31.10.08

Dulu Kuat, Sekarang Hanyut!

“ Kenapakah dia tidak aktif dengan kita? Tak turun mesyuarat agung langsung. Dulu kuat, sekarang hanyut!”

Ayat biasa yang didengari apabila dua sahabat bercerita tentang sahabat ketiga yang sedang menumpukan kepada minat/tugasan atau amanah yang tidak sama seperti mereka.


Asalnya begini.

Ketiga-tiga mereka adalah rakan yang sangat rapat suatu ketiga dahulu. Ambillah contohnya, sebuah sekolah agama di Kelantan, tempat mereka mula memahami isu-isu semasa kebangkitan umat Islam setempat dan dunia. Memang ketiga-tiga mereka merupakan pemimpin pelajar sekolah. Juga ada hubungan dengan sebuah parti Islam di Kelantan.


Kini.

Seorang menjadi ustaz yang aktif di dalam parti politik. Seorang lagi bekerja sebagai jurutera, juga aktif dalam sebuah parti politik. Sahabat ketiga tadi, seorang pensyarah agama yang agak dikenali dengan pandangan agamanya di negara ini.

Isu mula timbul apabila dua sahabat yang aktif tadi terputus hubungan dengan sahabat ketiga sejak meninggalkan alam persekolahan. Dengar-dengar beliau sudah menjadi tokoh masyarakat.
Kesibukannya memenuhi permintaan masyarakat untuk menyampaikan ilmu agama menyebabkan agak mustahil untuk mencari masa bagi mengaktifkan dirinya dalam parti yang menjadi landasannya suatu masa dahulu, di sekolah mereka.

Mulalah mereka berdua berasa kurang senang dengan kedudukan sahabat yang agak terkenal itu. Kalau tidak mampu mengawal diri, mulalah dilabelkan sahabat mereka ini sebagai pengejar pangkat, mata duitan, gila glemer dan sewaktu dengannya.

Persoalan yang ingin saya utarakan, apakah wajar dua sahabat tadi mahukan sahabat yang ketiga itu buat seperti apa yang mereka buat? Mampukah si pensyarah tadi memenuhi permintaan masyarakat serentak dengan permintaan partinya, sedangkan masa yang dia miliki sama sahaja dengan masa dua sahabatnya. Malah dia juga perlukan banyak masa untuk buku-bukunya yang sangat banyak itu.

Apakah jika beliau beralih angin kepada kerja-kerja parti sepenuh masa, maka dua sahabat tadi boleh menggantikan tempatnya untuk mengangkat kejahilan umat Islam di Malaysia, seperti yang telah dilakukannya? Seterusnya, lemahkah parti hanya jika pensyarah tadi langsung tidak menyumbang secara langsung kepada partinya?

Jawapannya jelas bagi saya. Setiap orang ada peranan masing-masing. Peranan itu sudah tentu tidak sama semuanya. Tidak semua orang boleh berperanan seperti orang lain. Ganjaran di sisi Allah juga berbeza-beza. Ada ganjaran akhirat dan ada juga ganjaran dunia dan akhirat.

Apa yang penting, masing-masing menuju ke matlamat yang satu. Jika berada di medan islami yang berbeza, seharusnya hubungan sesama mereka kekal dan diikatkan pula dengan hubungan bersama parti mereka bertiga, jika mereka masih percaya dan mendokong parti tersebut.


Peranan berbeza dibenarkan, tetapi ruang fitnah atau salah sangka mesti ditutup rapat. Perbincangan antara mereka bertiga adalah sangat penting. Strategi dakwah biar pelbagai, tetapi semuanya di bawah payung yang satu.

5 comments:

Anonymous said...

menceritakan ttg dirri sendiri ke?

Elbaritii said...

Agak2 saya yang mana? Ustaz yang aktif? jurutera? atau pensyarah yana glemer tuh?

Mmmm bukan tentang diri sendiri. Tapi tentang realiti yang berlaku di sekeliling saya.

Anonymous said...

saya setuju dengan ust: (Peranan berbeza dibenarkan, tetapi ruang fitnah atau salah sangka mesti ditutup rapat. Perbincangan antara mereka bertiga adalah sangat penting. Strategi dakwah biar pelbagai, tetapi semuanya di bawah payung yang satu).

Anonymous said...

salam....terima kasih ust,,teguran yang membina.

Elbaritii said...

Salam.

Mmmm nak kata teguran pun, mungkin lebih tepat pandangan peribadi saya. Dua belah pihak kena memahami dan memberi.