24.7.08

Obama Tiada Beza Dengan Pemimpin AS Lain Dalam Isu Palestin.

AFP melaporkan bahawa calon Presiden AS, Barack Obama berikrar pada Rabu, akan mengambil peluang daripada apa yang dipanggilnya tingkap kepada peluang damai di Timur Tengah, sekiranya dipilih sebagai presiden. Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan sempena lawatannya ke Sderot, tempat yang menjadi tumpuan serangan roket al-Qassam milik Hamas.

Sderot adalah sebuah bandar kecil yang telah berhampiran dengan Gaza.

Saya tidak pasti kenapa ianya dipanggil tingkap dan apa pula pintunya. Tetapi beliau sangat percaya tingkap itu telah wujud ketika ini. Namun beliau enggan pula untuk mengadakan rundingan dengan kumpulan Hamas, bermakna lebih percaya kepada Fatah yang sedang berunding dengan Hamas.

Lawatan dan sokongannya terhadap Israel adalah sebahagian daripada senarai apa yang terpaksa dilakukan oleh beliau bagi mengelak daripada imejnya terus dikaitkan dengan Islam. Beliau juga sedaya upaya cuba meyakinkan pengundi dengan polisinya terhadap Timur Tengah. Beliau mahu menunjukkan dirinya tegas menyokong Israel, tetapi dengan wajah baik dan damai.

Visi beliau adalah bagi mewujudkan Israel sebagai sebuah negara yang kuat dan selamat bersebelahan dengan negara Palestin

" Kita mesti menyokong pemimpin Palestin yang berkongsi visi ini termasuk mereka yang saya temui hari ini," kata Obama.

Beliau dilaporkan telah bertemu Mahmud Abbas dan Salam Fayyad.

Di Israel, beliau juga telah bertemu dengan ramai pemimpin Israel. Sikapnya untuk tidak memberi tekanan kepada mereka dalam soal perdamaian ini, khususnya dalam merangka perjanjian dilihat agak lebih sederhana berbanding Presiden Clinton dan Bush.

Bermain emosi, beliau menyokong apa sahaja yang dilakukan oleh Israel sebagai reaksi terhadap serangan Hamas yang menyebabkan kanak-kanak dan orang awam Israel menjadi mangsa. Tetapi emosinya langsung tidak terusik ketika pelbagai kesengsaraan dialami penduduk Palestin sejak sekian lama. Jadi apa yang kita boleh harap daripada seorang lagi bakal Presiden AS?

Seperti presiden yang lain, beliau mahu Hamas mengikhtiraf Israel dan menghentikan apa yang dipanggilnya keganasan Hamas terlebih dahulu sebelum bersedia melihat Israel berunding dengan Hamas.

Bagi saya, perdamaian di Palestin, jika berlaku usaha ke arah itu antara orang Palestin dengan Israel, hanya sebagai langkah Israel menangguhkan keganasannya, atau berehat daripada serangan Hamas, mahupun cubaan menarik sokongan dunia terhadap Israel. Israel tidak senang selagi wujudnya gerakan Islam seperti Hamas. Maka tidak mungkin keganasannya terhenti begitu sahaja.

Hamas pula, tetap setia dengan tiga tuntutan utamanya, menjadikan Baitul Maqdis ibu negara Palestin, membebaskan semua tahanan Arab di Israel dan membenarkan semua pelarian Palestin pulang ke negara asal mereka, selain enggan mengikhtiraf Israel. Israel tetap enggan menerima tuntutan Hamas. Jadi apa yang Obama boleh lakukan?

No comments: