4.7.08

Sinar Harian Menunjukkan Etika Baik Dan Bebas

Di sini, secara ikhlas saya amat berterima kasih kepada penerbit akhbar Sinar Harian yang berjaya menunjukkan contoh terbaik bagi sebuah akhbar harian di negara ini. Ia melaporkan apa sahaja yang difikirkan layak menjadi berita, baik melibatkan masalah dan kepentingan komuniti atau perkembagan politik tanah air yang dilihat bebas.

Jika anda membaca Sinar Harian, anda akan merasakan ia seperti akhbar milik Umno, juga milik PKR, malah mungkin milik PAS, kadang-kadang milik kerajaan negeri. Ini bermakna ia adalah milik rakyat keseluruhannya. Ia berjaya memberi liputan terbaik dan saksama kepada semua pihak. Lihat sahaja edisi hari ini ( Jumaat ) anda akan dapati liputan sama rata antara kenyataan media Timbalan Perdana Menteri Malaysia dengan kenyataan media bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Mungkin kelihatan berita tentang BN agak lebih, tetapi itu bukanlah isu asas.

Dengan hal sebegini, bukanlah ia bermakna akhbar ini akan melaporkan sesuatu yang benar dan tepat semata-mata. Ia adalah pelapor dan bukan penyiasat atau pengkaji. Sudah tentu wartawannya akan mencatat dan menerima apa sahaja yang disampaikan oleh sumber asal berita.

Saya tidak bersetuju apabila masih ada pihak yang masih kurang senang dengan akhbar sebegini hanya kerana pemiliknya bukan orang kita, dia parti lawan kita, dia mungkin ada agenda tersirat dan bermacam-macam lagi.

Baik, cuba kita lihat desakan kita selama ini untuk Utusan dan Berita berlaku adil kepada kerajaan pusat dan pembangkang dalam memberi liputan.
Bukankah kita mahu mereka melaporkan berita bersumberkan pelbagai pihak, bukan hanya kerajaan. Bukankah kita mahu kenyataan pemimpin alternatif tidak diputar-belit. Bukankah kita mahu program parti pembangkang juga mendapat sedikit liputan.

Dan bukankah semua itu ada pada Sinar Harian? Saya tidak fikir kita mahu pemilik Utusan dan Berita bertukar kolor baju, barulah kita berpuas hati.
Saya tidak fikir, kita hanya selesa dengan akhbar milik orang parti kita. Kita bukan hidup hanya dalam lingkungan parti kita semata-mata. Yang penting ialah apa yang dilaporkan bukan hasil putar belit dan bukan mainan politik penguasa. Jika akhbar harian ini mempunyai kecenderongan kepada mana-mana parti sekalipun, bukan menjadi masalah kepada kita. Biarlah mereka cenderong, asalkan tiada penipuan dan penyelewengan fakta secara sengaja.

Jadi, saya tidak fikir, jika pemilik akhbar ini adalah orang Umno sekalipun, menjadi masalah kepada saya membacanya. Saya bukanlah pembaca yang berfikiran tertutup, hanya membaca akhbar orang saya, sebaliknya saya akan membaca semua akhbar yang tidak diperkosa oleh penipuan.

Jika nanti akhbar ini berubah, maka pada masa itulah baharu saya akan membuat pendirian yang mungkin berbeza. Selagi ia bebas dan bermanfaat menyebarkan maklumat seperti sekarang, ambillah kesempatan daripada akhbar ini.

Saya tiada apa-apa kepentingan untuk menulis entri ini. Malah saya gembira ada akhbar seperti ini di bumi Malaysia. Saya tidak kata ia adalah yang terbaik secara total di Malaysia, tetapi saya percaya ia terbaik dalam memberi pandangan dan berita pelbagai pihak, khususnya dalam segmen politik dan program kebajikan.Tahniah!

No comments: