Alhamdulillah, hari raya kali ini cukup menyeronokkan. Kali pertama sejak sekolah menengah dahulu, saya beraya dengan kopiah hitam baldu yang cantik, tetapi murah, bercap Mydin. Baju pula, cantik dan kemas jahitannya daripada Wisma Yakin. Seronok ketika mengagihkan wang-wang raya kepada abang-abang, kakak-kakak, abang-abang ipar, kakak-kakak ipar, adik dan adik ipar, serta semua anak saudara yang hadir, selain mak sendiri. Seronok kerana dapat menziarahi abah yang sedang bersemadi di kampung.
Ziarah saya pada pagi pertama raya itu, bukan kerana tarikh itu, tetapi kerana tarikh itu sahaja saya berada di kampung. Boleh sahaja ditangguhkan kepada raya kedua, jika tidak mahu menziarahinya pada raya pertama, tetapi, rasanya kurang wajar ketika abang-abang menziarahi pada tarikh itu, saya hanya memerap di rumah.
Alhamdulillah, pada petang raya pertama saya sempat ke Ipoh untuk beraya. Kali pertama saya beraya di rumah MB Perak. Oleh kerana kali ini ianya milik orang teman, maka saya berpakat-pakat dengan beberapa orang abang saya untuk menghadap MB di rumah kediaman rasminya. Sambutan orang ramai adalah di luar jangka. Sangat ramai dan pelbagai kaum. Memang itu petanda baik bagi negeri Perak, insya Allah.
Alhamdulillah, pada hari raya pertama juga saya telah mendengar orang kuat UMNO kampung sudah berani mengkritik Pak Lah. Syukur saya bukan kerana kritikan itu, bukan juga kebenciannya, atau kerana dia mengutuk pemimpin yang saya tidak suka dan tidak akan undi, tetapi kerana orang kampung macam beliau sudah bijak membaca persekitaran politik negara. Beliau sudah celik menghitung untung rugi rakyat kesan daripada dasar-dasar kerajaan. Memang saya gembira dengan kemampuannya mengkritik Pak Lah dalam isu kenaikan harga minyak, peralihan kuasa kepimpinan negara dan kelemahan asas ekonomi negara.
Alhamdulillah, saya paling bersyukur dan berhamdu apabila saya serta seluruh keluarga selamat dan sejahtera sepanjang musim raya kali ini. Ketika beratus orang meninggal, beribu orang kesedihan kehilangan tersayang di jalan raya, beratus ribu lain sedih kekurangan wang poket, saya tidak tergolong dalam golongan-golongan ini.
( Subhanallah, Innalillah, ketika menaip entri ini, saya menonton seorang pemuda pecah kepalanya digilis tayar belakang lori tangki minyak di MRR2. Ya Rabb! Allahummaghfirlahu... )
Alhamdulillah, dalam bulan Syawal ini, saya masih diberikan kekuatan untuk terus mencari Allah dan rahmatNya, mencari idea untuk ummah dan jamaah.
No comments:
Post a Comment