yang boleh diharapkan daripada penipu-penipu ini untuk memberikan ihsan dan sayang kepada rakyat? Maka berlakulah episod baru pertembungan rakyat perihatin dengan pemimpin BN yang tidak malu menipu dan menipu lagi selepas tiada malu akan menipu itu menguasai dirinya yang sudah lama biasa menipu rakyat itu.

Wallahu a'lam.

No comments: