23.7.08

Coretan: Politik Orang Soleh

Saya mula berminat dengan politik apabila saya mengenali tiga tokoh politik PAS. Ketika itu saya belum kenal kehebatan politik Rasulullah, mahupun semua sahabat baginda. Saya pernah baca politik berat sebelah para khulafa', tetapi saya tidak percaya semua, sebahagian sahaja, kerana bahan yang saja baca di sekolah dahulu tidak menyatakan rujukan yang tepat dan berwibawa. Malah mudah sahaja orang politik yang tidak bermaruah, merosak dan merubah cerita politik para khulafa', khususnya cerita Saidina Muawiyah dan Yazid.

Berbatah balik ke era awal tahun 90-an. Saya mula kenal Tuan Guru Haji Abdul Hadi terlebih dahulu sebelum Yang Di Pertua PAS ketika itu, Ustaz Fadzil Mohd Noor ( rahimahullah ). Saya mula dekat dengan PAS melalui Ayah Cik. Beliau menunjuki saya jalan perjuangan politik orang soleh. Politik beliau berasaskan politik agama. Politik yang berselari dengan siasah syar'iyyah. Politik yang ada rujukannya. Begitu juga almarhum Ustaz Fadzil. Saya kagum kepetahannya berhujah dan berinteraksi dengan khalayak, berasaskan maslahah agama. Kedua-duanya mendekatkan saya dengan politik.

Ketika tahun 1990. Saya mula mengenali nama Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Tapi saya tidak berpeluang mendekatinya, sehinggalah saya belajar di Kelantan pada tahun 1994. Ketika itulah, baharu saya dapat mendekati jalan politik beliau. Politik seorang ulama berwajah tradisi, berpolitik moden, mentadbir bumi Kelantan. Saya paling seronok mengikuti kuliahnya di Pejabat PAS yang mendekatkan politik dengan tafsiran ayat-ayat suci al-Alquran. Seringkali beliau menyamakan ceramah-ceramahnya di ceruk mana Kelantan itu, dengan khutbah Jumaatnya di masjid serata Kelantan pula.

Tiga tokoh ini mendekatkan saya dengan politik PAS, lanjut politik Islam. Politik Islam bukanlah politik PAS, tetapi politik PAS paling dekat dengan politik Islam. Maknanya, PAS paling baik dalam melaksanakan politik Islam, berbanding lain. Mereka berjaya menunjukkan saya politik orang soleh. Jika tidak semua, majoriti.

Politik orang soleh yang saya maksudkan ialah politik perjuangan. Politik perjuangan bukanlah tempat mencari makan atau peluang berniaga. Ustaz Fadzil selalu ingatkan, PAS tidak akan dapat memberi apa-apa kepada kamu semua. Begitulah juga ungkapannya ketika bersyarah di Madinah. Balik ke tanahair nanti, bukan cari makan dalam parti, tetapi masuk parti beri parti makan. Makan ilmu, makan hujah, makan tenaga dan makan duit ahlinya.







Politik perjuangan ialah politik yang ada asas aqidahnya. Akarnya, la ilaha illa Allah menunjangi pokok perjuangan. Politik adalah baja yang digunakan dalam perjuangan agama, untuk menghasilkan buah agama. Buah agama itu adalah buah politik perjuangan.

Politik orang soleh yang saya maksudkan ialah politik akhlak. Berakhlak dalam berpolitik dan beragama. Bukan politik berpolitik untuk raih kepentingan politik peribadi. Jauh sekali. Agaknya siallah orang politik guna politik agama dan dekat dengan orang politik orang soleh, semata-mata untuk politik diri, politik nafsu dan politik duit poket. Itu orang tidak berakhlak menggunakan politik orang soleh. Bukan laksanakan, tetapi mempergunakan.

Politik berakhlak akan menjadikan politikus itu jaga akhlak agama. Semua kalau boleh, bukan sikit-sikit. Yang paling besar tu, jangan buat tak nampak. Apa hal kalau orang politik guna politik orang soleh, tapi masih guna amalan bukan akhlak. Contohnya banyak. Antaranya, main riba, main saham haram, main umpat sana sini, main hentam keromo, main cabar-mencabar tanpa kepentingan agama, main kutuk sana sini, main belakang untuk kepentingan diri dan main-main dalam politik. Ish, memang banyak.

Tetapi bagi saya, paling tak guna kalau orang politik guna politik orang soleh, tapi dia tak sedar dia sedang cari makan dengan politik agama, bukan cari buah agama. Kita semua akan kena tipu. Bila fikir semua ini, saya jadi takut dengan politik. Apahal kalau saya sendiri terlibat. Apa guna pengorbanan saya dalam kerja-kerja ini jika hasilnya, bercanggah dengan politik berakhlak? Saya selalu takut.

Politik orang soleh adalah politik orang yang tenang, sabar, tela'ah dan bijaksana. Untuk ini kena lihat contoh di kalangan para ulama silam. Kemudian baca saranan ulama semasa. Seterusnya cari hikmah-hikmah yang bertaburan di mana sahaja ketika ini. Kita akan temui jalan-jalan menuju kepada ketenangan, kesabaran, kajian mendalam dan bijaksana. Bukan gopoh membuat keputusan. Bukan laju membantah. Bukan hukum tanpa kajian mendalam. Bukan buat benda yang merosakkan lagi perjuangan. Bila diuji dia tenang. Bila tercabar dia sabar. Bila keliru dia mengkaji. Bila pertahankan dasar dia bijaksana.

Politik orang soleh ialah politik yang memfokuskan agama. Politik untuk kepentingan agama. Matlamatnya adalah agama. Dia buat kerana agama. Dia tinggal kerana agama. Dia memilih, untuk agama. Dia rancang, tujuannya agama. Mungkin diri kena korban, mungkin keluarga kena bersabar, mungkin parti kena terusik, mungkin negeri kena bertahan, demi agama semuanya.

Politik orang soleh ialah politik setia. Politik yang patuh pada perjanjian. Kalau lawan apa yang dijanji, itu bukan orang soleh namanya. Itu orang munafiq. Maka politiknya tidak boleh dipanggil politik orang soleh. Mungkin politik munafiq. Mungkin. Politik patuh pada janji ini ialah masuk bersalam dan keluar berunding. Masuk dengan senyum, keluar juga dengan senyum. Masuk berkhabar, keluar bertanya. Itu kalau hal keluar masuk perjanjian.

Kalau hal parti sendiri, jangan langgar aku janji dengan parti. Parti tak perincikan aku janji itu, tapi Islam dah ceritakan. Macam mana jaga parti, macam mana ikut pemimpin, macam mana tegur pemimpin, macam mana nak bantah kawan, macam mana nak bantah lawan, macam mana nak ajak baik, macam mana nak cegah buruk dalam parti sendiri. Setia pada parti atas kepentingan agama. Keluar daripada setia jika parti jauh. Macam mana jauhnya, itu kena tanya ulama. Bukan tanya diri sendiri.

Politik orang soleh ialah politik berilmu. Bukan politik jawab, respon, bantah, komen, ikut, tegur, hentam. Semuanya politik reaksi. Tidak ada politik proaktif. Bila tiada ilmu, maka tiada beri. Bila tiada beri maka hanya boleh reaksi pemberian orang lain. Ilmu macam-macam jenis. Apa sahaja asalkan mampu memberi kepada khalayak politik. Kalau sikit-sikit jawab, sikit-sikit komen orang, lama-lama jemu jadinya. Orang berilmu adalah orang yang tahu dan kaji, kemudian berikan idea. Biarpun yang kena komen itu kerajaan, lama-lama orang kata pembangkang tiada idea. Bukan salah orang kata, salah kita tak cari ilmu.

Politik orang soleh, mohon maaf bila yakin buat salah. Rendah diri jangan hina, jaga diri jangan sombong.

Wallahu a'lam.

No comments: