16.10.08

Perkukuh Pakatan Rakyat, Tidak Bermakna Mesti Mengekori Teori Gharar

1.
Menyokong PAS wajib. Itu kata ahli dan pemimpin parti Islam PAS. Pelbagai hujah boleh dikemukakan oleh mereka. Mentaati kepimpinan juga adalah suatu kewajipan yang tidak boleh dinafikan lagi. Namun apakah ini bermakna menyanggahi pandangan pimpinan secara beradab, dalam bentuk perbincangan, dianggap menentang parti dan boleh dipanggil khianat?

2.
Kelihatan kini ramai ahli PAS yang tidak begitu kisah jika dirinya menyanggahi pandangan pemimpin PAS yang tidak selari dengan pandangan dan pendiriannya. Ada yang beradab dan ada yang tidak. Bagi yang beradab, mereka merasakan ianya bukanlah suatu kesalahan, tambahan pula mereka sangat yakin dengan hujah yang mereka genggami.

3.
Pemimpin sesama pemimpin juga ada berbeza pendapat, malah agak keras bunyinya di dalam blog masing-masing. Walaupun begitu, mereka tahu membezakan antara mengikuti keputusan mesyuarat dengan menolak idea dan pemikiran individu. Mereka sedar di manakah garis pemisah antara wala' dan ikhtilaf jaiz.

4.
Kenapa pula ketika berbeza pandangan dengan Anwar Ibrahim dianggap pengkhianat? Menolak teori Anwar dikira pemecah Pakatan Rakyat? Wajibkah menyertai Pakatan Rakyat? Jika wajib, apakah ia wajib tersendiri atau wajib dengan sandaran lain? Jika wajib, haramkah menolak teori peribadi Anwar 16 Sept?

5.
Jika tidak mahu percaya kepada 16 Sept, apakah ia menjadi punca Pakatan Rakyat akan gagal memerintah? Terkesankah PR dengan percaya tidaknya kita terhadap 16 Sept, ketika mana kita langsung tidak mampu mengesani 16 Sept, benarkah ia atau tidak, yang hanya diketahui oleh individu yang seorang itu. Jika ramai yang tahu, siapakah mereka?

6.
Kenapakah jika kita boleh menerima pertukaran had tempoh pertukaran kerajaan tanpa mempertikaikan kredebiliti, imej dan maruah PR tercalar, tetapi tidak kepada pihak yang menolak terus teori itu demi menjaga parti daripada terheret sama ke kancah penantian tanpa ketentuan, teori gharar.

7.
Jika anda tidak dipersalahkan dan tidak pula berasa bersalah ketika anda menolak beberapa idea presiden parti anda, apakah salah jika saya menolak pendirian peribadi Anwar dan dianggap pula saya sebagai pesalah dan saya patut berasa bersalah?

8.
Jika Anwar gagal, berbaloikah kita berenggang atas ketidak tentuan ciptaan Anwar itu? Dan jika saya bersama seorang ulama yang mempercayai Anwar, apakah salah jika anda bersama seorang ulama lain yang enggan mempercayai Anwar? Apa yang anda tahu dengan 16 September dan perpindahan wakil rakyat?

No comments: