30.9.08
Ramadhan 7 - Syawal Menjelma
Sudah lama saya tidak berjaga malam untuk memasak. Itu adalah adat biasa semasa saya bersekolah rendah dan menengah dahulu. Pasti ada sahaja tugasan yang diberikan mak untuk membantunya memasak, membakar atau menumbuk.
Sejak kecil, saya sudah diasuh untuk bergelumang dengan kerja-kerja dapur. Jika di luar Ramadhan, memang setiap kali memasak, saya ada tugasan khas. Contohnya meramas kelapa untuk mendapatkan pati santannya.
Di dalam Ramadhan, kerja menyediakan kuih-muih mengambil peranan. Kami sekeluarga tidak pernah lepas membakar bahulu dan mengukus kuih apam@apom. Itu sudah kemestian. Jika mak dan abah agak lapang dan kuat, dodol juga berkemungkinan. Selain itu membakar lemang juga kerap. Cuma setelah mak kurang sihat, mengukus lemang daun menjadi pilihan.
Kerja-kerja ini biasanya membawa ke tengah malam. Itulah, dahulu punya kisah.
Kini, mak pula merantau, abah tiada, maka tiada lagi kuih-muih hasil tangan mak. Tangan mak hanya memegang ubat lelahnya, setiap hari.
Tiba-tiba, malam ini, sekarang, saya berjaga pula. Secara tidak disengajakan, saya melakukan kerja lama, kerja zaman remaja dahulu, berjaga untuk persiapan Syawal yang akan menjelma. Sudah lama saya tidak berjaga seperti ini. Kata orang, jika malam ini malam Qadr, maka ibadatnya melebihi seribu bulan. Maka masakan rendang saya yang kini di atas dapur bernilai seribu bulan? Harap begitulah agaknya!
Ya, saya berjaga untuk menunggu rendang ayam dan daging, untuk dijamah bersama lemang yang akan kami bakar esok, bersama-sama, di kampung Teluk Sena. Moga-moga masakan saya, isteri dan pembantu rumah ini, menjadi pilihan saudara mara. Abang Radzi di Subang juga mempertaruhkan rendang isterinya, orang Jawa Barat. Tak tahu lah apa yang disediakan oleh Kak Yang di Wangsa Maju. Tapi biasanya, mereka suka memilih masakan yang pedas-pedas.
Yeop akan pulang lewat, mungkin. Abang Jun dan Kak Zura pada petang 1 Syawal. Apa yang akan mereka bawa, wallahu a'lam. Abang Mid dan Nyah telah merancang untuk membakar lemang esok hari, maka sudah tentu mereka membawa segala suku sakat lemang. Kak Ila pasti dengan barangan HPAnya. Abang Othman, Kak Pah dan Kak Mah, akan datang pada 1 Syawal atau 2. Kamarul, dengan isterinya yang tidak sihat, rasanya akan bawa makanan mentah sahaja. Itulah rencah akhir Ramadhan.
Ramadhan, adalah bulan yang penuh dengan khilaf. Khilaf rakaat Tarawih, khilaf selawat, khilaf imsak, khilaf anak bulan, khilaf ilmu falak, khilaf qunut, khilaf niat, khilaf ikut Arab Saudi, khilaf mandi, khilaf wangian, khilaf witir dan khilaf umrah. Macam-macam ada. Tetapi semua itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk berpecah daripada menjadi satu ummah yang menjunjung Tauhid. Takbir lebaran yang disulami unsur Tauhid, seharusnya mengatasi semua kekhilafan fiqah tadi.
Samalah, keseronokan dan kemesraan patut menjadi keutamaan daripada memikirkan bezanya kuih-muih yang dibawa, bezanya masakan rendang yang wujud di Malaysia, walaupun semuanya atas satu nama, Rendang Ayam dan Daging. Kecualilah jika namanya sudah menjadi Rendang Tok, memanglah tak sama dengan rendang biasa.
Pada tanggal satu Syawal ini, pembeza hanyalah Tauhid kepada Allah. Jangan kita menjadi pengikut kepada barisan itu, barisan yang tidak mengenali Tauhid sewajarnya.
Akhirnya, salam lebaran, salam Adilfitri saya ungkapkan di sini. Maaf zahir batin daripada Elbaritii Online untuk semua pembaca setia. Rasanya, rendang saya sudah hangit sedikit. Jumpa lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment