27.10.08

Pemuda Rahsia Sebuah Kebangkitan

Baik dalam gerakan Islam, mahupun di luarnya, golongan pemuda sentiasa dikaitkan dengan pengggerak yang memiliki semangat kental dan jiwa tegar dalam sesebuah perjuangan. Mereka juga sinonim dengan peranan sebagai benteng pertama bagi kepentingan ummah dan gerakan. Lantas itulah, seringkali kita mendengar nasihat dan seruan agar golongan muda remaja ini sentiasa dibentuk dengan acuan sebenar dan tepat serta diawasi daripada tergelincir.


Tidak kurang juga nasihat berguna dikemukakan terhadap pemuda gerakan Islam yang sedang bersebati dengan perjuangan, agar betul langkah arah mereka dan tepat pilihan tujuan mereka. Ia bermakna, sekali menyertai gerakerja Islam bukanlah suatu jaminan bahawa ia akan kekal selamanya terpandu arah ke matlamat dengan langkah yang sempurna. Sebarang kemungkinan boleh sahaja menerjah.


Oleh itu, Mursyid Am Ikhwan Muslimun dalam salah satu mesej mingguannya juga tidak ketinggalan dalam memberikan nasihat sangat berguna kepada para pemuda gerakan Islam seluruh dunia. Tegas beliau, iman, ikhlas, semangat dan gerakerja adalah ciri utama bagi golongan pemuda. Dengan itulah maka pemuda mampu menjadi tonggak kebangkitan kepada setiap umat manusia, rahsia kekuatan kepada setiap kebangkitan dan pembawa panji kepada setiap pemikiran dan idea.


Beliau turut mengharapkan agar para pemuda dapat mengukuhkan iman mereka agar tidak bergoncang, meningkatkan kerja agar tidak berhenti, menambah kepercayaan kepada Allah dan jangan berasa lemah serta memiliki jiwa yang bahagia dan sempurna ketika kembali menemui Allah Ta'ala pada hari pertemuan nanti.


No comments: