21.8.08

Sembang Tentang Rundingan

Alhamdulillah, walaupun emak saya diserang sesak nafas lagi, beberapa hari sebelum muktamar, keadaannya tidak seteruk beberapa bulan lalu sehingga beliau di'icu'kan.

Dengan keadaannya yang semakin pulih, saya sempat hadir ke muktamar di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Banyak peristiwa dan saat-saat menarik muktamar tidak sempat saya saksikan kerana sampai di muktamar hanya pada jam 3.00pm hari Sabtu. Lagipun saya juga perlu bersiar-siar di kawasan gerai muktamar.

Muktamar kali ini memaparkan sedikit pergolakan dalam PAS yang mana ianya biasa berlaku dalam mana-mana parti politik. ia hanya pergolakan pada memilih satu tindakan terbaik terhadap satu isu hangat. Pergolakan tidak puas hati terhadap sesuatu strategi atau kerja runding pimpinan. Pergolakan dalam mempertahankan dasar parti dengan kaca mata berbeza dan lain-lain.

Ia adalah pergolakan biasa-biasa sahaja tahapnya dan biasa berlaku kepada sebuah parti yang sudah seusia PAS. Ia biasa apabila kebebasan bersuara tidak disekat oleh PAS. Alhamdulillah, pergolakan itu tidak membesar dan tidak bernanah. Ia direda dan disejukkan dengan kebijaksanaan pimpinan memberi penjelasan, khususnya oleh empat pimpinan utama parti.

Daripada semua kejadian berkaitan pergolakan yang saya saksikan, saya menyedari ada satu perkara atau seni yang mana jika dijuarai oleh semua yang berkenaan secara bijak, maka ianya tidak sempat untuk bergolak. Itu yang saya belajar daripada apa yang berlaku selepas pilihanraya lalu, sehingga kepada saat muktamar di Ipoh. Apa yang saya maksudkan ialah seni berunding.

Saya memang tidak mahir dalam berunding dengan pihak yang bertelagah, atau menjadi pihak ketiga. Saya akui kelemahan itu. Tetapi tidaklah bermakna saya lagsung tiada idea untuk mencadangkan bentuk perundingan yang wajar dilakukan.

Tetapi di sini, saya sekadar ingin mengingatkan kepada rakan-rakan dan sahabat-sahabat bahawa setiap pergolakan yang telah berlaku, insyaAllah tidak akan berlaku jika kita mahir dalam berunding, selepas Allah. Sekurang-kurangnya ia tidak lama atau dalam tahap yang kecil.

Saya melihat apa yang telah saya saksikan, bukanlah setiap pergolakan itu terlalu rumit atau sukar dileraikan. Pokok pangkalnya, apakah mereka yang terbabit telah berunding? Jika sudah, apakah perunding itu adalah perunding yang mahir serba-serbi seni runding?

Saya tahu ia bukan mudah. Tetapi saya tetap ingin tegaskan juga, mulai sekarang, setiap yang aktif dalam politik dan setiap yang mahu menjadi ahli politik, perdalamkanlah seni runding kalian. Sama ada ingin berunding dengan sahabat separti, rakan sepakatan mahupun musuh politik. Mahirkan setiap senjata runding, menarik dengan lembut, melepas dengan ikatan, menawar dengan manisan, mengancam dengan senyuman, demi satu perjuangan, bukan satu tubuh badan.

Berunding biarlah berstrategi, bukan beremosi. InsyaAllah, kekalutan tidak sempat menjadi pergolakan.

18.8.08

Presiden PAS : Kita Utamakan Pelaksanaan Islam Yang Universal

Saya petik satu artikel daripada Siasahdaily yang melaporkan kenyataan Presiden PAS di Ipoh, ketika memberi kenyataan kepada media ketika berehat daripada Muktamar PAS pada hari Jumaat, berkaitan pelaksanaan Islam di negeri yang PAS tidak dominan.


Bagi pandangan saya, di sinilah peranannya ilmu siasah syar'iyyah, ketika mana pemimpin dituntut bijak dalam melaksanakan Islam dengan mengambil kira segala kemungkinan, kekuatan, halangan, Fiqh Awlawiyyat ( ilmu urutan keutamaan ) dan Fiqh Muwazanat ( ilmu pertimbangan ).


Jika membaca tulisan Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam hal ini, kita boleh temui contoh yang beliau bawa antaranya memegang jawatan Gabenor Bank Negara yang tidak islamik oleh seorang muslim di negara umat Islam, demi maslahah ammah, walaupun sistemnya adalah ribawi.


Contoh di atas sekadar memperjelaskan dua fiqh yang saya sebutkan.

Wallahu a'lam.

++++++

Berhubung dengan cadangan agar negeri-negeri Pakatan Rakyat menurut jejak langkah Kelantan mengharamkan judi dan mengawal penjualan arak, beliau tidak bersetuju dengan cadangan itu.


"Ketika kita hendak melaksanakan pengharaman judi di Terengganu dan Kelantan dahulu, kita tanya orang bukan Islam dahulu. Bila mereka kata judi juga dilarang oleh agama mereka, kita haramkan judi itupun dengan perlahan-lahan sehingga mereka ada pekerjaan lain.


"Arak pula dibenarkan oleh agama mereka, jadi kita benarkan untuk mereka.


"Tentang negeri-negeri Pakatan yang lain seperti Perak sekarang, kita kena memahami realiti kita berada dalam kerajaan campuran dan tidak mempunyai kuasa mutlak. Jadi dalam kerajaan sebegini kita utamakan pelaksanaan Islam yang universal yang tonjolkan keadilan seperti banteras rasuah dan sebagainya," kata Abdul Hadi.

15.8.08

Gaya PM PR Impian PAS


Gaya Perdana Menteri Pakatan Rakyat yang pertama? Itu harapan ahli PAS. Sama ada ianya waqi'e atau tidak, ia tetap satu impian.

11.8.08

Kerajaan PR Tidak Islam, Tetapi Mempercepatkannya

Beberapa hari sahaja lagi Muktamar Tahunan PAS ke 54 akan di'startkan' injinnya. Pelbagai kandungan perbahasan akan dapat didengari sepanjang muktamar kali ini, yang akan berlangsung di Ipoh, Perak. Ia sebuah negeri yang tidak dijangkakan akan menang dan ditadbir oleh MB daripada PAS pada pilihanraya lalu. Tapi, itulah kehendak Allah swt. Allah dengan mudah membalikkan hati-hati manusia.


Semua yakin, isu berkaitan muzakarah dan pembentukan kerajaan PR di peringkat nasional turut akan mewarnai ucapan dasar Presiden dan perbahasan ucapan tersebut oleh wakil-wakil negeri. Juga ucapan tema oleh ketiga-tiga dewan serta perbahasan masing-masing.


Apakah akan ada perbezaan antara keempat-empat ucapan ini, khususnya menyentuh isu pembentukan kerajaan baru pada September akan datang, nanti kita saksikan. Jika jelas perbezaannya, akan sekali lagi menjadi bahan permainan media perdana.


Isu Kerajaan Baru



Isu ini telah dibincangkan oleh banyak laman web, termasuk di blog-blog pimpinan PAS sendiri. Ia telah diperkatakan lama dulu. Kini ia muncul semula. Mungkin kerana hampirnya muktamar maka ada yang memilih wajarlah ianya dipanaskan dahulu seketika, sebelum diperbahaskan secara lebih terbuka di muktamar.


Kebimbangan di kalangan orang-orang PAS tertumpu kepada kemungkinan kerajaan itu nanti didominasi kerusi parlimennya oleh orang-orang bukan Islam, apabila Anwar berjaya membawa masuk sekitar 30 ahli parlimen dari Malaysia Timur ke dalam PR, yang majoriti mereka adalah bukan Islam. Maka, dibimbangi kerajaan baru itu nanti, dikuasai oleh bukan Islam.


Saya cuba melihat secara positif terhadap perkembangan itu nanti, tanpa menolak bahawa saya juga berasa bimbang berkaitan hal penguasaan itu nanti. Beberapa perkiraan atau strategi boleh difikirkan bersama oleh pihak tertentu.


Saya melihat, jika berlaku bukan Islam menjadi majoriti di kalangan anggota parlimen PR yang merupakan kerajaan memerintah, ia tidak semestinya memberi kesan langsung kepada kerajaan, iaitu keanggotaan kabinet itu nanti. Dengan kebijaksanaan Anwar dan PKR ( parti dominan sekarang ), maka boleh sahaja membentuk sebuah kabinet yang majoriti aggotanya adalah muslim.


Kedua, bilangan MP non-muslim melebihi muslim di dalam PR tidak memungkinkan berlakunya perubahan kepada kedudukan agama Islam itu sendiri di negara ini. Tidak akan berlaku perubahan pada perlembagaan negara kerana syarat 2/3 yang wujud, menghalangnya. Islam juga merupakan suatu yang terlindung selamat di bawah sistem raja berperlembagaan negara Malaysia, yang sama kali sistem ini mustahil berubah untuk tempoh terdekat ini.


Ketiga, saya akui kerajaan itu nanti bukanlah kerajaan Islam secara dasar dan mutlak. Tetapi banyak unsur-unsur Islam akan ditegakkan bersama, seperti keadilan, amanah, kebebasan dan ketelusan dalam pengurusan kerajaan. Semua ini adalah cukup besar nilainya di dalam agama Islam, malah ia akan memberi ruang sangat besar kepada Islam bernafas dengan lebih baik di negara ini.



Ya, pada zahirnya, kita mungkin kecewa kerana penyertaan PAS di dalam sebuah kerajaan yang masih melakukan banyak maksiat, lantaran bukan sebuah negara Islam yang tertegak, namun kita juga perlu sedar bahawa penarikan kita nanti akan terus mengekalkan Malaysia sebuah negara yang sukar untuk Islam sebenar bernafas dengan baik, selain segala maksiat yang kita saksikan kini berterusan.

Islam adalah agama untuk dibawa kepada masyarakat, teman dan lawan, bukan agama untuk kelompok 'kita' sahaja, yang mana kita mengasingkan diri daripada kelompok non-islamik semata-mata untuk kita berasa selesa dengan amalan kita. Lantaran, jika ini terus kekal, maka sukarlah Islam diterjemahkan secara betul di tengah masyarakat, kecuali pada kumpulan sendiri dalam bentuk yang sama, tidak berkembang.



Keempat, kerajaan PR, walaupun bukan berasaskan agama, yang sama seperti kerajaan BN, tetapi dengan kebebasan dan ketelusan yang wujud lebih memudahkan Islam bertapak di hati-hati rakyat Malaysia. Walaupun kuasa yang ada tidak mengimplemenkan agama, tetapi ruang yang ada memudahkan PAS masuk ke setiap rumah umat Islam dan bukan Islam di negara ini. Malah Islam boleh diperjelaskan secara betul dan tepat kepada non-muslim. Ia akan berlaku sedemikian apabila dengan mudah kita menggunakan RTM untuk penyebaran Islam sebenar. Malah tanpa halangan lagi, Kelantan serta negeri-negeri PR yang lain akan dibenarkan memiliki stesyen tv sendiri, dan bermacam lagi lah. Senaraikan apa sahaja yang dihalangi oleh BN selama ini, ketika itu, tidak lagi oleh PR. Apakah ini masih lagi merunsingkan kita?


Kelima, sekiranya kerajaan PR berjaya dibentuk, janganlah berharap Islam terus gemilang serta-merta, sebaliknya ia menghasilkan kesempatan dan peluang besar untuk PAS dan para pendakwah bekerja keras menyampaikan Islam sebenar. Saya percaya, kondusi negara di bawah kerajaan PR nanti lebih mempercepatkan pembentukan kerajaan Islam sebenar bagai yang dicita-citakan oleh pejuang PAS, apabila Islam sudah difahami sebaiknya oleh majoriti masyarakat, termasuk kelompok totok Umno di mana sahaja.


'Demand'

Terakhirnya, PAS pada bila-bila masa sepanjang pentadbiran itu nanti adalah merupakan anggota kerajaan yang mempunyai 'demand' tersendiri. Langkah PAS mewawarkan isu muzakarah sebelum pembentukan kerajaan PR adalah satu strategi yang sangat tepat dan bijak. Ini andaian saya, dan tahniah kepada kepimpinan parti yang merancang. Kini, PAS kekal setia dalam PR, dan dalam masa yang sama setiap anggota PR yang lain sentiasa berhati-hati dalam menjaga hubungan bersama PAS, khususnya apabila kerajaan baru terbentuk.

BN di Sabah dan Sarawak mungkin kurang berani untuk bermain tarik tali secara lebih keras dengan Umno, namun begitu mereka tetap mendapat beberapa keistimewaan daripada kerajaan Pak Lah. Dengan isu muzakarah baru-baru ini, apakah Anwar masih mahu kesampingkan Islam dan PAS?


Belajar

Apa yang lebih saya bimbangkan ialah, PAS belum ada perancangan dan strategi bagi memanipulasi kejayaan PR untuk kepentingan agama, baik kejayaan di beberapa buah negeri ketika ini, mahupun kejayaan memerintah negara nanti. Ini mungkin kerana kita selalu beranggapan, sekali PAS memerintah, mesti terus membentuk sebuah daulah Islamiah, tanpa mengambil kira pemeringkatan ke arah itu. Kita sepatutnya belajar daripada PKS dan AKP, itu pandangan saya.

8.8.08

Mungkinkah PAS memiliki Dewan Dakwah?

Salah satu sambutan Krismas secara besaran di sebuah pusat membeli belah di Jalan Bukit Bintang.
Bagaimana Islam dibawa oleh PAS kepada mereka yang sentiasa berada di tempat seperti ini?


Ketika berbangkit isu konsep Kepimpinan Ulama di dalam sistem pengurusan PAS beberapa tahun lalu, kita didedahkan persoalan apakah maksud sebenar konsep itu. Ada yang menghuraikan sebagai ulama mengetuai pentadbiran eksekutif parti, iaitu parti mesti diketuai oleh seorang ulama sebagai presiden.


Ada pula yang menghuraikan dengan wujudnya Majlis Syura Ulama maka ia telah memenuhi kehendak konsep tersebut, walaupun presidennya bukan seorang ulama. Di dalam PAS, malah di peringkat pimpinan pusat sekalipun, pengaruh terhadap dua pandangan ini besar.


Kelompok pandangan pertama berhujah antara lain, dalam sistem pentadbiran dan pengurusan parti, kuasa utama berada di dalam tangan pimpinan pusat yang diketuai oleh seorang presiden, bukan pada Majlis Syura Ulama, maka perjalanan parti pada teknikal dan strategi serta perancangannya tidak secara terus dilakukan oleh Majlis Syura Ulama.


Oleh itu sekadar meletakkan ulama di majlis tersebut tanpa mengetuai Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tidak menjamin perjalanan PAS sentiasa dan selalu benar-benar berada di landasan Islam yang terkawal dan terlindung serta tidak cukup untuk parti dinobatkan sebagai melaksanakan kepimpinan ulama secara konsisten.


Bagi kelompok kedua pula, cukup sekadar Majlis Syura Ulama menjaga keislaman parti dan kuasa eksekutif perlu diserahkan kepada yang paling layak, sama ada daripada kalangan ulama, mahupun non-ulama. Maknanya, tidak disyaratkan presiden parti mesti seorang ulama.


Tulisan ringkas ini, tidaklah mahu membincangkan hal tersebut di atas, sekadar memulakan dengannya sebagai latar kepada isu yang ingin saya bawa, atau idea yang ingin saya kemukakan di bawah. Dalam hal tersebut, cukuplah saya menjadikan isu muzakarah baru-baru ini sebagai sokongan hujah bahawa pandangan pertama lebih sesuai untuk parti. Saya tambah pula, bagaimana jika suatu hari nanti berlaku pertembungan pandangan antara Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diketuai oleh seorang non-ulama? Bagaimana reaksi ahli bawahan agaknya?


Idea yang ingin saya utarakan dalam artikel ini ialah menggantikan Dewan Ulama PAS Pusat kepada Dewan Dakwah PAS Pusat, kemudian diikuti oleh setiap peringkat. Saya memohon maaf jika perkara ini menyinggung mana-mana ulama PAS, namun ia sekadar pandangan seorang ahli biasa yang tiada apa-apa kelebihan mahupun pengaruh. Ia mula terdetik pada fikiran saya bukan disebabkan oleh tanggapan saya terhadap kelemahan Dewan Ulama atau saya sudah terpengaruh dengan golongan yang pernah mencadangkan Dewan Ulama ditiadakan. Tidak begitu.


Saya melihat, Dewan Ulama berada di landasan yang betul malah sentiasa maju ke hadapan, namun kadang-kadang matlamat dan peranannya kurang jelas. Tidak pada polisinya, tetapi pada praktikalitinya dan realiti yang berlaku. Oleh itu, saya terfikir untuk melontarkan idea ini sebagai satu pilihan kepada parti dan sebagai mengukuhkan peranan parti yang merupakan sebuah jamaah Islam yang syumul.


Antara beberapa perkara yang saya amati dan lontarkan untuk tatapan para pembaca ialah seperti berikut:

  1. Banyak perbincangan, kerja dan peranan di bawah Dewan Ulama ini seperti berulang dengan apa yang dilakukan oleh baik PAS Pusat, Negeri mahupun dewan-dewan yang lain. Kadang-kadang tidak nampak fokus yang jelas dipaparkan oleh dewan ini, selain menjadi tempat berkumpulnya golongan agama pelbagai peringkat usia dan latar belakang untuk bergerak aktif. Bagi ahli yang aktif di peringkat Dewan Pemuda, Dewan Ulama dan PAS Kawasan, mungkin apa yang saya maksudkan ini mudah difahami oleh mereka. Untuk membezakan Dewan Ulama dengan Dewan Pemuda pada ahli dan penyertaannya, tidak juga berlaku sedemikian kerana ramai ulama atau ustaz muda menyertai Dewan Pemuda berbanding Dewan Ulama.

  1. Kewujudan dewan ini boleh memberi gambaran bahawa hal berkaitan perbincangan agama dan hukum-hakam melalui kertas kerja, seminar, konvensyen dan lain-lain hanya 'milik' Dewan Ulama, manakala Dewan Pemuda hanya menjurus kepada isu politik dan kepemudaan semata-mata, yang kadang-kadang menyebabkan para pemuda segan untuk menjuarai isu agama dan dakwah yang sepatutnya dijuarai oleh ulama. Tambahan pula pendekatan Dewan Ulama agak lebih 'kedewasaan' yang boleh memberi gambaran kurang tepat terhadap ulama secara umumnya.

  1. Kewujudannya juga memberi gambaran bahawa kepimpinan ulama itu cukup sekadar wujudnya Dewan Ulama dan Majlis Syura Ulama, tidak perlu lagi presiden mesti seorang ulama. Praktikalnya tidak begitu, ramai ulama aktif di luar Dewan Ulama sehingga akhirnya dewan itu sendiri kekurangan tokoh ulama PAS yang mampu memperkasakan dewan tersebut atau kesibukan dengan pelbagai jawatan menghalang fokus kepada dewan ini, yang akhirnya timbul pula pertanyaan apa perlunya Dewan Ulama ketika ramai ulama berada di peringkat negeri dan pusat?

  1. Dewan Ulama yang sepatutnya menjuarai isu dakwah dan tarbiah terbeban dengan pelbagai isu politik dan pilihanraya sehingga tugasan utama berdakwah seperti tidak dijadikan sebagai agenda utama. PAS bangga dengan dirinya sebagai sebuah gerakan dakwah dan politik sekaligus, tetapi realitinya ia lebih kepada politik. Bermula daripada pimpinan pusat, negeri, kawasan dan dewan-dewan semuanya menonjol dengan kerja parti dan politik yang akhirnya tugasan dakwah secara fokus kepada masyarakat muslim dan non-muslim terabai. Maksud saya ialah kerja secara berfokus oleh sebuah dewan, bukan kerja individu para ulama yang berdakwah di sana-sini. Jika itu yang dibanggakan, maka akan ada yang bertanya, apa perlunya dewan?

  1. Apabila Dewan Ulama wujud berasaskan identiti, maka dewan ini mesti melakukan semua perkara. Bermula daripada kerja pentadbiran dewan, politik, pilihanraya, dakwah, tarbiah, kebajikan dan lain-lain, sehingga sekali lagi antara tugasan utama seorang rasul diutus, ulama mewarisi, iaitu berdakwah seperti terabai. Bukankah dengan wujudnya sebuah dewan yang memberi fokus kepada kerja-kerja dakwah akan mampu menyelesaikan persoalan tersebut, di samping dapat mengukuhkan lagi identiti PAS sebuah gerakan politik dan dakwah serentak.

  1. Kewujudan Dewan Dakwah PAS akan memberi ruang yang lebih besar kepada golongan pencinta dakwah yang letih dan pening dengan permainan politik untuk bergerak lebih aktif di dalam PAS. Islam mengharamkan politik terasing tetapi Islam tidak pernah mewajibkan semua individu terlibat di dalam kerja politik Islam, sama seperti Islam mengharamkan pengasingan ekonomi tetapi pernahkah kita merasakan kewajipan terlibat di dalam ekonomi Islam secara langsung? Tidakkan!

  1. Setiap orang ada peranannya ke arah keredhaan Allah. Ada pihak yang aktif berpolitik, dan ada pula yang enggan bermain politik namun akan aktif bersama PAS dalam kerja-kerja dakwah secara fokus melalui Dewan Dakwah. Itulah yang saya harapkan berlaku, kerana ramai yang tidak berbuat apa-apa di dalam PAS kerana ingin menjauhkan diri daripada menjadi politikus. Kini, menyertai mana-mana dewan, terpaksa bermain politik sedangkan ia bukanlah minat semua individu muslim. Jangan silap memahami saya, penglibatan dalam jamaah dan parti adalah wajib bagi semua individu tetapi menjadi politikus bukan kewajipan semua orang. Maka saya mencadangkan Dewan Dakwah ini sebagai platform untuk mereka di dalam parti, daripada mengasingkan diri daripada parti sehingga bekerja sendirian.

  1. Untuk Dewan Dakwah itu nanti bergerak secara terbaik, perlulah kepada pengkajian dan perbincangan lebih lanjut dan detil. Yang pastinya ia sama sekali tidak akan menghalang para ulama untuk bergerak aktif dalam politik sebagai politikus, kerana mereka boleh sahaja bergerak di mana-mana platform parti, malah ulama sebegini boleh sahaja aktif di dalam politik dan di dalamk erja dakwah. Manakala golongan non-ulama yang mahu mencurahkan keringat dalam kerja dakwah, inilah tempat terbaik untuk mereka.

Para pembaca yang dirahmati Allah, saya sekadar memberikan lontaran idea, lantaran mengharapkan kerja dakwah yang berfokus dan tersusun oleh parti, kerana ramai dan ramai para ilmuan dan ulama PAS yang terabai begitu sahaja ilmu dan kepakaran dakwah mereka kerana masing-masing yang mahu aktif di dalam jamaah dipaksa menjadi politikus, bukan diberi pilihan untuk berdakwah secara lebih berfokus. Sekali lagi, mohon maaf kepada para ulama yang membaca.


2.8.08

Aduh, Sehingga Karpal Mengajar Pimpinan PAS

Harakahdaily
Sat | Aug 02, 08 | 10:55:27 am MYT

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Hrkh) - Pengerusi DAP, Karpal Singh menyambut baik kenyataan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa PAS menolak sebarang kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional berhubung penubuhan kerajaan, sama ada di peringkat pusat mahupun negeri.


Bernama melaporkan, Karpal dalam satu kenyataan semalam berkata kenyataan Ustaz Hadi itu amat menggalakkan dan menampakkan perkembangan yang baik buat masa depan Pakatan Rakyat.


Karpal bagaimanapun berkata demi kebaikan komponen parti dalam Pakatan Rakyat, adalah lebih baik bagi PAS menyuarakan pandangannya berhubung isu-isu yang berkaitan dengan Pakatan Rakyat menerusi Ustaz Hadi, dan bukannya menerusi lain-lain personaliti dalam parti itu, yang ada kalanya bercanggah dengan kenyataan Presiden. - mks._


Orang Politik Jangan Bergantung Dengan Pakaian Jamaah.


"Ingat, jikalau bergerak biar di dalam gelap" pesan seorang pejuang gerakan Islam dan Melayu kepada teman-temannya sebelum memulakan permusafirannya ke luar negeri.


Apabila saya mendengar kata-kata itu, terus saya teringat kepada apa yang berlaku kepada gerakan Islam PAS baru-baru ini. Dianggap oleh sesetengah orang sebagai 'kerja gelap'. Ada juga yang memanggilnya 'bermain belakang'.


Saya pula teringat kepada apa yang berlaku kepada Rasulullah saw bersama salah seorang isteri baginda, ummul mukminin yang diredhai Allah, apabila mereka berduaan di dalam gelap, tiba-tiba ada sahabat baginda saw melalui kawasan tersebut. Maka cepat-cepat baginda menolak sebarang tanggapan negatif dengan memberitahu wanita yang bersamanya adalah isteri baginda. Sefaham saya cerita ini adalah sahih, namun tidak berjumpa pula rujukannya untuk mengesahkannya.



Persepsi

Dalam pesannya di atas, Hang Tuah barangkali memahami bahawa bukan setiap pergerakan itu mesti di dalam terang. Ada yang perlu digelapkan. Itulah perancangan.Tuah bijak, apabila menyatakan perkara itu kepada semua teman-temannya secara jelas lagi nyata. Semuanya faham. Semuanya akan sekata jika ingin bertindak di dalam gelap bagi menghapuskan musuh mereka.


Bagaimana jika kerja gelap mereka diterangkan oleh musuh? Terbukti itu suatu yang amat bahaya. Tuah yang berjumpa secara 'gelap' dengan Melor telah diterangi oleh musuhnya kepada baginda Sultan, lantaran Tuah dihukum pancung. Hukuman untuk orang yang melakukan kerja gelap amat buruk lagi hina. Itu tak apa lah, sebab memang Tuah bersalah.


Apa pula halnya jika kerja gelap yang betul atau berniat baik tetapi diterangkan oleh musuh untuk niat buruknya?


Rasulullah bersungguh-sungguh untuk mengelak daripada persepsi buruk para sahabat terhadap baginda, lantas dengan segera memaklumkan wanita yang bersama baginda itu adalah isteri baginda sendiri.


Rasulullah adalah rasul. Utusan kepada Tuhan sekalian alam. Siapalah di kalangan para sahabat yang sanggup menuduhnya bukan-bukan. Tetapi Rasulullah tidak hanya sekadar menggunakan kedudukannya untuk orang percaya, taat, thiqah dan husnu zhan begitu sahaja, cukup dengan pakaian jamaah itu. Tidak begitu. Baginda mengambil berat tentang persepsi orang, lantas tidak sekadar mengharapkan sahabatnya sahaja bersangka baik, baginda tampil segera menjelaskannya.


Membiarkan perkara itu tidak diperjelaskan, bermakna membiarkan persepsi buruk berterusan. Barangkali persepsi buruk itu akan muncul lama selepas itu, selepas mereka yang faham dan tahu telah tiada untuk menjelaskan.


Samalah seperti sikap baginda terhadap orang-orang munafiq di Madinah. Tidakkah Rasulullah boleh sahaja membunuh mereka yang layak dibunuh, kemudian naik sahaja ke mimbar dan menjelaskan kepada rakyat Madinah, mereka adalah orang-orang munafiq yang mesti dibunuh. Jika Rasulullah dipercayai ketika mi'raj, apakah yang ini juga sukar dipercayai? Tetapi Nabi saw amat menjaga persepsi awam lantas mengatakan " Aku tidak mahu manusia akan berkata Muhammad membunuh sahabatnya". Rasulullah amat bijak. Rakyat ketika itu mungkin akan berpandangan negatif kerana mereka tidak tahu kekufuran golongan munafiq tersebut, yang kufurnya di dalam gelap.


Saya cuba ingin mengaitkan antara kerja gelap, menggunakan kedudukan untuk 'memaksa' pengikut percaya dan persepsi. Orang politik jangan terlalu bergantung kepada pakaian jamaah, lantas membisikkan pada diri "ah...ahli-ahli akan taat dan percaya kepada pimpinan" lantas membiarkan terbukanya satu episod persepsi buruk ahli dan masyarakat terhadap mereka.


Ya, berapa peratus sahaja dikalangan rakyat Malaysia yang akan menggunakan pakaian itu terhadap pimpinan PAS, majoritinya akan menggunakan tanggapan masing-masing.