21.7.08

Konvensyen PAS Perak Pada 26 - 27 Julai

Johari Jaafar
Mon | Jul 21, 08 | 3:39:44 pm MYT

IPOH,21 Julai (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dijangka akan merasmikan Konvensyen PAS Perak yang akan berlangsung pada 26 hingga 27 Julai ini di Dewan Serbaguna Rapat Setia.

Menurut Setiausaha Kerja PAS Negeri Perak, Khalilul Rahman Abdul Samad, para perwakilan akan mendengar amanat Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Ahmad Awang dalam ucaptama yang bertajuk 'Mengisi Kemenangan, Memantapkan Perjuangan'.

Pada hari pertama konvensyen tersebut, dua kertas kerja akan dibentangkan, pertama oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasarudin Mat Isa yang bertajuk 'Sistem Pentarbiyahan Selepas Kemenangan'.

Kertas kerja kedua akan dibentangkan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Syed Azman Syed Nawawi, bertajuk '1999 Terengganu, 2004 Kelantan, 2008 Perak. Antara Pengalaman dan Pengajaran'.

Pada sebelah malamnya Presiden PAS, Dato' Abdul Hadi Awang akan bersama Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang dijangka akan menghadiri program ceramah perdana yang akan dijalankan di kawasan bandaraya Ipoh.

Pada hari kedua, dua lagi kertas kerja akan dibentangkan. Kertas kerja ketiga adalah, 'Marketing Politik dan Merakyatkan Kerajaan' yang akan dibentangkan oleh Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Manakala kertas kerja yang terakhir bertajuk 'Sokongan Multiracial Mengekalkan Kemenangan', yang akan dibentangkan oleh Ann Wan Seng.

Majlis konvensyen akan diakhiri dengan ucapan penggulungan dan resolusi.

No comments: