18.6.08

Menanti Pembangunan Sempurna Di Perak Tengah


Sebaik Pakatan Rakyat berjaya memerintah Perak, saya telah mengemukakan beberapa cadangan di blog ini. Antaranya ialah menyelesaikan masalah warga Cina di kawasan Kampung Baru, mengadakan lawatan rasmi ke seluruh daerah di negeri ini dan menganjurkan program khusus untuk kelompok tertentu. Alhamdulillah, apa yang saya fikir dan tuliskan itu, sebahagian besarnya telah dilaksanakan oleh kerajaan atau barisan pimpinan negeri.

Pada 26 Mei, lawatan kerja rasmi telah diadakan oleh YAB Menteri Besar Perak ke daerah kelahiran saya, Perak Tengah. Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Seri Iskandar ( bandar utama bagi Daerah Perak Tengah ) yang merupakan penghubung antara Daerah Kinta dan Daerah Manjung, lebih strategik dibangunkan berbanding daerah yang lain. Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatan itu. Sebelum itu beliau diberi taklimat pembangunan daerah oleh Encik Hashim Hasan; Pegawai Daerah Perak Tengah.

Saya mengucapkan terima kasih kepada YAB kerana menyedari betapa pentingnya pembangunan di daerah ini. Bukan itu sahaja, apa yang kami harapkan ialah perancangan baik oleh kerajaan lepas di daerah ini dapat diteruskan dan mana-mana perancangan yang lemah, moga diperbaiki dengan segera.




Seri Iskandar suatu ketika dahulu pernah dicanangkan oleh kerajaan negeri sebagai Bandar Universiti atau Bandar Ilmu. Di sini terdapat beberapa sekolah asrama, termasuk sebuah sekolah agama berasrama, UITM Perak, UTP dan sebuah kolej swasta yang dalam perancangan. Di sini juga terdapat beberapa buah kilang dan taman perumahan yang baik. Antara yang dikatakan akan dibina di sini suatu ketika dahulu ialah lapangan terbang baru bagi Perak dan lebuh raya Ipoh-Lumut tanpa melalui laluan sedia ada Ipoh-Lumut.

Kelemahan yang ketara di sini ialah pakej yang disediakan oleh pihak pengurus lot-lot perindustrian gagal menarik minat pelabur untuk menanam modal di sini. Saya pernah dimaklumkan oleh seorang rakan yang dekat dengan pihak kerajaan lalu, antara masalah di sini termasuklah jualan atau sewaan tanah yang terlalu mahal untuk kegiatan perindustrian. Maka saya harapkan masalah seperti ini dapat diatasi oleh kerajaan baru.

Namun, harapan-harapan di atas tidak mencukupi untuk menyenangkan penduduk di daerah ini. Sejak sekian lama, terdapat zon-zon tertentu di daerah ini yang sentiasa ketinggalan daripada arus pembangunan. Antaranya zon yang bermula daripada Kampung Bota Kiri sehinggalah ke Teluk Sena. Masalah utama di sini ialah sistem pengangkutan yang sangat lemah. Sejak sekian lama ia menjadi masalah besar kepada penduduk di sini.

Saya masih ingat lagi begitu sukarnya untuk pulang ke kampung Teluk Sena, ketika musim cuti persekolahan semasa belajar di Sekolah Menengah Izzuddin Shah Ipoh. Pilihan saya ketika itu hanya bas yang datang beberapa jam satu, teksi yang sangat jarang menuju ke Teluk Sena dan prebet sapu yang perlu diambil dari pekan Parit lagi.

Selain itu, kawasan ini juga tidak terdapat pekan kecil sebagai tempat untuk penduduk menjalankan kegiatan perniagaan kecilan dan membeli belah. Paling dekat adalah pekan Bota Kiri dan Bota Kanan. Jika mahu pekan yang lebih besar, terpaksa menuju ke pekan Parit atau Ayer Tawar. Malah sehingga kini, pekan Seri Iskandar juga belum mampu membangun dengan baik dan sempurna.

Besarlah harapan saya kerajaan negeri melihat dengan teliti pembangunan di daerah ini. Fokuskan kepada pembangunan seperti jaringan jalan raya lebih baik untuk perjalanan lebih lancar Ipoh-Lumut, pembangunan pekan-pekan kecil seluruh daerah, membesarkan Hospital Daerah di Cangkat Melintang, menarik pelabur lebih banyak untuk sumber pekerjaan penduduk, memperbanyakkan lagi kemudahan sukan popular dan sukan rakyat serta membina jambatan konkrit menyeberangi Sungai Perak untuk penduduk di sekitar mukim Lambor.

No comments: