25.6.08

Harakah Perlu Disegarkan


Bismillah al-Rahman al-Rahim.

Syukur kepada Allah s.w.t atas limpah rahmatNya, belas ihsanNya, kuasa sempurnaNya, maka Harakah telah ditakdirkan menerima kebenaran penerbitan dua kali seminggu sebagaimana laporan yang tertulis di Harakahdaily. Tahniah diucapkan kepada seluruh warga Harakah. Inilah masanya anda semua membuktikan kemampuan yang ada dan terbatas sebelum ini.


Di samping itu, sudah tentu pembaca akan menanti-nanti kelainan Harakah yang kerap ini, supaya kehadirannya dua kali seminggu amat menarik, berbaloi, menyegarkan dan "best".




Mendengar sahaja keputusan tersebut, apa yang terlintas di fikiran saya ialah:

  1. Harakah jangan sekadar menjadi akhbar pelapor cerita politik seperti Siasah yang diterbitkan sekali seminggu atau Sinar Harian setiap hari. Dua akhbar ini memuatkan banyak berita politik pembangkang dan jika Harakah sekadar mengulangi kondusi itu, pembaca akan hanya jemu membaca perkara yang sama di ketiga-tiga akhbar ini, selain bermacam-macam portal berita internet yang turut menyentuh cerita sama.
  1. Ketua Pengarang perlu menyusun semula setiap kandungan Harakah agar ia benar-benar mampu membawa cerita, maklumat, tips, idea, ulasan, kajian, tinjauan, pendapat, komen, kritik dan gambar-gambar yang segar. Berita itu bukan hanya politik dalam negara, tetapi Harakah diharapkan mampu menjejaki berita gerakan Islam seluruh dunia, terutama Palestin. Jangan paparkan rencana panjang yang tidak akan dibaca oleh pembaca seperti saya dan ramai pembaca lain.
  1. Lebih baik dan menarik jika ada ruang di Harakah yang membicarakan ulasan dan laporan akhbar negara-negara umat Islam dunia, khususnya menyentuh kepentingan gerakan Islam, seperti di Somalia, Darfur, Myanmar, Palestin, Mekah, Madinah, Maghribi dan lain-lain.
  1. Hidupkan ruangan ilmu Islam, tarbiah dan dakwah dengan lebih segar. Perbincangan biarlah melebihi isu-isu tarbiah yang biasa didengar sejak kita menyertai usrah PAS. Isu fiqh moden perlu kerap dipaparkan kepada pembaca dengan memperkenalkan ulama kontemporari yang mahir dalam bidang ekonomi Islam, politik Islam, pendidikan dan lain-lain. Tidaklah apabila disebut ulama dunia, hanya terlintas ulama haraki semata-mata.
  1. Jadikanlah Harakah bahan rujukan para pelajar, siswa dan siswi untuk memahami isu semasa agama, seperti yang dapat dilihat di Majalah i, Milenia, Al-Islam, dan laman web seperti tranungkite.net, saifulislam.com, zaharuddin.com dan al-ahkam.net. Jangan sempitkan perbincangan hanya dalam bab politik Islam yang telah dimahiri oleh ramai ahli PAS. Ramai siswa dan siswi "meninggalkan" Harakah dan mungkin PAS kerana perbincangan berbentuk ilmiah dan detil berkaitan ilmu-ilmu Shariah tidak berkembang di dalam aktiviti dan program PAS. Bebaskan perbincangan sehingga melangkaui mazhab dan pemikiran lama/tradisional.

Itulah harapan saya yang merupakan pembaca Harakah yang setia sejak 1991 lagi. Harapan anda dan mereka, mungkin sahaja berbeza.

No comments: